UPM tetapkan 5 kategori pelajar kembali ke kampus mengikut 3 fasa | DagangNews Skip to main content

UPM tetapkan 5 kategori pelajar kembali ke kampus mengikut 3 fasa

Naib Canselor UPM, Profesor Dr. Mohd Roslan Sulaiman

 

 

Oleh JOHARDY IBRAHIM
editor@dagangnews.com

 

SERDANG 16 Sept – Universiti Putra Malaysia (UPM) menetapkan hanya lima kategori pelajar yang berkeperluan termasuk yang menjalani latihan klinikal, latihan mengajar, latihan industri yang memerlukan penginapan dalam kampus, serta pelajar yang perlu menjalankan penyelidikan di makmal sahaja yang dibenarkan kembali ke kampus bermula 15 hingga 17 Oktober ini.

 

Naib Canselor UPM, Profesor Dr. Mohd Roslan Sulaiman berkata, proses tersebut membabitkan kemasukan kira-kira 4,000 pelajar yang akan kembali ke kampus atau 25% pelajar termasuk golongan B40 dan pelajar yang berkeperluan internet bagi fasa pertama.

 

Menurut beliau, entiti Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) kini giat menggerakkan persediaan bagi menerima kemasukan pelajar ke kampus antaranya penyelarasan data pelajar yang dibenarkan kembali ke kampus selepas melengkapkan dua dos vaksin, pergerakan pelajar dan persediaan kolej kediaman.

 

Sehingga kini ujar beliau, sebanyak 88.5% staf (Akademik dan Bukan Akademik) telah menerima vaksin dan proses vaksinasi staf serta pelajar terus giat dijalankan di Hospital Pengajar (HPUPM) yang turut memanjangkan perkhidmatan itu kepada orang awam.

 

Katanya, UPM akan melaksanakan tindakan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang lebih ketat bagi memastikan keselamatan warga kampus kembali ke Pusat Tanggunggjawab (PTJ) masing-masing dan kemasukan semula pelajar ke kampus bagi sesi 2021/2022 bermula 15 Oktober ini, berikutan pandemik COVID-19 sekarang.

 

Ini katanya lagi, adalah sebagai menyahut pengumuman Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) baru-baru ini, UPM juga akan melaksanakan kemasukan pelajar secara fizikal ke kampus secara berfasa seperti yang diluluskan dan mengambil kira semua pematuhan peraturan yang ditetapkan oleh MKN.

 

Beliau berkata, UPM telah menubuhkan Pasukan Tindakan Kecemasan (ERT) dan memantau rapi tahap pematuhan SOP dan keadaan keselamatan kampus untuk membantu memutuskan rantaian penularan COVID-19.

 

“Pematuhan SOP adalah salah satu tindakan pemantauan yang dilakukan sejak dari awal pandemik COVID-19 lagi.  Namun, pematuhan SOP yang lebih ketat akan dilaksanakan semasa warga kampus mula kembali ke PTJ masing-masing.

 

“Mekanisme penguatkuasaan akan melibatkan ERT UPM. Pejabat Pengurusan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan dengan kerjasama Bahagian Keselamatan Universiti (BKU) sentiasa membuat pemantauan bagi memastikan keselamatan dan pematuhan SOP COVID-19,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Profesor Dr. Mohd Roslan berkata, oleh kerana pelajar kembali ke kampus secara berperingkat, maka sesi pembelajaran juga akan dilaksanakan mengikut fasa seperti berikut:

 

Fasa 1: Kemasukan bagi kumpulan pelajar yang berkeperluan (latihan klinikal, latihan mengajar, latihan industri yang memerlukan penginapan dalam kampus, pelajar  yang perlu menjalankan penyelidikan di makmal, pelajar B40 dan yang memerlukan kemudahan internet serta persekitaran yang kondusif) bermula 15 hingga 17 Oktober 2021;

Fasa 2: Kemasukan bagi kumpulan pelajar yang perlu menjalani PdP di makmal (kuliah akan dijalankan secara dalam talian - PdP secara hibrid) bermula 3 hingga 7 November 2021;

Fasa 3: Kemasukan sepenuhnya pelajar ke kampus (kecuali yang belum lengkap dua dos vaksin). PdP akan dilaksanakan secara bersemuka dan hibrid tertakluk kepada pematuhan SOP yang ketat.bermula 10 hingga 12 Disember 2021.

 

Beliau berkata, pencapaian pelajar secara keseluruhannya tidak terjejas dengan pelaksanaan kaedah penyampaian secara dalam talian sepanjang pandemik COVOD-19 ini.

 

Malahan katanya, analisis terhadap pencapaian pelajar menunjukkan peningkatan pencapaian semasa pembelajaran secara dalam talian pada Semester Kedua 2019/2020 dan Semester Pertama 2020/2021 apabila lebih 80% pelajar bersetuju mereka memperolehi gred yang lebih baik semasa pengajaran dan pembelajaran secara dalam talian.

 

Katanya, pelajar juga lebih kritis dan kreatif kerana pengukuran prestasi pelajar dibangunkan menggunakan tahap kognitif yang lebih tinggi, serta lebih menguasai pelbagai perisian dan tool pengajaran dan pembelajaran secara dalam talian.

 

“Tidak hanya pelajar, impak pengajaran dan pembelajaran secara dalam talian turut memberikan kesan yang signifikan kepada pensyarah daripada segi peningkatan ilmu dan kompetensi mengenai pengajaran dan pembelajaran secara dalam talian,” katanya.

 

Beliau berkata UPM sentiasa cakna dengan kesejahteraan warganya termasuk pelajar semasa tempoh pengajaran dan pembelajaran dalam talian, dengan memberikan fleksibiliti kepada pensyarah dan pelajar dalam pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran dalam talian. – DagangNews.com