Urus wang anda: Fahami aset dan liabiliti | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
SENsor RINGGIT - 15 July 2020

URUS WANG ANDA: FAHAMI ASET DAN LIABILITI


MINGGU lepas, saya utarakan betapa pentingnya kita ada ilmu celik kewangan, khasnya golongan pekerja muda di bawah umur 40 tahun.


Sandaran ini penting apabila laporan Bank Dunia (2020) mengesahkan sekitar 80,000 rakyat Malaysia berumur 25-40 tahun yang mewakili 60% dalam kes ini didapati jatuh muflis atau bankrap dalam tempoh lima tahun lepas (2015-2019).


Faktor utama yang membawa mereka menjadi bankrap adalah disebabkan masalah bayaran balik pinjaman kenderaan (36%), pinjaman perumahan (26%), pinjaman peribadi (24%) dan pinjaman perniagaan (14%).


Apa itu muflis?

Jabatan Insolvensi Malaysia mentafsirnya sebagai `kebankrapan adalah satu proses di mana seorang penghutang itu diisytiharkan sebagai bankrap lanjutan daripada suatu Perintah Penghukuman yang dibuat di Mahkamah Tinggi terhadap penghutang tersebut atas kegagalan atau ketidakupayaan untuk membayar hutang sekurang-kurangnya RM50,000.00’.


Makna santai, seseorang menjadi muflis apabila gagal membayar balik hutang sekurang-kurangnya RM50,000 atas perintah makkamah di Malaysia. Penghutang adalah singkatan perkatan “pengambil hutang” bererti invididu yang mengambil pinjaman, kebanyakannya merangkumi pinjaman kereta, rumah dan peribadi.


Berbalik kepada sen dan ringgit di atas, setiap individu yang bekerja, sama ada di sektor awam atau swasta, memahami asas pengurusan kewangan adalah satu kewajipan bukan lagi pilihan.


Sebagai pekerja, sudah pasti seseorang ingin memiliki aset yang memerlukan pinjaman. Jadi aset adalah `apa yang kita miliki’ manakala liabiliti adalah `apa yang kita tanggung’ ke atas aset yang kita beli melalui pinjaman daripada bank.


Jadi, pihak bank adalah pemiutang atau gabungan perkataan `pemberi hutang’, di mana ia adalah padanan kontra dengan penghutang. Bagi pihak individu, mereka mempunyai liabiliti, iaitu mereka sebagai penghutang perlu bertanggungjawab ke atas bank sebagai pemiutang sehingga peminjam melunaskan hutang sepenuhnya.


Daripada pecahan pinjaman di atas, pinjaman ke atas pemilikan kereta (36%) dan rumah (26%) yang mewakili 62% daripada kes pinjaman di Malaysia.


Banyak kajian ilmiah telah dibuat mengenai kemuflisan rakyat Malaysia disebabkan oleh hutang daripada bank. Mengikut dapatan pensyarah kanan UiTM, Dr Sharifah Heryati Syed Nor dalam tesis PhD (2018), rakyat Malaysia yang berstatus muflis adalah terdiri daripada golongan muda-remaja berumur antara 20-29 tahun, majoritinya adalah kaum Melayu, bergaji lebih daripada RM2,000, berkahwin mempuyai anak 1-3 orang, dan bekerja di sektor swasta.

Beliau menggariskan faktor-faktor berikut yang menyumbang mengapa belia Melayu bergelar muflis bersandarkan data 2015 di mana mereka mempunyai 1-4 jenis pinjaman dan tinggal di bandar besar:

  1. Gaya hidup moden
  2. Memiliki barangan berjenama
  3. Minat yang tinggi berbelanja atas talian
  4. Memiliki lebih daripada satu kad kredit

Kajian Dr Heryati pada 2015 turut disokong atas saranan Bank Dunia pada awal 2020 betapa pentingnya golongan muda memiliki kemahiran pengurusan kewangan atau ilmu `celik wang’.


Jadi, siri ketiga minggu ini mengajak anak-anak muda, sama ada bujang atau berkahwin khasnya yang berumur antara 20-39 tahun, memahami pengurusan kewangan peribadi.


Dalam siri lepas, kewangan peribadi merangkumi aset yang kita miliki dan hutang yang kita tanggung. Sebagai pekerja swasta atau awam yang berumur bawah daripada 40 tahun, pendapatan mereka lazimnya adalah dalam bentuk gaji bulanan.


Kahwin

Hari ini, kita juga menyebut `perancangan kewangan peribadi’. Jadi, bila ditanya golongan ini soalan `Sudahkah anda merancang?’. Jawab mereka selamba, “Zaman bujang, kami ada merancang untuk berkahwin”.


Ditanya lagi, “Apa persediaan dalam perancangan mereka?” Jawab mereka dengan pantas, “Kami sudah menghadiri kursus perkahwinan”. Kursus ini adalah sebagai persediaan mereka menghadapi alam rumahtangga.


Maka jelaslah istilah `perkahwinan’ amat sinonim dengan golongan muda ini di antara `merancang perkahwinan’ dan `kursus perkahwinan’. Maknanya mereka amat bersetuju pentingnya `merancang’ dan `menghadiri kursus’.


Jadi kita juga bersetuju memiliki ilmu asas pengurusan kewangan peribadi adalah penting dalam mengurus aset dan hutang kita daripada pola pendapatan dan perbelanjaan melalui kursus celik wang.


Definisi Aset

Aset atau harta adalah wang yang kita belanja untuk memiliki khasnya rumah dan kereta. Rumah adalah keperluan asas tempat kediaman kita manakala kereta sebagai alat pengangkutan rutin daripada rumah ke tempat kerja dan sebaliknya.


Rumah yang kita beli lazimnya melalui pinjaman perumahan manakala kereta melalui sewa-beli daripada bank. Pinjaman perumahan adalah komitmen jangka-panjang purata 25-30 tahun manakala sewa-beli kereta antara 7-9 tahun. Kedua-dua rumah dan kereta adalah aset atau harta yang kita miliki yang masih dituntut oleh bank sehingga pinjaman dilunaskan sepenuhnya.


Aset peribadi seperti juga aset firma boleh dibahagikan kepada aset tetap dan aset semasa.


Aset tetap pula dikategorikan kepada aset melekat (harta terpacak) seperti rumah dan tanah dan aset bergerak (harta alih) seperti kereta dan perabot.


Menariknya, aset melekat sentiasa menunjukkan kenaikan nilai manakala aset alih sentiasa susut nilai dari tahun ke tahun.


Aset semasa untuk milikan peribadi lazimnya dikenali sebagai aset cair seperti simpanan di bank sama ada akaun semasa atau akaun simpanan, pelaburan dalam saham amanah atau pelaburan dalam Tabung Haji.


Simpanan boleh jadi tunai di bank atau tunai di tangan atau tunai dalam dompet, di samping penggunaan kad debit yang diperkenalkan oleh bank di Malaysia dengan meluas sejak 2010.


Elak Muflis

Siri 4 akan datang kita akan rungkaikan kaedah terbaik dalam memiliki aset tetap melalui pinjaman tetapi masih mampu membayar balik hutang atas tajuk “Urus Hutang Anda Dengan Bijak: Elak Jadi Muflis”.


Jadi adalah penting untuk golongan muda di bawah umur 40 tahun ini bijak mengurus hutang kereta, hutang peribadi dan hutang rumah. Jom kita ikuti siri ini minggu hadapan agar kita tahu cara mudah mengurus hutang supaya tidak terjebak untuk jatuh muflis pada usia masih muda.


Wahai anak-anak muda! Pasti kamu masih `Ingat Perancangan Perkahwinan', maka tiada masalah untuk kamu juga `ingat Pengurusan Kewangan'.


Penulis adalah bekas Profesor Kewangan UiTM, Felo Fulbright sejak 2011 dan Felo Penyelidik Utama di Lamka Advisory sejak Julai 2020
Portfolio Tags