Usahawan belia program TUBE capai RM127.17 juta nilai jualan | DagangNews Skip to main content

Usahawan belia program TUBE capai RM127.17 juta nilai jualan

 

KOTA BHARU 5 Mac – Sejak diperkenalkan pada 2014, usahawan belia Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera atau TUBE telah mencatatkan RM127.17 juta nilai jualan terkumpul secara kumulatif.

 

Nilai ini adalah berdasarkan 5,638 usahawan yang berjaya diwujudkan.daripada 5,766 belia Bumiputera yang telah dilatih dan dibimbing di seluruh negara untuk memulakan perniagaan di bawah program tersebut.

 

Daripada perniagaan yang dijalankan, program ini juga telah berjaya mewujudkan 10,581 peluang pekerjaan, termasuklah untuk peserta Program itu sendiri.

 

Bagi negeri Kelantan, seramai 509 usahawan belia yang menyertai program TUBE telah menjana RM8.35 juta nilai jualan terkumpul dan mewujudkan 825 peluang pekerjaan.

 

Perkara ini diumumkan oleh Dato Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi dalam Sesi Meet & Greet dan Penyerahan Mock-up Cheque Program TUBE bagi Negeri Kelantan.

 

junaidi

 

Pada sesi tersebut, beliau turut menyampaikan geran perniagaan berjumlah RM150,000 kepada wakil 10 orang peserta TUBE 7.0 yang telah berjaya menamatkan latihan pada tahun lalu dan telah memulakan perniagaan masing-masing.

 

Program TUBE yang dilaksanakan oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) menerusi agensinya SME Corp. Malaysia telah direka khas bagi mempersiapkan para belia Bumiputera yang mempunyai minat mendalam untuk menceburkan diri dalam bidang perniagaan.

 

Ia juga telah dikenal pasti sebagai salah satu program bagi membantu mengatasi isu pengangguran yang berlaku di kalangan belia bumiputera di seluruh negara termasuk di Kelantan serta meningkatkan sosioekonomi belia bumiputera termasuk di Kelantan melalui penglibatan mereka dalam aktiviti keusahawanan.

 

Setiap tahun program TUBE melatih 500 peserta dan pada tahun lalu, seramai 765 orang peserta telah dilatih di bawah program TUBE 7.0 termasuk 65 peserta dari negeri Kelantan.

 

Tahun lalu juga buat pertama kalinya latihan Program TUBE dibuat secara online bagi tujuan keselamatan dan kesihatan selepas pandemik COVID-19 melanda.

 

Dengan tempoh latihan yang lebih singkat iaitu tujuh hari, modul latihan telah diolah supaya jelas, mudah difahami dan boleh dipraktikkan peserta selepas menamatkan latihan. Ini menunjukkan kesungguhan dan komitmen Kerajaan dalam membantu usahawan dikala berdepan dengan situasi pandemik COVID-19.

 

Wan Junaidi dalam ucapannya turut mengingatkan para usahawan agar sentiasa peka dengan perubahan landskap perniagaan dan melengkapkan diri dengan pengetahuan khususnya berkenaan dengan aplikasi digital dan eCommerce skim-skim bantuan kewangan serta program pembangunan perniagaan yang ditawarkan oleh Kerajaan termasuklah oleh MEDAC dan agensinya.

 

“Kerajaan akan terus komited dan memberikan sokongan bagi memastikan keupayaan perniagaan dapat dipertingkatkan lagi ke tahap yang lebih tinggi, sejajar dengan kehendak semasa pelanggan”, ujar beliau lagi.

 

Sesi Meet & Greet Bersama TUBER Kelantan ini turut dihadiri oleh Dato’ Suriani Dato’ Ahmad, Ketua Setiausaha MEDAC; Dato’ Sri Syed Hussien Al-Habshee, Pengerusi SME Corp. dan Rizal Nainy, Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp. Malaysia. - DagangNews.com