Usahawan industri koko digesa tingkatkan promosi jenama coklat tempatan | DagangNews Skip to main content

Usahawan industri koko digesa tingkatkan promosi jenama coklat tempatan

KOTA KINABALU 22 Jun - Usahawan industri koko digesa untuk meningkatkan usaha mempromosikan jenama produk coklat keluaran mereka agar lebih dikenali oleh masyarakat tempatan.

 

Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Willie Mongin berkata, walaupun banyak jenama produk coklat premium dan berkualiti yang dikeluarkan oleh usahawan industri koko di Malaysia namun jenama mereka masih kurang dikenali di dalam pasaran.

 

"Sebenarnya, kita ada mengeluarkan banyak coklat premium dan berkualiti, di Sarawak kita ada (produk coklat jenama) Chelum, selain (jenama coklat) Royal (yang dipantau) oleh LKM (Lembaga Koko Malaysia).

 

"Ramai pemain industri (koko) tempatan yang telah mengeksport dan menjual produk hiliran coklat, sama ada dalam negara, mahupun di luar negara. Malah, biji koko dari Ranau, Sabah turut dieksport ke luar negara," katanya selepas merasmikan Seminar Kebangsaan Koko Malaysia 2022 hari ini, lapor Bernama.

 

Willie berkata, kerajaan sentiasa komited untuk membantu penggiat industri koko tempatan memperkenalkan produk keluaran mereka termasuk menerusi misi perdagangan ke luar negara.

 

Bagaimanapun, usahawan terlibat tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada kerajaan dalam aspek mengiklankan secara komersial jenama produk coklat keluaran mereka.

 

Sementara itu, beliau berkata, kerajaan sedang melaksanakan dua kajian kemungkinan bagi menubuhkan hab perdagangan koko di Pelabuhan Tanjung Pelepas dan Pasir Gudang, Johor serta mewujudkan pembangunan 'CocoaNexus' di Seri Iskandar, Johor menerusi Rancangan Malaysia Ke-12.

 

Beliau berkata, kedua-dua kajian kemungkinan yang dijalankan oleh LKM itu, antara lain melihat potensi dalam mempercepat proses pengisaran koko dan menggalakkan industri pemprosesan hiliran bagi menghasilkan produk koko.

 

Kajian kemungkinan itu turut dilaksanakan bagi meningkatkan nilai eksport biji koko dan produk akhir koko memandangkan Malaysia mempunyai bekalan koko yang mencukupi, selain menjadi antara pengisar koko terbesar di rantau ini, katanya.

 

"Sekiranya kajian itu berjaya, ia akan diperluaskan ke negeri lain termasuk di Sabah dan Sarawak," katanya. - DagangNews.com