Keusahawanan digital: satu paradigma baru keusahawanan | DagangNews Skip to main content

Keusahawanan digital: satu paradigma baru keusahawanan

Oleh DR. ISMAIL AB.WAHAB

 

Pengenalan

Kemunculan keusahawanan digital adalah hasil daripada perubahan dalam dunia keusahawanan apabila berlakunya transformasi ke atas perniagaan dan masyarakat melalui teknologi digital. Transformasi digital yang berlaku ini telah menyerlahkan perubahan terhadap amalan, teori dan pendidikan keusahawanan di samping menyemarakkan lagi penyertaan masyarakat dalam dunia keusahawanan secara global.
 

IsmailWahab
Dr. Ismail Ab. Wahab

 


Apa Itu Keusahawanan Digital?

Keusahawanan digital telah meningkatkan pemahaman kita mengenai bidang keusahawanan moden dari segi teori dan praktikal. Dari segi teori, keusahawanan digital menawarkan beberapa konsep baru mengenai proses keusahawanan secara dalam talian seperti mengenal pasti idea dan peluang perniagaan baru yang boleh diwujudkan secara digital, pembangunan idea perniagaan digital, kaedah mengeksploitasi peluang perniagaan, kaedah memulakan perniagaan digital dan sebagainya.

Dari segi praktikal, keusahawanan digital membuka peluang kepada individu yang berhasrat untuk menjadi usahawan dengan mempelajari kemahiran asas mengenai keusahawanan digital.

Kemahiran asas keusahawanan digital merangkumi kaedah mencari pelanggan secara dalam talian, mencipta idea perniagaan baru, memperbaiki idea perniagaan berasaskan data dan sebagainya.

Menurut Jonathan P. Allan (2019), keusahawanan digital merangkumi semua yang baru dan ia termasuk:

  • kaedah baru mengenal pasti pelanggan sasaran
  • Kaedah baru merekabentuk dan menawar barangan atau perkhidmatan
  • Kaedah baru menjana pendapatan dan pengurangan kos
  • Peluang baru untuk bekerjasama dengan platform dan rakaniaga
  • Sumber baru terhadap peluang, risiko dan kelebihan bersaing


Persediaan Menjadi Usahawan Digital

Bagi memulakan perniagaan digital, anda hanya perlu memiliki peralatan komputer dan kemudahan capaian internet. Di samping itu, bagi memastikan kejayaan dan kelangsungan perniagaan, anda perlu mengenal pasti dan memilih idea perniagaan yang memiliki tiga ciri berikut:

  • Jenis perniagaan yang anda berminat menjalankannya
  • Jenis perniagaan yang anda tahu dan mampu melaksanakannya
  • Jenis perniagaan yang ada permintaan di pasaran

Anda juga digalakkan untuk mencari maklumat dan memahami serba sedikit mengenai perkara-perkara yang berkaitan dengan perniagaan yang anda ingin jalankan seperti pasaran, pelanggan, persaingan dan sebagainya.

 

Kebaikan Perniagaan Digital

Mobiliti. Aktiviti keusahawanan digital amat mudah diuruskan walau di mana anda berada. Anda hanya memerlukan sebuah komputer dan capaian internet.

Bekerja dari rumah. Sebagai pemilik perniagaan, anda mempunyai banyak masa bersama keluarga kerana pengendalian dan urusan perniagaan boleh dilakukan dari rumah. Anda juga bebas untuk menyesuaikan masa berkerja dengan masa bersama ahli keluarga.

Jimat kos. Anda hanya perlu berbelanja untuk membeli komputer dan menanggung kos capaian internet. Anda tidak perlu menyewa pejabat manakala semua belanja utiliti dan operasi boleh dikongsi dan dimasukira dalam perbelanjaan isi rumah.

Meningkat keupayaan komunikasi. Pelanggan boleh menghubungi anda atau sebaliknya bila-bila masa dari mana-mana lokasi melalui media yang mudah digunakan dengan kos yang agak rendah.

Mudah mencapai dan menyebar maklumat. Capaian dan penyebaran maklumat terkini mudah dilakukan sama ada melalui laman web, iklan dalam talian atau melalui platform media sosial.

Dapat berhubung dengan ramai orang. Dianggarkan lebih daripada 50% penduduk dunia mempuani capaian internet. Di Malaysia, berdasarkan kajian oleh Jabatan Perangkaan, capaian isi rumah kepada internet meningkat kepada 90.1% pada tahun 2019 berbanding 87.0% pada tahun sebelumnya.

Meningkat daya pengeluaran. Daya pengeluaran pemilik dan pelanggan dapat ditingkatkan tanpa menanggung kos yang tinggi di samping menjimatkan masa dan tenaga. Sebagai contoh, proses jual-beli yang singkat bukan sahaja dapat menambah baik perhubungan pelanggan tetapi juga mengurangkan kos operasi perniagaan.

 

pc


Bidang Perniagaan Digital yang Berpotensi

Penerbit/Pengeluar. Penerbit digital membangunkan pelbagai bentuk kandungan yang boleh digunakan secara dalam talian seperti e-buku dan video. Bagi membolehkan anda mengendalikan perniagaan tersebut anda hanya perlu ada pengetahuan mengenai sesuatu perkara yang hendak disampaikan dan  dikongsi dengan pengguna.

Affiliate. Anda boleh menjadi ahli profesional dengan menyertai program affiliate yang mempromosi produk pihak ketiga dan menerima komisen bagi setiap jualan.

E-Dagang. E-dagang merupakan aktiviti jual-beli yang dijalankan secara dalam talian melalui kaedah kedai maya manakala produk dihantar terus ke rumah pembeli.

Penyelesaian teknologi. Anda boleh memilih untuk menubuhkan perniagaan baru yang menawarkan perkhidmatam kepada pihak yang memerlukan penyelesaian terhadap masalah yang dihadapi. Bagaimanapun, anda perlu mengenal pasti terlebih dahulu masalah yang kerap berlaku yang memerlukan penyelesaian.

Bagi menawar perkhidmatan tersebut anda mungkin perlu membangunkan pelbagai produk atau sistem seperti perisisan, aplikasi, atau perkhidmatan bergantung kepada jenis masalah yang hendak diselesaikan dan profil pelanggan yang anda sasarkan.

Penggunaan pengaruh digital. Pada dasarnya, pengaruh digital merupakan satu kaedah pemasaran yang menggunakan individu untuk memberi sokongan kepada satu-satu produk yang diuar-uarkan melalui platform digital seperti blog, YouTube atau media sosial.

Penggunaan pengaruh digital mampu mewujudkan keyakinan kepada bakal pelanggan kerana sokongan yang diberi oleh “pakar rujuk” boleh dilihat sebagai penerimaan terhadap produk atau perkhidmatan tersebut. Penggunaan pengaruh digital semakin meningkat dewasa ini disebabkan bertambahnya keperluan dan keinginan orang ramai terhadap pelbagai nasihat, petua, panduan, hiburan dan sebagainya.

 

Penyediaan Pelan PernIagaan Digital

Demi kelangsungan dan pengembangan perniagaan, pelan perniagaan digital perlu difokuskan kepada permintaan pelanggan, iaitu pelan yang mengutamakan rantaian nilai (value chain) berbanding rantaian bekalan (supply chain). Ini bertujuan untuk meluaskan perspektif usahawan untuk mengambil kira semua pihak yang terlibat dalam penghantaran dan penyampaian produk atau perkhidmatan kepada pelanggan. Kunci utama dalam rantaian nilai ialah menyelesaikan masalah pelanggan, memuaskan kehendak pelanggan dan memberi nilai tambah kepada pelanggan.

Penyediaan pelan perniagaan digital perlu menjurus kepada jawapan bagi persoalan-persoalan berikut:

  • Masalah yang dihadapi. Apakah masalah pelanggan yang ingin diselesaikan oleh perniagaan anda?
     
  • Penyelesaian. Apakah cadangan anda untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh pelanggan?
     
  • Sasaran pasaran. Siapakah pelanggan anda yang berpotensi?
     
  • Jualan.  Apakah perkara yang dicaj kepada pelanggan dan berapakan anggaran jumlah yang dicaj?
     
  • Kos permulaan. Berapakan jumlah kos permulaan yang merangkumi pendaftaran, lesen, insurans, stok dan sebagainya?
     
  • Pemasaran. Bagaimana produk atau perkhidmatan anda dipasarkan?
     
  • Risiko dan halangan. Apakah risiko dan halangan utama yang mungkin dihadapi? Apakah langkah-langkah yang akan diambil bagi mengelak atau mengurangkan risiko dan halangan tersebut?
     
  • Prestasi. Bagaimanakah kedudukan dan prestasi kewangan perniagaan yang dirancang?

 

Penutup

Pembangunan teknologi digital telah mengubah model perniagaan sedia ada, penciptaan dan penawaran produk/perkhidmatan baru, dan meningkatkan kecekapan proses perniagaan yang mampu menjadikan syarikat lebih berdaya saing.  

Transformasi ekonomi konvensional kepada digital merupakan peluang penting bagi pertumbuhan pesat ekonomi tempatan dan negara yang mana penggeraknya adalah industri kecil dan sederhana (IKS). - DagangNews.com

 
Dr. Ismail Abdul Wahabd adalah mantan Profesor Keusahawanan Universiti Teknologi MARA

ARTIKEL YANG JUGA TULISAN DR ISMAIL:

Membina minda usahawan cemerlang: Ciri & Kecekapan Keusahawanan