Vaksin COVID-19: Bioalpha mampu ‘kaut’ RM25 juta | DagangNews Skip to main content

Vaksin COVID-19: Bioalpha mampu ‘kaut’ RM25 juta

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 26 Jan. - Setiap 1 juta dos penjualan vaksin COVID-19 mampu mendatangkan keuntungan bersih sehingga RM25 juta buat syarikat makanan tambahan kesihatan, Bioalpha Holdings Berhad. 

 

Ini berdasarkan anggaran setiap dos dijual pada harga RM250 dengan margin keuntungan bersih mencecah 10%, ramal CGS-CIMB Research. 

 

“Bioalpha berhasrat untuk memasarkan dan mengedarkan vaksin COVID-19 oleh Sinovac Biotech kepada sektor swasta, menyasarkan ekspatriat dan juga pekerja asing. 

 

“Kumpulan syarikat itu melihat terdapat potensi pasaran majikan yang besar, mereka yang mahu menvaksinkan pekerja asing mereka, di mana ketika ini tidak tergolong dalam Pelan Vaksinasi Kebangsaan COVID-19. 

 

“Kami mendapati Bioalpha menerima minat yang tinggi daripada syarikat dan majikan,” jelas CGS-CIMB dalam nota kajiannya.

 

Semalam, Bioalpha berjaya memeterai perjanjian perolehan dan pengedaran vaksin COVID-19 di Malaysia dengan Shanghai Bukun Trading Co. Ltd (SBTC).

 

SBTC merupakan anak syarikat milik penuh Sinopharma (Hainan) Health Industry Co.

 

Di bawah perjanjian itu, Bioalpha akan memperoleh vaksin COVID-19  Sinovac Biotech, tetapi tertakluk kepada kelulusan daripada pihak berkuasa berkaitan seperti Kementerian Kesihatan dan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).

 

Bioalpha akan membeli 100,000 dos bagi tempahan pertama, dan akan diteruskan sehingga mencapai 1 juta dos vaksin COVID-19.

 

Perjanjian itu berkuatkuasa bermula 25 Januari 2021 sehingga tempoh dua tahun. 

 

CGS-CIMB mendapati Bioalpha akan mula menempah vaksin berkenaan selepas Sinovac Biotech menerima kelulusan daripada NPRA, di mana dijangka menjelang penghujung suku pertama 2021 (1Q21). 

 

Memandangkan perkembangan ini bergantung kepada harga, kuantiti, dan jadual penghantaran, CGS-CIMB mengekalkan saranan ‘pegang’ saham Bioalpha dengan harga sasaran (TP) sebanyak RM0.28.

 

“Walaupun kami menjangkakan perolehan akan pulih pada masa akan datang, namun kami percaya sebahagian besarnya akan dinilai berdasarkan penilaian semasa. 

 

“Risiko kenaikan adalah margin dan / atau penjualan yang lebih tinggi daripada yang jangkaan. 

 

“Risiko penurunan adalah pembatalan atau penamatan perjanjian pembekalan dari China yang baharu dan kadar pertukaran yuan/ ringgit yang lebih lemah daripada jangkaan,” ujar CGS-CIMB lanjut. - DagangNews.com