Vaksin COVID-19 : Pasaran melonjak lebih 50 mata, ringgit ditutup rendah | DagangNews Skip to main content

Vaksin COVID-19 : Pasaran melonjak lebih 50 mata, ringgit ditutup rendah

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 10 Nov. - Pasaran tempatan petang ini melonjak sehingga 50.75 mata kepada 1,575.07 mata disokong terutama keyakinan terhadap penemuan vaksin COVID-19. 

Lonjakan 3.33% itu adalah tertinggi dalam tempoh 2 bulan sejak pertengahan Ogos.

Indeks utama FBM KLCI itu bergerak dalam jajaran 1,516.54 hingga 1,575.07 mata dengan 12.31 bilion saham bertukar tangan bernilai RM8.45 bilion.  

Ia menyaksikan kaunter untung mengatasi kaunter rugi pada 747 berbanding 609 manakala 331 kaunter tidak berubah.

Bagi pasaran kewangan pula, ringgit ditutup rendah pada RM4.1200/1250 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) daripada penutupan semalam, RM4.1080/1130. 

Ringgit memulakan dagangan pagi ini hampir tidak berubah pada RM4.1100/1150 berbanding dolar AS.  

Pembuat ubat AS, Pfizer dan firma bioteknologi dari Jerman, BioNTech pada Isnin mengumumkan vaksin COVID-19 yang sedang dibangunkan mereka mempunyai keberkesanan lebih 90% bagi mencegah wabak itu.

Bagaimanapun, dilaporkan bahawa vaksin tersebut tidak dapat diagihkan kepada awam dalam tempoh segera.

Susulan laporan ini, ia menyaksikan indeks perkhidmatan kewangan mendapat permintaan tinggi dalam kalangan pelabur apabila meningkat 6.66% atau 817.05 mata pada 13,084.32 mata. 

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Public Bank melonjak 12.42% kepada RM17.20 manakala Hong Leon Bank meningkat 10.07% kepada RM16.18. 

Menurut AmBank Research, berita mengenai vaksin COVID-19 yang dibangunkan Pfizer dan BioNTech turut memberi rangsangan kepada pasaran

Katanya, walaupun asas saham-saham bank meningkat sejajar dengan pemulihan ekonomi, ia masih kurang kelas sejauh mana kerosakan akibat pandemik COVID-19 terhadap perniagaan. 

"Tidak terkecuali kesannya kepada aset perbankan," katanya dalam nota kajian hari ini. 

Bagaimanapun, penganalisis percaya sistem perbankan Malaysia mempunyai asas yang kukuh dengan kecairan dan rizab mencukupi. 

Malah, CSG-CIMB dalam nota kajian 15 Oktober lalu berkata, bank-bank juga mempunyai kedudukan modal yang kukuh bagi menghadapi pinjaman terjejas yang tinggi. 

"Berdasarkan simulasi makro Bank Negara Malaysia, nisbah pinjaman terjejas bank dijangka meningkat daripada 1.6% pada akhir Jun 2020 kepada 3.1% pada akhir 2020 manakala 4.1% pada akhir Disember 2021," katanya. - DagangNews.com