Vaksin COVID-19 : Permintaan sarung tangan tetap kukuh | DagangNews Skip to main content

Vaksin COVID-19 : Permintaan sarung tangan tetap kukuh

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 24 Nov. – Penemuan positif vaksin COVID-19 dijangka tidak ‘melunturkan’ permintaan sarung tangan getah pasca pandemik.

 

Syarikat hartanah yang mula menceburi industri pembuatan sarung tangan, Kumpulan Mah Sing Berhad (Mah Sing) percaya peraturan ketat dan kesedaran yang lebih tinggi mendorong permintaan terhadap produk itu.

 

Ini terutamanya dapat dilihat di pasaran yang baharu membangun di mana penggunaan sarung tangan per kapita masih rendah berbanding di negara-negara membangun.

 

“Jangkaan ini menunjukkan masih ada ruang untuk pertumbuhan jangka masa panjang dalam industri berkenaan, ketika terdapat juga harapan terhadap vaksin berdaya maju bagi kegunaan umum,” kata Mah Sing dalam satu kenyataan hari ini.

 

Ujian vaksin klinikal COVID-19 telah ‘menanam’ keyakinan di segenap komuniti global dengan harapan penularan pandemik itu bakal berakhir.

 

Syarikat pembangun vaksin wabak berkenaan di Amerika Syarikat (AS), Moderna Inc mengumumkan penemuannya menunjukkan keberkesanan sehingga 94.5% berdasarkan data interim mereka.

 

Sebelum itu, Pfizer Inc dan BioNTech turut menemui percubaan vaksin COVID-19 yang berkesan sehingga 90% sebelum mencapai 95% dalam analisis akhir mereka pada percubaan Fasa 3.

 

Sementara itu, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) mendedahkan Malaysia akan menyertai akses vaksin COVID-19 menerusi Vaccine Global Access Facility (COVAX) dan kini dalam peringkat memuktamadkan tandatangan perjanjian penyertaan itu.

 

Walaupun banyak berita melaporkan penemuan vaksin COVID-19, namun Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Dr. Tedros Adhanom Ghebreyesus mengingatkan peralatan perlindungan kesihatan lain masih diperlukan.

 

Sementara itu, RHB Investment Bank pada 19 November lalu menjangkakan penemuan vaksin COVID-19 mungkin menjadi sumber permintaan baharu bagi sektor sarung tangan.

 

Ini mungkin mencecah 18 bilion unit setiap tahun, dengan jangkaan 60% daripada populasi dunia (7.5 bilion) bakal menerima vaksin sebanyak dua dos bagi tempoh sama.

 

“Oleh kerana setiap kontak seseorang akan mendorong penggunaan satu pasang sarung tangan untuk sekali pemakaian, perkembangan vaksin akan menghasilkan permintaan sebanyak 18 bilion unit setahun dalam jangka pendek, dan permintaan tersebut akan berulang setiap tahun jika tempoh perlindungan vaksin bertahan hanya sehingga setahun.

 

“Ini bersamaan 6.8% daripada permintaan sarung tangan global setahun sebanyak 263 bilion unit pada tahun 2019,” kata RHB dalam laporan kajiannya. – DagangNews.com