Vaksin COVID-19: Pharmaniaga dijangka raih hingga RM6.04 juta perolehan FY21 | DagangNews Skip to main content

Vaksin COVID-19: Pharmaniaga dijangka raih hingga RM6.04 juta perolehan FY21

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 17 Nov. - Penemuan vaksin COVID-19 yang berkesan sehingga lebih 90% oleh tiga buah syarikat menjadi khabar gembira buat semua pihak terutamanya Pharmaniaga Berhad yang ditugaskan untuk mengisi dan menyelesaikan bungkusan vaksin itu. 

Sekiranya vaksin COVID-19 diedarkan lebih awal, Pharmaniaga bakal menyaksikan perolehan syarikat melonjak antara 3.4% hingga 7.4% atau dalam lingkungan RM2.77 juta hingga RM6.04 juta menjelang tahun kewangan 2021 (FY21).

Ramalan itu dibuat oleh MIDF Research berdasarkan jangkaan kos mengisi dan menyelesaikan, tetapi perolehan itu bergantung kepada bagaimana vaksin itu akan diberikan serta jenis bekas yang diperlukan. 

“Kaedah pembungkusan dan pengedaran bergantung tinggi kepada sama ada vaksin itu perlu diambil melalui mulut atau parenteral (dimasukkan ke dalam badan selain melalui saluran mulut).

“Kami melihat jangkaan ini adalah adil berdasarkan keperluan segera vaksin itu dan potensi kesukaran yang bakal dihadapi syarikat ini untuk mengangkutnya - di mana mungkin meningkatkan jumlah kos penghantaran keseluruhan,” kata MIDF dalam nota kajiannya. 

Jangkaan kos pengisian dan penyelesaian itu dibuat menggunakan data oleh PATH melalui kajian pengeluar farmaseutikal pada tahun 2018, tetapi MIDF telah mengubah dan menggunakan jangkaan dalaman untuk menggambarkan persekitaran pasaran tempatan dan terkini. 

Pada minggu lalu, Pfizer Inc. dan BioNTech SE berjaya menemukan keberkesanan percubaan vaksin sehingga 90% yang terbukti berkesan ke atas 10 daripada 10,000 sukarelawan yang diuji. 

Walaupun keputusan itu masih awal, namun perkembangannya dapat membantu syarikat-syarikat mendapatkan ‘kebenaran penggunaan kecemasan’ sekiranya kajian vaksin itu terbukti selamat untuk digunakan. 

Semalam, Moderna Inc. pula mendedahkan bahawa syarikatnya telah menemukan vaksin COVID-19 yang berkesan sehingga 94.5% di mana menggunakan teknologi pengutus RNA sama seperti vaksin Pfizer dan BioNTech. 

Dalam pada itu, vaksin oleh Moderna juga difahamkan mampu menggunakan tahap penyimpanan sejuk lebih rendah berbanding Pfizer iaitu -70 darjah Celsius.

MIDF difahamkan, Pharmaniaga memerlukan pelaburan perbelanjaan modal sehingga RM2 juta untuk menaik taraf kilang suntikan isipadu kecil (SVI) bagi proses pengisian dan penyelesaian vaksin COVID-19. 

“Sumbangan (perkembangan vaksin) perolehan mungkin kelihatan signifikan pada FY21, namun melangkaui FY21, kami menjangkakan sumbangan itu berhubungkait dengan jumlah populasi yang memerlukan vaksin pada setiap tahun - di mana dijangka lebih rendah daripada FY21. 

“Oleh itu, kami mengekalkan jangkaan perolehan FY20 hingga FY21 buat masa ini memandangkan kami masih menunggu perkembangan lanjut vaksin COVID-19,” tambah MIDF. 

MIDF mengekalkan penarafan ‘neutral’ terhadap Pharmaniaga dengan harga sasaran (TP) bernilai RM4.74, bergantung kepada pengumuman tender pengisian dan penyelesaian oleh kerajaan. - DagangNews.com