Skip to main content


[VIDEO] Logo dan tema HKHM 2022 dilancar, inspirasi dari Aspirasi Keluarga Malaysia

MENJELANG bulan Ogos setiap tahun, Malaysia tidak pernah gagal dalam menganjurkan sambutan Hari Kebangsaan sejak negara menyambut kemerdekaan pada tahun 1957. Kemeriahan bulan kemerdekaan tidak hanya disambut pada tanggal 31 Ogos semata-mata, tetapi telah bermula seawal 1 Ogos dan berlarutan sehingga 30 September bersempena Hari Malaysia yang disambut pada 16 September.

 

Walaupun negara dilanda pandemik COVID-19 pada 2020 dan 2021 sehingga memaksa rutin kehidupan masyarakat berubah, namun kemeriahan sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia tetap berlangsung walaupun dalam suasana norma baharu. Tahun ini, selepas negara hampir bebas daripada cengkaman pandemik COVID-19, jawatankuasa induk pelaksanaan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2022 (HKHM 2022) yang diterajui Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (K-KOMM) telah merencana pelbagai program dan atur cara.

 

Berada di kedudukan pertama dalam carta program HKHM 2022, majlis pelancaran logo dan tema sambutan tersebut telah berlangsung pada 1 Julai lalu di Auditorium Perdana, Angkasapuri, Kuala Lumpur yang disempurnakan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa. Annuar pada majlis tersebut berkata, majlis pelancaran logo dan tema itu bertujuan untuk menyemarakkan semangat patriotik dalam kalangan rakyat bersempena sambutan bulan kemerdekaan pada tahun ini, sekali gus menyebarluaskan pemakaian logo dan tema kepada semua pihak.

“Saban tahun, sambutan bulan kemerdekaan pasti akan memberi makna tersendiri kepada rakyat Malaysia yang diterjemahkan melalui pemilihan logo dan tema. “Logo dan tema Hari kebangsaan dan Hari Malaysia adalah satu simbol dan elemen penting dalam pembinaan sebuah negara yang berbilang kaum, agama dan budaya. “Justeru, majlis pelancaran logo dan tema pada hari ini merupakan permulaan publisiti ke arah Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang yang akan diadakan pada 30 Julai ini,” katanya. - DagangNews.com