Vincent Tan jual sejuta unit saham Berjaya Corporation | DagangNews Skip to main content

Vincent Tan jual sejuta unit saham Berjaya Corporation

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 10 Jun - Jutawan dan ahli perniagaan, Tan Sri Vincent Tan telah melupuskan 1 juta unit saham biasa yang dipegang olehnya secara tidak langsung dalam Berjaya Corporation Berhad (BCorp).

 

Saham yang dipegang menerusi anaknya itu dijual di pasaran terbuka pada 8 Jun lalu, menurut makluman BCorp di Bursa Malaysia hari ini. 

 

Ini menjadikan kepentingan langsung yang dimilikinya dalam BCorp sebanyak 25.28% dengan kepentingan tidak langsung pada kadar 23.86%. 

 

Menerusi makluman berbeza, beliau turut melupuskan sejuta unit kepentingan tidak langsung menerusi anaknya dalam syarikat sama.

 

Namun, ini merupakan kelas saham berbeza iaitu 5% Saham Pinjaman Tidak Bercagar Boleh Tukar dan Tidak Boleh Tebus 2012/2022, masing-masing bernilai RM1.

 

Untuk rekod, Tan berperanan sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif di BCorp selepas beliau melepaskan jawatan Pengerusi Eksekutif di syarikat itu berkuatkuasa 5 April lalu.

 

Terdahulu, Abdul Jalil Abdul Rasheed telah dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif BCorp berkuat kuasa 16 Mac 2021. 

 

Beliau sebelum ini merupakan bekas Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Permodalan Nasional Berhad (PNB). 

 

Pelantikan itu menjadikan beliau sebagai individu pertama bukan ahli keluarga Tan yang menerajui peranan Ketua Pegawai Eksekutif di syarikat tersebut. - DagangNews.com