Benar-benar selamatkah pelaburan Robo Advisor? | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Volatiliti - 28 Apr 2021 08:00 AM

BENAR-BENAR SELAMATKAH PELABURAN ROBO ADVISOR?

 

PANDEMIK COVID-19 telah “memaksa” individu untuk mendapatkan pendapatan sampingan. Pelaburan dilihat sebagai salah satu cabang untuk mendapatkan pulangan yang baik. Namun begitu, pelaburan perlu dilakukan dengan ilmu yang betul barulah ianya mendatangkan pulangan yang baik.

 

Ramai juga masyarakat hari ini yang ingin menceburi pelbagai jenis pelaburan secara ikut-ikutan dan mereka teruja dengan keuntungan yang diperoleh sesetengah golongan pelabur. Natijahnya mereka yang ikut-ikut ini tidak meraih apa-apa pulangan malah wang pokok (modal asas) yang dilaburkan juga hangus begitu sahaja.

 

Bagi individu-individu yang baru hendak berjinak-jinak dengan dunia pelaburan, berkemungkinan “robo advisor” boleh dijadikan pilihan. Pastinya ada ramai yang masih belum pernah mendengar terma kata ini. Secara literalnya, Robo Advisor ini adalah program yang dibangunkan bagi menguruskan portfolio pelaburan secara automatik.

 

Ia menggunakan kaedah algorithma dan kecerdasan buatan (AI) untuk menguruskan dan memperuntukkan aset pelabur dengan kaedah paling efisyen. Robo Advisor ini akan memberikan nasihat kewangan dan pelaburan dengan campur tangan manusia yang paling minimum. 

 

Sebenarnya pada masa kini memang terdapat banyak aplikasi yang menggunakan kaedah tertentu untuk menguruskan portfolio, namun begitu Robo Advisor ini mengabungkan segala informasi tentang risiko profil pelabur dan akan mengimbangi portfolio pelabur secara berkala.

 

Robo Advisor akan membuat portfolio yang optimum berdasarkan pilihan pelabur. Biasanya, portfolio dibuat berdasarkan beberapa varian Teori Portfolio Moden, yang memfokuskan pada peruntukan dana kepada saham yang tidak berkorelasi positif secara sempurna.

 

Robo Advisor memperuntukkan dana untuk aset berisiko dan aset bebas risiko berdasarkan matlamat dan profil risiko pelabur. Robo Advisor akan memantau dan mengimbangkan semula portfolio apabila keadaan ekonomi berubah dengan menyesuaikan aset berisiko dan bebas risiko pada keadaan-keadaan tertentu.

 

Ironinya, pelik tapi benar. Itulah berlaku pada hari ini. Pelaburan dahulunya yang dilakukan oleh Pengurus Dana dan dianalisis oleh Penganalisis Pasaran kini sudah bertukar tangan kepada Robo Advisor.

 

volatiliti

 

Pelabur konvensional masih lagi ragu-ragu dengan keselamatan penggunaan Robo Advisor ini. Adakah ia selamat untuk kita laburkan wang kita kepada Robo Advisor, tidak lagi Pengurus Dana. Benarkah Robo Advisor tidak selamat dan tidak berisiko? Ini kerana peningkatan portfolio yang diuruskan oleh Robo Advisor ini bergantung sepenuhnya pada pilihan pelabur.

 

Robo Advisor memberikan pelabur pelbagai pilihan risiko dan garis masa untuk dipilih sendiri oleh pelaburan. Makna kata pelabur yang menentukan sendiri jumlah risiko dan tempoh masa yang mereka inginkan.

 

Bagaimana pelabur ingin menentukan risiko mereka? Sebagai contoh profil risiko yang pelabur tentukan ialah pelabur boleh memilih portfolio berisiko (misalnya, lebih banyak saham, lebih sedikit bon kerajaan).

 

Pelabur yang menghindari risiko pula boleh memilih portfolio yang menawarkan pulangan yang lebih rendah pada turun naik yang lebih rendah (contohnya, kepekatan sekuriti bebas risiko yang lebih tinggi). Dengan menilai selera setiap pelabur untuk risiko, penasihat robo dapat memilih portfolio yang diperibadikan.

 

Robo Advisor membuat portfolio yang optimum berdasarkan pilihan pelabur. Biasanya, portfolio dibuat berdasarkan beberapa varian Teori Portofolio Moden, yang memfokuskan pada peruntukan dana kepada saham yang tidak berkorelasi positif secara sempurna.

 

Robo Advisor biasanya memperuntukkan dana untuk aset berisiko dan aset bebas risiko, dan bobot ditentukan berdasarkan matlamat dan profil risiko pelabur. Robo Advisor memantau dan mengimbangkan semula portfolio apabila keadaan ekonomi berubah dengan menyesuaikan bobot aset berisiko dan bebas risiko.

 

Untuk pengetahuan pelabur di luar sana yang ingin mencuba melabur menggunakan “khidmat” Robo Advisor ini, pelabur boleh melabur dalam saham Exchange Traded Fund (ETF) yang merupakan kumpulan saham, bon, ataupun mana-mana jenis pelaburan lain yang terpilih.

 

Namun begitu, tidaklah semua Robo Advisor mempunyai kaedah pelaburan yang sama. Jadi, anda harus mengambil tahu tentang jenis pelaburan yang boleh dibuat oleh platform pilihan anda sebelum membuat pilihan.

 

Setelah mengetahui pelaburan yang boleh diuruskan oleh Robo Advisor ini, pastinya mendatangkan keterujaan dalam kalangan pelabur terutamanya pelabur baru, muda atau yang kurang berpengetahuan.

 

volatiliti

 

Namun begitu pelabur perlu sedar bahawa pelaburan yang diuruskan oleh Robo Advisor ini bersifat lebih pasif dan biasanya menumpukan kepada jenis pelaburan yang kurang berisiko. Boleh dikatakan juga bahawa pelaburan ini sudah disanitasikan, dalam erti kata lain dijadikan lebih selamat untuk pelabur yang tidak mempunyai pengetahuan mendalam tentang pelaburan.

 

Bagi pelabur baharu pulangan yang tidak berapa tinggi ini mungkin mencukupi bagi mereka berbanding dengan pelabur tegar atau pelabur berpengalaman yang mahukan pulangan yang lebih tinggi. Selain itu, pelabur juga perlu tahu ada Robo Advisor ini yang membuat pelaburan di pasaran global.

 

Ini akan menyebabkan pulangan dari pelaburan asing ini akan dikenakan cukai. Sebagai contoh, jika Robo Advisor melabur di dalam sekuriti yang tersenarai di Amerika Syarikat (AS), sebagai pelabur asing (non-citizen) yang membeli saham di AS, dividen anda akan dikenakan cukai pegangan yang tinggi secara automatik.

 

Di sebaliknya pula, bagi pelabur yang tidak mempunyai banyak masa untuk membuat analisis, memantau prestasi, dan mengimbangkan portfolio. Melainkan anda melabur secara “value investing” dan memerlukan komitmen masa yang banyak, Robo Advisor boleh menjadi alternatif yang sesuai terutamanya jika pelabur tidak mempunyai masa dan pengetahuan yang cukup untuk melabur.

 

volatiliti

 

Selain itu, pelabur yang inginkan kepelbagaian dalam pelaburan mereka, Robo Advisor adalah pilihan yang boleh digunakan kerana ia dicipta dengan kepelbagaian portfolio untuk membantu pelabur menguruskan risiko.  

 

Oleh itu, jika ada mana-mana pelaburan di dalam portfolio pelabur yang merugikan, ia boleh diimbangi dengan jenis pelaburan lain. Inilah kelebihan Robo Advisor yang boleh menarik minat pelabur sebenarnya.

 

Dari segi bayaran fi yang dikenakan pula, Robo Advisor biasanya mengenakan fi pengurusan yang rendah, sekitar 1% setahun atau kurang. Sebaliknya, jika anda melabur di dalam unit amanah, anda mungkin dikenakan caj di antara 0.5% sehingga 2.5% setahun.

 

Pelabur disarankan tidak terlalu teruja untuk meraih keuntungan pelaburan yang dibuat melalui Robo Advsior ini. Sebaiknya pelabur perlu meneliti dahulu objektif pelaburan, profil risiko dan kadar pulangan yang dikehendaki.

 

volatiliti

 

Di Malaysia sudah ada banyak platform yang menawarkan perkhidmatan Robo Advisor ini dan yang terbaru dari UOB. Namun begitu, Wahid Invest adalah Robo Advisor yang berstatus patuh Syariah di Malaysia. Pilihan di tangan kita, tepuk dada, tanya selera!

 

Tidak ada salahnya kita mencuba melabur menggunakan Robo Advisor ini tetapi pelabur perlu melalui pengalaman sendiri dahulu dan jangan main ikut-ikut sahaja. - DagangNews.com