Mengapa Muhyiddin, bukan Mahathir dilantik terajui MPN?
KEPUTUSAN Jemaah Menteri pada pada 1 September 2021 telah bersetuju untuk melantik Tan Sri Muhyiddin Yassin, mantan Perdana Menteri ke-8 sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) bertaraf Menteri.
Pelantikan ini telah disembah maklum kepada KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan telah diperkenankan.
Bantahan pelantikan Muhyiddin
Pelantikan Muhyiddin sebagai Pengerusi MPN dibantah oleh 116 NGO yang menuntut Majlis Raja-raja agar memperkenan penstrukturan semula majlis itu dengan segera.
Muhyiddin dianggap oleh lawan politiknya sebagai “individu gagal” ketika menerajui MPN sebelum ini dalam menggubal dasar pentadbiran untuk mengawal penularan wabak COVID-19 di Malaysia.
Segelintir pengkritik berpendapat mereka tidak nampak sebab kenapa perlu diletakkan seorang pengerusi yang telah pun gagal sebelum ini mentadbir negara sewaktu pandemik sebagai pengerusi MPN sekali lagi.
Sebuah NGO telah menyerahkan memorandum pada kepada Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara dan mendesak agar Tun Dr. Mahathir Mohamad yang juga bekas menteri ke-4 dan ke-7 mengetuai MPN. Jadi nampaklah kecenderungan mereka.
MPN vs. Majlis Gerakan Negara (MAGERAN)
Ada yang menyatakan MPN menggantikan MAGERAN. Mungkin ia dilihat seakan-akan sama peranan dan fungsinya namun penubuhan kedua-dua majlis ini berdasarkan situasi yang berbeza.
Majlis Pemulihan Negara ditubuhkan bagi memantau pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara (PPN). Pelan Pemulihan Negara sebagai strategi peralihan keluar secara berfasa daripada kemelut pandemik COVID-19.
Strategi terbabit merangkumi empat fasa dan membabitkan pelan peralihan fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara berperingkat.
Ia berbeza dengan MAGERAN yang ditubuhkan pada 1969 selepas perisytiharan darurat dan perintah berkurung dikenakan susulan kejadian rusuhan kaum 13 Mei yang tercetus selepas pilihan raya umum pada tahun itu.
Tunku Abdul Rahman memilih untuk tidak memegang jawatan dalam MAGERAN dan melantik timbalannya, Abdul Razak Hussein sebagai pengerusi.
Memang Tun Mahathir berminat terajui MPN
Pengerusi parti Pejuang Tanah Air, Tun Dr Mahathir Mohamad mahu menjadi pengerusi MPN. Tetapi beliau sendiri berpendapat badan tersebut seharusnya menjadi sebuah badan tanpa penglibatan ahli politik.
Bekas Perdana Menteri itu berkata badan berkenaan sebaliknya perlu mengandungi hanya golongan profesional, yang biasa mengendalikan pandemik, epidemik dan penyakit.
Tun berpendapat ahli politik pada dasarnya tidak faham perubatan dan akan bercakap mengenai politik, semua yang mereka buat adalah berkisar mengenai usaha menjadi popular, dan dapatkan lebih banyak undi.
Namun begitu, jika Tun dipilih menjadi pengerusi MPN, nama-nama yang disebut untuk menganggotai MPN antaranya ialah Tan Sri Rafidah Aziz, Tan Sri Mohamed Azman Yahya, Tan Sri Lin See Yan Tan Sri Mohd Hassan Marican, Datuk Seri Azalina Othman Said, Hannah Yeoh, Ahmad Fahmi Fadzil dan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman. Ya, tiada ahli politik...
Mengapa Tun Dr Mahathir tidak dipilih pengerusikan MPN?
Kita tidak menidakkan kemampuan dan sumbangan Tun pada negara terutamanya dalam menangani dua kali krisis ekonomi pada tahun 1986 serta 1997 dengan baik.
Namun, pendirian Tun yang semakin berubah-ubah dengan Bersatu, Pakatan Harapan dan kini Pejuang merisaukan banyak pihak, apakah matlamat dan agenda Tun sebenarnya untuk meletakkan Tun sebagai pengerusi MPN tatkala negara perlukan pemimpin yang agenda hanya tertumpu kepada rakyat dan negara sahaja.
Jika beliau dipilih menjadi pengerusi MPN, kerajaan perlu “mengikut rentak” Tun dalam apa jua keputusan kelak. Ini kerana PPN merupakan pelan “besar” negara. Maka keputusan pengerusi MPN menyebabkan kerajaan perlu menyemak semula, padan dan suai semula apa jua keputusan yang dibuat Tun dengan dasar dan kepentingan kerajaan.
Dikhuatiri dualisme “timun dan durian” terjadi kelak jika Tun dipilih menjadi pengerusi MPN. Atau bahasa marhaen, Tun Mahathir takkan dengar cakap Perdana Menteri.
Kucing Dibunuh, Tikus Dibela!
Negara kini berada pada landasan yang baik dalam mencapai sedikit kestabilan politik bagi meneruskan MPN bagi mencapai satu kemenangan dalam perang pandemik ini.
Kerajaan baharu yang telah dibina ini perlu bijak menilai pemimpin atau golongan yang perlu turut serta dalam proses pemulihan negara. Kita tidak mahu apa yang berlaku sebelum ini seperti lompat parti, undi tidak percaya, gerakan mengguling kerajaan berlaku lagi.
Jangan ada campur tangan “orang luar” yang akan melemahkan kerajaan baharu yang telah terbentuk dan janganlah kucing dibunuh, tikus dibela!
Muhyiddin terus berdepan COVID-19
Kita perlu ingat, Muhyiddin hadir ketika negara berhadapan dengan krisis kesihatan, ekonomi dan politik, dan beliau tetap harungi untuk memastikan hala tuju negara tidak terjejas.
Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian menyifatkan Muhyiddin sebagai seorang pemimpin pragmatik yang meleraikan masalah rakyat secara praktikal, sesuai dengan keadaan semasa atau realiti ekosistem tanah air.
Pastinya, pemilihan Muhyiddin sebagai Pengerusi MPN dianggap tepat kerana pelantikan ini juga dibuat atas dasar keyakinan Kerajaan terhadap kemampuan Muhyiddin untuk menerajui strategi pemulihan negara, demi mencapai impak ekonomi terbaik dan memulihkan semula kehidupan rakyat yang terjejas teruk akibat pandemik COVID-19.
Muhyiddin pasti lebih arif mengenai susur galur MPN yang beliau sendiri uruskan daripada mula. Amatlah sesuai bagi Muhyiddin untuk terus mengendalikan MPN bagi melakukan semakan, imbangan dan menyelesaikannya hingga ke penghujung. Kerjasama yang kukuh pastinya boleh berlaku antara Muhyiddin dan Ismail Sabri dalam meneruskan MPN ini kerana mereka berdua pernah sama-sama mengharungi pahit getir selama hampir dua tahun ini.
Walaupun Muhyiddin dilihat agak santai tetapi santainya tidak 'kosong' kerana setiap langkah diambilnya bukan sahaja memerlukan arahan segera, berani dan tegas dan beliau mempunyai kebijaksanaan dalam mengatur strategi agar kepentingan semua pihak terjaga.
Kukuhkan Keyakinan Pelabur
Dengan pelantikan Muhyiddin untuk mengemudi MPN mengukuhkan keyakinan pelabur dan keyakinan pelabur juga turut dipacu oleh perkembangan semasa apabila tahap penduduk yang menerima suntikan vaksin COVID-19 akan terus meningkat menjelang bulan depan dan mendorong pembukaan lebih banyak sektor-sektor ekonomi.
Pastinya dengan pelaksanaan MPN yang mencapai sasaran ini akan meningkatkan pertumbuhan ekonomi dan menambah keyakinan pelabur asing.
Dijangka lebih banyak sektor ekonomi dibuka dan lebih banyak peluang pekerjaan juga akan dicipta dengan senario ini.
Ketua Ahli Ekonomi Juwai IQI, Shan Saeed pula menjangkakan Muhyiddin dan Ismail Sabri akan meneruskan strategi MPN dan berkemungkinan menumpukan strategi utama ekonomi untuk meraih kestabilan makroekonomi sekaligus meningkatkan semula keyakinan pelabur melonjakkan momentum pada tahap lebih pantas.
Negara memerlukan kesinambungan dalam menguruskan Majlis Pemulihan Negara dan kuncinya pada Muhyiddin. Label `gagal’ pada beliau adalah permainan parti pembangkang yang menjadikan pelantikannya satu bahan untuk mengkritik Ismail Sabri.
Muhyiddin tidak gagal. Pelbagai insentif dan bantuan telah dilaksanakan sepanjang pentadbirannya seperti Pemerkasa, Permai dan pelbagai lagi. Kalau dikaitkan angka kenaikan kes dan kematian akibat COVID-19, orang yang tidak sekolah sahaja akan ambil bulat-bulat hujah tersebut. Yang sekolah tahu bahawa kes COVID-19 meningkat bukan sahaja di Malaysia tetapi seluruh dunia.
Dan percayalah, lantik Tun Mahathir pun tidak akan mendiamkan kritikan politik kerana agenda utama parti politik sekarang ialah mencemarkan seberapa yang boleh parti lawan.
Nasihat supaya kurangkan berpolitik supaya menumpukan kepada usaha memulihkan ekonomi bagi politikus tegar ini, tidak sampai ke hati batu mereka.
SYAMSYUL SAMSUDIN adalah pensyarah kanan dan pelabur tegar di Bursa Malaysia yang mempunyai kepakaran dalam menganalisis kewangan syarikat dan juga banyak menulis di akhbar-akhbar utama di Malaysia berkaitan pelaburan, kewangan dan ekonomi. Kini merupakan kolumnis DagangNews.com menerusi ruangan VOLATILITI setiap Rabu.
KLIK DI SINI UNTUK MEMBACA KOLEKSI ARTIKEL VOLATILITI