Wah Seong dijangka untung besar selepas raih projek EACOP bernilai RM1.1 bilion | DagangNews Skip to main content

Wah Seong dijangka untung besar selepas raih projek EACOP bernilai RM1.1 bilion

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 24 Mei - Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research menjangkakan Wah Seong Corporation Berhad akan menikmati untung besar pada tahu  kewangan berakhir 31 Disember 2022 dan FY23 selepas berjaya mendapatkan kontrak bagi kerja-kerja penebat haba talian paip East African Crude Oil Pipeline (EACOP) bernilai sekitar RM1.1 bilion.

 

Firma itu berkata, ia merupakan porjek tunggal terbesar yang pernah diraih kumpulan itu selepas Nord Stream 2 pada 2016.

 

"Buat masa sekarang, tempahan Wah Seong berada pada kedudukan RM3 bilion pada 1QFY22 dan tempahan tender berada pada paras RM4 bilion (kebanyakannya melibatkan projek di Asia Barat dan Australia).

 

"Kami positif dengan prospek kumpulan itu untuk jangka sederhana," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, kumpulan itu mencatatkan keuntungan pada 1QFY22 dengan keuntungan teras sebanyak RM4.7 juta.

 

Firma itu berkata, keputusan yang diraih kumpulan itu berjaya mencapai jangkaan mereka pada kadar 8% dan unjuran pendapatan konsensus.

 

Katanya, pendapatan suku berikutnya dijangka menjadi lebih baik disokong oleh hasil serta keuntungan daripada projek EACOP dan projek Qatar.

 

"Keuntungan Wah Seong hampir mencapai dua kali ganda dari tahun ke tahun iaitu RM4.7 juta berbanding RM2.4 juta pada 1QFY21 disumbangkan pendapatan serta margin keuntungan lebih baik daripada semua segmen perniagaan.

 

"Kami tidak membuat sebarang perubahan terhadap unjuran pendapatan bagi FY22 hingga FY23," katanya.

 

HLIB mengekalkan saranan 'beli' untuk Wah Seong dengan harga sasaran (TP) tidak berubah RM1.17. - DagangNews.com