Wahed Technologies ajak pelabur fahami pelaburan Islamik aktif dan pasif | DagangNews Skip to main content

Wahed Technologies ajak pelabur fahami pelaburan Islamik aktif dan pasif

 Mohd Izzat Fadhli Azman

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 24 Nov. - Syarikat pengurusan pelaburan digital (DIM), Wahed Technologies Sdn. Bhd. (Wahed) menerbitkan laporan eksklusif kepada pelabur Malaysia untuk memahami dan membezakan dana pelaburan Islamik aktif dan pasif.

 

Pengarah Eksekutif Negara Wahed, Mohd Izzat Fadhli Azman berkata, laporan berkenaan memberikan penerangan jelas dan teliti tentang pilihan-pilihan pelaburan aktif dan pasif selain dapat memberikan panduan kepada para pelabur sedia ada atau yang berpotensi menjadi pelabur untuk membuat keputusan pelaburan yang bijak.

 

"Terbukti dalam pengumuman Belanjawan 2020, kerajaan Malaysia tertarik ke arah fintech dengan sejumlah besar peruntukan untuk memperkasakan ekonomi digital. Kami, sebagai platform robo-penasihat patuh Syariah berlesen pertama negara, ingin memastikan keterangkuman dengan menyediakan akses kepada pelaburan halal untuk kesejahteraan kewangan yang lebih mapan.

 

"Untuk julung kalinya, Malaysia berada di landasan untuk menjadi pelopor Ekonomi Digital Islam di rantau ini dan kami berhasrat untuk memainkan peranan aktif dengan menyemai benih melalui mendidik masyarakat umum mengenai robo-penasihat pelaburan," jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Laporan berkenaan turut membantu pelabur untuk memahami perbandingan prestasi antara dana unit amanah (UTF) dan dana dagangan saham (ETF) serta mendalami topik strategi pengesanan indeks pelaburan Islam dari perspektif pelabur runcit Malaysia.

 

Laporan yang mudah difahami itu juga memberikan gambaran mendalam tentang apa yang sebenarnya berlaku ketika melabur melalui Wahed, strategi-strategi terbaik yang harus dipertimbangkan ketika melabur serta perbandingan antara dana aktif dan pasif yang tersedia untuk rakyat Malaysia.

 

Tambah beliau, Wahed turut bekerjasama dengan Pusat Pendidikan Antarabangsa dalam Kewangan Islam (INCEIF) yang melibatkan kajian mengenai tahap kesedaran mengenai rono-penasihat  patuh Shariah (aplikasi pengurusan dana) dalam kalangan rakyat Malaysia.

 

"Di tengah-tengah tempoh ketidakstabilan ekonomi yang meningkat disebabkan oleh wabak COVID-19, rakyat Malaysia perlu mengoptimumkan strategi pelaburan mereka. 

 

"Wahed menawarkan rakyat Malaysia akses yang lebih baik untuk mendapat pilihan kewangan yang memenuhi matlamat pelaburan jangka panjang mereka tanpa perlu membayar deposit pelaburan atau bayaran perkhidmatan yang terlalu tinggi, serta membiasakan mereka dengan istilah-isitilah kewangan.

 

"Selain mengenal pasti kesedaran dan sentimen rakyat Malaysia yang melabur melalui robo-penasihat, kajian selama 4 bulan ini juga akan mengumpulkan data untuk memahami jurang-jurang atau isu-isu yang berkaitan dengan platform serta memberi cadangan penyelesaian dan amalan-amalan terbaik untuk menarik bakal pelabur," tambah beliau lagi.

 

Laporan penuh berkaitan panduan bagi membandingkan dana-dana pelaburan Islamik aktif dan pasif boleh didapati melalui pautan https://v.fastcdn.co/u/90ab517a/54409541-0-WAVP-BM.pdf. - DagangNews.com