Air mata tidak berhenti mengalir saksi derita pesakit di hospital dan masjid Gaza | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
WAINUIOMATA - 15 February 2024

Air mata tidak berhenti mengalir saksi derita pesakit di hospital dan masjid Gaza

 

 

 

SAYA telah pergi melawat ke empat buah hospital di Gaza, termasuk hospital terbesar Hospital Al-Shifa, kompleks perubatan dan hospital pusat terbesar di Semenanjung Gaza, terletak di kawasan kejiranan utara Rimal di Bandar Gaza.

 

Selain itu saya pergi ke hospital kanak-kanak, hospital untuk OKU dan hospital biasa. Air mata saya tidak henti mengalir kerana para pesakit  yang belum lagi perang melanda sudah menderita teruk dengan ubat-ubatan yang sukar dan kelengkapan tidak mencukupi.

 

Sewaktu berkunjung ke hospital kanak-kanak, saya ke bilik seorang kanak-kanak perempuan 10 tahun yang koma. Saya dapat melihat dari air mukanya sungguh comel dan air mata saya terus mengalir sayu.

 

Tiada kecacatan di mana-mana tetapi insiden yang meletus dengan pengeboman menyebabkan dia koma sejak beberapa bulan lalu.

 

Apabila saya menghampiri dari dekat, tiba-tiba kanak-kanak perempuan itu tersenyum. Saya terkejut dengan senyuman manis dalam mata terpejam dan kebetulan seorang jururawat lalu dan jururawat itu terus meluru.

 

“She smiles.” Kemudian memandang saya, “She smiles at you!”

 

Ramai yang lain datang untuk melihat dengan gembira betapa senyumannya sungguh mendalam dan kemudian kanak-kanak itu kembali koma. Saya terus tidak dapat menahan air mata kerana senyuman itu seolah-olah melihat kedatangan saya.


 

waionuiomata

 


Saya kemudian ke hospital OKU yang semuanya OKU kecuali doktor. Pelbagai kecacatan yang tidak di sangka seperti tiada belakang kepala dan tiada tangan dan kaki. Saya tidak dapat menahan air mata dan memberi sedekah semua wang yang saya ada untuk setiap OKU.

 

Seorang OKU datang memberitahu, “You can put your money in the box. We don’t accept donation individually.”

 

Saya terkejut dengan kata-kata yang merangsang dan OKU itu tersenyum dengan kerusi rodanya.

 

Sebuah hospital di Gaza mungkin menyediakan tahap perkhidmatan yang berbeza berbanding di negara maju. Adalah diketahui bahawa orang awam Gaza mendapat perkhidmatan perubatan yang lebih awal di Israel selama beberapa dekad juga.

 

Jadi perkhidmatan perubatan yang berbeza mungkin menjelaskan nisbah yang berbeza antara 2 juta penduduk dan 30 hospital.

 

Di selatan Gaza, yang dahulunya mempunyai 12 hospital, hanya 7 yang masih berfungsi sebahagian tahun 2024. Dua lagi, Hospital Al-Kheir dan Kompleks Perubatan Nasser, hanya berfungsi secara minimum dan kini tidak boleh diakses.

 


Kementerian Kesihatan Gaza ialah agensi kerajaan yang bertanggungjawab untuk perkhidmatan penjagaan kesihatan dan perubatan di Semenanjung Gaza di wilayah Palestin.


 

waionuiomata

 

waionuiomata

 

Satu daripada beberapa kemudahan perubatan yang tinggal di Gaza berlutut dengan hanya tinggal lima doktor, merayu agar hospital itu terhindar daripada pertempuran yang melanda.

 

Pengeboman tanpa henti, gangguan bekalan elektrik dan kekurangan bekalan elektrik telah menyebabkan hampir setiap hospital di utara Semenanjung Gaza yang terkepung tidak beroperasi, dengan bukti serangan berulang ke atas dan di sekitar kemudahan perubatan walaupun terdapat doktor, pesakit dan orang awam di dalam.

 

Hanya sembilan daripada 36 kemudahan kesihatan sebahagiannya berfungsi di seluruh Gaza, menurut WHO. Kesemua kemudahan tersebut tertumpu di selatan Gaza.

 

Sementara itu lebih kurang 1,000 daripada 1,2000 masjid di Semenanjung Gaza telah musnah dalam serangan Israel sejak 7 Oktober, kata pihak berkuasa tempatan.

 

Lebih 100 pendakwah Islam turut terbunuh dalam serangan maut Israel di kawasan yang dikepung, Kementerian Wakaf dan Hal Ehwal Agama Gaza berkata dalam satu kenyataan, sambil menambah bahawa sebuah gereja, beberapa bangunan pentadbiran dan sekolah al-Quran telah musnah dalam serangan Israel.

 

Ini termasuk Masjid Besar Omari, salah satu masjid paling penting dan purba di Palestin bersejarah, dan Gereja Saint Porphyrius, dianggap sebagai gereja tertua ketiga di seluruh dunia.


 

waionuiomata
Masjid Besar Omari sebelum dibom (atas) dan sesudah dibom rejim Zionis (bawah)

 

waionuiomata

 


Pembinaan semula masjid-masjid ini akan menelan belanja sekitar $500 juta. Pendudukan Israel terus memusnahkan berpuluh-puluh tanah perkuburan dan menggali kubur, melanggar kesucian mereka dan mencuri mayat di dalamnya, dalam satu cabaran yang jelas terhadap piagam antarabangsa dan hak asasi manusia.

 

Palestin merayu kepada negara-negara Arab dan Islam serta orang-orang yang berhati nurani untuk menunaikan tanggungjawab mereka terhadap rakyat Palestin di Semenanjung Gaza.

 

Israel melancarkan kempen ketenteraan tanpa pandang bulu dan tanpa henti terhadap Semenanjung Gaza, membunuh lebih 25,000 orang - kebanyakannya wanita dan kanak-kanak - dan mencederakan sekurang-kurangnya 62,000.

 

Serangan Israel telah menyebabkan lebih 85 peratus penduduk Gaza kehilangan tempat tinggal dan menguatkuasakan pengepungan total yang membawa kepada kekurangan makanan, air bersih dan ubat-ubatan yang teruk.

 

Ia juga telah memusnahkan sekurang-kurangnya 60 peratus infrastruktur enklaf itu melalui sasaran berulang ke atas hospital, sekolah, universiti dan lebih 100 tapak warisan.


 

waionuiomata

 


Gereja Baptist Gaza ialah satu daripada tiga gereja Kristian di Semenanjung Gaza, dan satu-satunya gereja Protestan dan evangelis - dua gereja Kristian yang tinggal di Semenanjung Gaza ialah Gereja Katolik Keluarga Suci dan Gereja Ortodoks Timur Saint. Porfirius.

 

Saya pergi ke masjid terbesar dan bersolat di belakang imam, pada waktu itu Ketua Hamas dan Perdana Menteri Gaza, Ismail Haniyeh yang menyuruh saya betul-betul di sebelah kanannya. Saya terharu dan sekali lagi menangis kerana solat di belang pemimpin yang saya sangat hormat.

 

Saya pernah ke masjid yang semua penghafaz al-Quran dari semua peringkat umur, mengambil bahagian. Para peserta mula membaca Al-Quran sejurus selepas solat subuh. Sesi itu diteruskan sepanjang hari hingga ke malam.
Kanak-kanak, wanita dan remaja mengambil bahagian dalam acara hafazan al-Quran.

 

Gaza terkenal kerana mempunyai salah satu populasi terbesar Hafiz - orang yang menghafal Al-Quran sepenuhnya  di dunia, berkadaran dengan populasi 2.2 juta orang. Acara hafazan al-Quran sering diadakan di seluruh Palestin.

 

Para pelajar hafiz Quran mendatangi saya yang cukup teruja dan mereka menghafal bersungguh-sungguh.


 

waionuiomata
Gambar Mahmoud Ajjour, The Palestine Chronicle

 

waionuiomata

 


Dari seorang guru yang berkata di web, “Walaupun dalam keadaan kita hidup, dan walaupun godaan yang meluas, bilangannya semakin meningkat, keluarga berminat untuk membesarkan anak-anak mereka berdasarkan prinsip Islam.”
Yang lain berkata mempelajari Al-Quran menjauhkan mereka daripada media sosial.

 

"Saya meninggalkan permainan, internet, telefon bimbit, dan perkara-perkara yang memudaratkan, dan mengabdikan diri kepada al-Quran. Saya pergi ke masjid untuk menghafal Al-Quran. Saya mengaji dan menghafal dari 10:15 hingga tengah hari dan kemudian saya balik rumah.

 

"Atau kadang-kadang saya mendengar pelajar lain mengaji, dan kemudian saya pulang ke rumah untuk mengulang kaji dan bersiap untuk keesokan harinya. Saya makan tengahari dan tidur seterusnya, saya bangun, mengulang kaji dengan baik dan selepas itu saya tidur untuk bangun pagi dan pergi masjid."

 

Itu sebelum perang pada bulan Oktober melanda dengan hampir 28,000 orang terbunuh dan 67,000 cedera di Gaza dengan genosid Israel yang berterusan. Doa untuk Palestin yang syahid mempertahankan tanahair dan masjid Al Aqsa.- DagangNews.com

 

Mohd Fudzail Mohd Nor telah aktif menulis di pelbagai medium termasuk sebagai kolumnis portal berita dan memenangi banyak hadiah sastera selama beliau berkelana di luar negara. Kolum Wainuiomata ini adalah bersempena nama bandar universiti beliau di New Zealand. - DagangNews.com

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL WAINUIOMATA

dagangnews

 

 

Portfolio Tags