Wajarkah GST dikembalikan?  | DagangNews Skip to main content

Wajarkah GST dikembalikan? 

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

 

Kontroversi yang membelenggu cukai barang dan perkhidmatan (GST) sangat 'popular' sama ada sebelum dan selepas dilaksanakan pada 1 April 2015. 

 

Secara kasar, regim cukai ini kurang diterima rakyat dan akhirnya telah 'menumbangkan' kerajaan Barisan Nasional pada pilihan raya umum ke-14, selain terdapat juga beberapa faktor lain.

 

Bagaimanapun, perdebatan mengenai cukai ini tidak pernah padam apatah lagi pengenalan semula cukai jualan dan perkhidmatan (SST) pada 2018 oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) telah menjejaskan hasil negara. 

 

Ketika negara berdepan krisis pandemik COVID-19, cadangan membawa semula GST mula kedengaran tahun lalu, iaitu tahun yang sama, negara menyaksikan perubahan kerajaan sekali lagi yang kini dipimpin Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di bawah Perikatan Nasional. 

 

Perbincangan itu dibangkitkan semula sebagai antara usaha membantu meningkatkan kemampuan kerajaan dalam menangani kelembapan ekonomi dengan hasil yang ada tanpa bergantung kepada tambahan hutang negara. 

 

Sebagai negara pengeluar minyak, pendapatan daripada petroleum menjadi sumber pendapatan fiskal kepada kerajaan dari segi kutipan cukai petroleum dan royalti syarikat-syarikat minyak. 

 

Analisis MIDF Research dalam laporannya semalam menunjukkan, apabila harga minyak mula merosot sekitar 2014 hingga 2015 ia menyebabkan pendapatan negara menurun kepada RM8.4 bilion (atau 5.7% daripada pendapatan) pada 2016. 

 

Jumlah ini jauh lebih rendah daripada yang pernah direkodkan pada 2012, sebanyak RM33.9 bilion (atau 19.4% daripada pendapatan) menerusi hasil petroleum. 

 

Harga minyak Brent menyusut serendah AS$27.88 setong pada 20 Januari 2016, daripada AS$100 setong pada Ogos 2014. 

 

Malah, negara pengeluar minyak yang bergantung kepada hasil daripada sektor minyak dan gas (iaitu lebih 50% daripada pendapatan bajet) seperti Arab Saudi dan Rusia juga melaksanakan GST atau dikenali sebagai cukai nilai tambah (VAT) bagi sesetengah negara. 

 

Sebagai perbandingan, Malaysia hanya menjana kurang daripada 10% daripada jumlah perolehan menerusi cukai petroleum.  

 

midf

 

Di seluruh dunia, lebih 160 negara merentasi ASEAN, Asia, Eropah, Afrika dan Amerika Selatan telah melaksanakan cukai ini. 

 

Dalam kalangan ASEAN, hanya 7 negara menggunapakai sistem GST kecuali Malaysia, Myanmar dan Brunei.  

 

Cukai ini telah menyumbang sebanyak RM85.5 bilion hasil kepada kerajaan pada 2016 dan 2017, manakala pendapatan berasaskan petroleum hanya RM10.9 bilion bagi tempoh tersebut. 

 

Sebelum dimansuhkan pada 2018, kutipan GST menjadi sumber pendapatan cukai yang signifikan kepada kerajaan bagi tempoh 2015 hingga 2017. 

 

Kutipan tahunan cukai ini bagi 2016 hingga 2017 secara purata berjumlah RM42.7 bilion setahun atau menyumbang hampir 20% kepada keseluruhan hasil kerajaan tetapi hasil SST hanya merangkumi jumlah yang kecil pada purata 7.6% bagi tempoh 2005 hingga 2014.  

 

MIDF Research mendapati, tanpa GST, defisit fiskal kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) boleh melebar sehingga 9.9% pada 2015 ekoran kejatuhan harga minyak dan pendapatan petroleum yang lemah.

 

Jurang defisit fiskal ini semakin berkurangan kepada 2.9% pada 2017, terendah dalam tempoh 7 tahun apabila kutipan cukai ini menyumbang kepada peningkatan pendapatan fiskal. 

 

Apabila GST dimansuhkan pada 2018, sekali lagi defisit fiskal ini meningkat kepada 3.7% daripada KDNK pada tahun itu. 

 

Walaupun hanya dilaksanakan tidak sampai 4 tahun, hasil GST ini banyak membantu kerajaan dari segi kedudukan fiskal, merapatkan jurang defisit dan mengimbangi pendapatan berasaskan petroleum yang semakin berkurangan. 

 

Kedudukan fiskal kini dijangka semakin melebar apabila pakej rangsangan diperkenalkan bagi menangani pandemik COVID-19 dan menggerakkan ekonomi yang mana kerajaan mengunjurkan defisit melonjak 6% pada 2020 berbanding 3.4% tahun sebelumnya. 

 

Wajar atau tidak GST ini dikembalikan semula, menjadi satu keputusan yang sukar untuk ditentukan kerajaan buat masa ini. 

 

Apatah lagi negara kini melalui PKP 2.0 dan darurat diisytiharkan sehingga 1 Ogos 2021 ekoran melonjaknya jangkitan baharu COVID-19 empat angka setiap hari.

 

Menurut MIDF Research, pengukuhan fiskal yang bersepadu amat perlu bagi membina semula ruang fiskal kerajaan apabila ekonomi sudah mula stabil dan berada dalam landasan pemulihan. 

 

"Ini akan menyediakan fleksibiliti yang lebih kepada kerajaan untuk menyuntik semula lebih banyak sokongan kepada ekonomi dan menangani kesan daripada sebarang kejutan baharu.  

 

"Di sebalik kontroversi pelaksanaan GST yang lalu, apa yang boleh kami simpulkan sekurang-kurangnya ia memberi impak positif bagi menambahbaik kedudukan fiskal kerajaan," katanya. 

 

Bagi memastikan regim GST yang lebih baik, firma itu mencadangkan supaya kerajaan mempertimbangkan semula kelebihan GST berbanding cukai lain yang memberi manfaat kepada kerajaan, perniagaan dan rakyat. 

 

Pada masa sama, katanya, kerajaan juga boleh menilai semula cukai ini dan mengkaji bagaimana ia dapat dilaksanakan dengan lebih baik. 

 

"Paling utama, komunikasi mengenai keputusan pelaksanaan GST amat penting kerana ia melibatkan rakyat. 

 

"Maklumat lebih jelas perlu disalurkan untuk melihat kemungkinan impak dalam jangka masa pendek dan strategik kerajaan untuk mengurangkannya," katanya. 

 

Berdasarkan pelaksanaan GST kali pertama, banyak isu dibangkitkan mengenai agihan dan kutipan yang tidak efisien. 

 

Tegas firma itu, perkara berkenaan perlu ditangani sewajarnya kerana sebarang penangguhan akan menjejaskan aliran tunai dan meningkatkan kos menjalankan perniagaan. 

 

"Selain itu, pelarasan dapat dibuat selepas melakukan analisis kos-faedah seperti pada tahap yang dikenakan cukai dan kadar GST," katanya. 

 

midf

 

MIDF Research dalam laporan itu juga menggariskan beberapa perkara utama yang harus diberi perhatian oleh kerajaan jika GST dilaksanakan semula. 

 

  • Sentimen pengguna 

Ia merosot di bawah 80 mata apabila GST dilaksanakan 2015 dan berlegar-legar pada paras 60 hingga 80 mata lebih daripada 2 tahun. Selepas PRU-14, dan GST dikurangkan daripada 6% kepada 0% dan dimansuhkan pada Jun 2018, sentimen pengguna meningkat 132.9 mata. Namun, pengenalan semula SST menyebabkan sentimen pengguna kembali jatuh di bawah 100 mata. Pada suku pertama 2020, ia jatuh paras terendah 51.1 ekoran COVID-19 apabila kadar pengangguran meningkat dan perniagaan tidak boleh beroperasi. Dalam erti kata lain, GST boleh menjejaskan sentimen pengguna yang mula meningkat secara berperingkat sejak suku pertama 2020 jika maklumat tidak disampaikan secara jelas kepada rakyat 

 

 

  • Inflasi 

Kadar inflasi pada purata 2.3% bagi tempoh 3 tahun sebelum GST, tidak jauh berbeza dengan purata 2.7% yang dicatatkan selama 3 tahun selepas GST. Berdasarkan kemungkinan paras harga meningkat jika GST diperkenalkan semula, pihak berkuasa yang berkaitan perlu memantau pergerakan harga selepas dikuatkuasakan

 

  • Kesan cukai bertindih

Ia kerap berlaku di bawah SST. Dengan mengambil kadar yang sama, pengguna akan membayar kurang di bawah GST berbanding SST. Pada masa sama, kerajaan dapat mengelak sebarang kerugian dalam cukai yang tidak dikutip berikutan sistem kutipan yang lebih menyeluruh

 


Sementara itu, Ahli Majlis Persatuan Akauntan Percukaian (MATA), Dr. Mohd. Fairuz A. Razak berkata, secara dasarnya, sistem cukai yang adil adalah mengambil kira semua sudut dan dalam konteks ini, GST merupakan cukai yang baik. 

 

"Semua orang perlu membayar cukai dalam GST dan tidak terkecuali juga bagi perniagaan. 

 

"Malah, semua pendapatan cukai boleh disalurkan semula kepada rakyat melalui insentif atau geran bantuan daripada kerajaan," katanya kepada DagangNews.com.

 

Bagaimanapun, beliau menegaskan, jika GST dikembalikan, kerajaan perlu menjalankan pemantauan dari semasa ke semasa dan pada masa sama dapat menurunkan cukai individu dan cukai korporat.  

 

Beliau juga berpendapat, GST dapat menampung pendapatan negara dan menggalakkan ekonomi tidak formal dalam sistem percukaian negara. 

 

Katanya, kebanyakan negara juga melaksanakan GST atau VAT bagi mengekang aktiviti ekonomi haram secara berleluasa yang boleh memudaratkan negara.

 

"Jika kerajaan mahu diperkenalkan semula, kadar paling bersesuaian adalah 4% (berbanding 6% sebelum ini)," katanya. 

 

Pada Disember lalu, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Aziz berkata, kerajaan tiada sebarang keputusan bagi melaksanakan semula GST terutama mengambil kira keadaan pandemik COVID-19 dan sehingga keadaan ekonomi pulih. - DagangNews.com