Wan Zulkiflee sertai lembaga pengarah ExxonMobil | DagangNews Skip to main content

Wan Zulkiflee sertai lembaga pengarah ExxonMobil

 

 

 

KUALA LUMPUR 3 Feb. - Bekas Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Petronas, Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin dilantik menyertai lembaga pengarah ExxonMobil Corporation (ExxonMobil).

 

Beliau memegang jawatan CEO di syarikat minyak dan gas negara sejak 2015 hingga 2020 dan menerajui pelbagai inisiatif kecekapan dan pertumbuhan strategik, selain penyertaan Petronas ke dalam sektor bahan kimia khusus.

 

Malah, sepanjang tempoh itu, Petronas dilaporkan merekodkan prestasi kewangan yang kukuh di samping meningkatkan pelaburan syarikat dalam teknologi pelepasan rendah. 

 

Ketika ini, Wan Zulkiflee merupakan pengerusi bukan eksekutif dalam lembaga pengarah Malaysia Airlines Berhad dan DRB-HICOM Berhad, serta terbabit dalam beberapa inisiatif yang tertumpu kepada pendidikan dan kepimpinan sektor awam.

 

Pengerusi dan CEO ExxonMobil, Darren Woods menyifatkan kepakarannya dalam industri global dan pandangannya berkaitan peralihan tenaga akan melengkapi pengalaman yang dimiliki lembaga pengarah. 

 

"Kami mengalu-alukan kehadiran beliau dalam ahli lembaga pengarah," katanya dalam kenyataan. 

 

Dengan pelantikan itu, lembaga pengarah ExxonMobil meningkat kepada 11 pengarah, yang mana 10 daripadanya adalah pengarah bebas. 

 

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, ExxonMobil menambah kepakaran lembaga pengarah dalam bidang sains iklim, pengurusan aset dan risiko serta pengalaman industri berkaitan.

 

Sebanyak 5 pengarah bebas dilantik sejak 2016.

 

Purata tempoh berkhidmat lembaga pengarah ExxonMobil adalah di bawah 6 tahun, berbanding purata 8 tahun syarikat-syarikat dalam S&P 500.

 

Menurut ExxonMobil, syarikat akan terus berbincang dengan calon pengarah lain yang mempunyai pelbagai set kemahiran, sebagai sebahagian daripada proses pembaharuan berterusan.

 

Lembaga pengarah syarikat itu menjangkakan akan mengambil tindakan selanjutnya dalam masa terdekat ini. - DagangNews.com