Skip to main content

Wang Bantuan Prihatin Nasional bantu usahawan bangkit, majukan `rempeyek melotop'

Sebahagian pekerja MIG menggoreng rempeyek untuk memenuhi permintaan pelanggan.
oleh HUSNA ABDULLAH

MARANG 15 Julai - Pelaksanaan  Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat COVID-19 pada Mac 2020 yang lalu menyebabkan ramai usahawan dalam industri kecil dan sederhana (IKS) jatuh tersungkur dan gulung tikar.

 

Antara yang terkesan ialah seorang peniaga kecil-kecilan di Marang, Terengganu iaitu Shahrizam Samsudin, 37.

 

PKP menyebabkan sumber pendapatan utamanya yang diperoleh hasil jualan makanan dan minuman di pasar malam dan pasar pagi sekitar Terengganu terjejas teruk.

 

Namun, langkah kerajaan mengumumkan pemberian wang Bantuan Prihatin Nasional (BPN) sebanyak RM1,600 ketika itu dimanfaatkan sepenuhnya sebagai modal permulaan untuk mengusahakan perniagaan baharu iaitu rempeyek.

 

"Saya gunakan resipi turun temurun dari nenek dan mula menjualnya kepada saudara mara dan sahabat handai. Sedikit demi sedikit, permintaan semakin bertambah dan saya sentiasa menambah baik kualiti rempeyek yang dihasilkan.

 

"Pada tahun 2020, jualan hanya 4,000 balang rempeyek sahaja sebulan namun meningkat kepada 15,000 balang rempeyek pada Aidilfitri dan Aidiladha baru-baru ini," katanya ketika dihubungi DagangNews.com.

 

Harga setiap rempeyek dijual antara RM18 hingga RM25 sebalang dengan dua perisa utama iaitu kacang tanah dan kacang dhal menggunakan jenama `Rempeyek Melotop Pantai Timur'.

 

 

Shahrizam Samsudin
                         Shahrizam Samsudin

 

 

Rempeyek keluaran syarikatnya, Micro Global Enterprise kini sudah menembusi beberapa pasaraya sekitar Pantai Timur dan turut mempunyai lapan stokis negeri, tiga mini stokis dan 92 pengedar di seluruh negara ketika ini.

 

Lebih membanggakan kerana dahulu dia hanya mempunyai tiga pekerja namun kini bertambah kepada 13 orang di dua cawangan kilang rempeyek miliknya iaitu di Kampung Padang Limau Nipis dekat Marang dan Chukai di Kemaman.

 

Perkembangan positif perniagaan yang diusahakan Shahrizam itu turut menarik perhatian Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu apabila menawarkan pembiayaan perniagaan sebanyak RM15,000 untuk membesarkan lagi operasi di kilang tersebut.

 

mig

 

MIG

 

 

Shahrizam berkata dia juga berhasrat membuat pes rempeyek sebagai inisiatif untuk memasarkan produk itu ke seluruh negara kerana rempeyek yang dihasilkan kini agak 'fragile' dan tidak sesuai dihantar kepada pelanggan menggunakan khidmat syarikat kurier.

 

"Idea itu timbul setelah mendapat maklum balas dari pelanggan yang tinggal jauh dari Terengganu. Mereka kecewa tidak dapat menikmati keenakan rempeyek ini kerana kekangan syarikat dari segi logistik.

 

MIG

 

"Saya akan membentangkan kertas kerja idea itu kepada Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) Terengganu dalam waktu terdekat," katanya.

 

Hasratnya kini adalah untuk membantu lebih ramai individu di seluruh negara menceburi bidang perniagaan dengan modal yang sangat minimum.

 

MIG
Rempeyek diusahakan Shahrizam kini boleh didapati di beberapa pasaraya sekitar Pantai Timur.

 

 

"Sebagai usahawan yang terjejas teruk akibat pandemik COVID-19, saya mahu berkongsi rezeki dan peluang dengan sesiapa sahaja yang baru diberhentikan kerja atau mahu mencari pendapatan sampingan untuk berniaga rempeyek ini.

 

"Bahan untuk pengiklanan dan pemasaran akan disediakan termasuk perkongsian ilmu melalui media sosial.

 

Saya menggunakan Facebook, Instagram, WhatsApp, Tik Tok dan YouTube untuk memperkenalkan lagi jenama rempeyek ini," katanya yang berpengalaman luas dalam bidang teknikal dan internet kerana pernah bekerja dalam bidang tersebut sebelum ini. - DagangNews.com