Skip to main content

Warga TNB prihatin bantu kejiranan

Penduduk sekitar pejabat TNB Kluang, Johor yang terkesan akibat pandemik COVID-19, berbaris bagi mendapatkan bantuan makanan yang disumbangkan warga kerja TNB Kluang menerusi projek Gerobok Rezeki.- Gambar TNB

 

 

KUALA LUMPUR 11 Julai - Nilai Warga TNB Prihatin (WTP) terus diterjemahkan oleh anggota kerja Tenaga Nasional Berhad (TNB) dengan inisiatif sendiri menghulurkan bantuan kepada masyarakat di kejiranan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berpanjangan.

 

Antaranya, anggota kerja TNB Kluang, Johor berpakat menyalurkan sumbangan barangan keperluan menerusi projek Gerobok Rezeki Staf TNB Kluang, selepas melihat sendiri secara dekat keperitan penduduk sekitar yang terputus bekalan makanan.

 

Sejak dimulakan tiga minggu lalu, sebanyak 376 bungkusan telah diagihkan TNB Kluang. Setiap bungkusan antara lain mengandungi barangan keperluan makanan.

 

Nilai keprihatinan TNB ini turut diterjemahkan oleh anggota kerja TNB di anak syarikatnya, Kapar Energy Ventures Sdn Bhd (KEV) yang bertugas di Stesen Janaelektrik Sultan Salahuddin Abdul Aziz di Kapar, Klang, Selangor.

 

Warga kerja KEV mengambil inisiatif foodbank yang diwujudkan di beberapa kedai terpilih di sekitar kawasan Kampung Tok Muda, Serdang dan Pekan Kapar di Klang bagi meringankan beban penduduk kejiranan.

 

Inisiatif foodbank turut dijalankan TNB Kemaman di Terengganu menerusi kutipan ikhlas dalam kalangan anggota kerja serta sumbangan orang awam, untuk agihan penduduk setempat.

 

Pengerusi TNB, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, usaha murni warga kerja kami ini mencerminkan pengertian mendalam aspek nilai keprihatinan Syarikat dan menyokong program-program tanggungjawab syarikat TNB bagi membantu komuniti sekitar.

 

“Semangat berkongsi rezeki ini juga diperlukan dari semua pihak dalam suasana wabak virus korona yang masih belum reda kerana semakin ramai yang memerlukan bantuan akibat pandemik COVID-19 yang berterusan.

 

“Saya percaya sumbangan ini memberi begitu banyak makna kepada penerima dan saya harap ia menjadi titik tolak untuk lebih ramai lagi turut serta menghulurkan bantuan yang serupa,” kata beliau dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Mahdzir berkata, inisiatif ini yang bermula atas dasar keprihatinan warga kerja TNB juga disambut baik oleh pelbagai pihak termasuk orang awam dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) yang turut menghulurkan sumbangan.

 

Sumbangan barangan keperluan makanan ini juga dilaksanakan warga kerja TNB menerusi pelbagai cawangan persatuan dan kelab dalam TNB, antaranya Persatuan Kebajikan Pekerja Islam TNB, Persatuan Wanita TNB (PELITAWANIS TNB) dan Kelab Kilat TNB dengan bungkusan makanan bernilai lebih RM320,000 telah diserahkan sehingga kini.

 

Di peringkat Syarikat pula, TNB menerusi Pengurusan Tertinggi dan persatuan dalaman telah menubuhkan Tabung Warga TNB Prihatin (WTP) bagi mengumpulkan sumbangan sukarela warga kerja melalui penolakan gaji bulanan pada bulan Jun dan Julai.

 

Sejak dilancarkan pada 9 Jun lalu, lebih daripada RM1.57 juta telah berjaya dikumpul. Daripada jumlah itu, lebih RM1.137 juta telah diagihkan kepada lebih 1,900 penerima di seluruh Semenanjung termasuk fakir miskin dan asnaf, ibu tunggal, Orang Kurang Upaya, warga emas serta mereka yang kehilangan pekerjaan dan sumber pendapatan.

 

Awal tahun ini, TNB telah menghulur bantuan kepada lebih 10,000 penerima daripada golongan B40 menerusi peruntukan sejumlah hampir RM9.5 juta bagi membiayai pembinaan semula dan membaiki rumah, mengagih bekalan makanan dan keperluan asas serta wang saku. - DagangNews.com