Wartawan kanan Bernama meninggal dunia di Sibu | DagangNews Skip to main content

Wartawan kanan Bernama meninggal dunia di Sibu

SIBU 21 Okt - Hari yang menyedihkan bagi warga Bernama dan rakan-rakan wartawan apabila wartawan kanannya, Minggu Simon Lhasa, 53, meninggal dunia di Hospital Sibu pada Rabu selepas sakit sekian lama.

 

Minggu menghembuskan nafas terakhir di sisi bapanya pada kira-kira 3.10 petang Rabu, kata adik perempuannya, Daisy ketika dihubungi di sini.

 

“Jasad beliau akan dibawa balik ke rumah kakak saya di Pearl Avenue di Sibu Jaya pagi esok dan akan disemadikan di Taman Peringatan Nirvana Sibu pada kira-kira 9 pagi Sabtu ini,” katanya.

 

Minggu, yang masih bujang, meninggalkan bapanya Simon Lhasa Briak, 76; abang Edward Anchar, 55; adik lelaki Chard, 51; dan empat adik perempuan, Anna, 46; Doris, 41; Dora, 39, dan Daisy, 36. Ibu mereka Lina Mit meninggal dunia pada 2003.

 

Minggu, yang ketika hayatnya merupakan seorang yang periang, dilantik sebagai wartawan di Meja Ekonomi pada 1 Jan 1995 dan pada 15 Jun 2013 bertugas sebagai Pewarta Bernama di Thailand.

 

Selepas tiga tahun, Minggu kembali ke Malaysia untuk menjadi Editor Tugasan di Meja Berita Ekonomi pada 1 Jan 2016 sebelum bertugas di BERNAMA TV pada 1 Nov 2017 sebagai Editor Tugasan sehingga beliau meninggal dunia.

 

Mendiang merupakan bekas Yang Dipertua Kesatuan Pekerja-Pekerja Bernama. Mendiang akan dikenang oleh juniornya sebagai seorang ketua yang baik.

 

Sidang Editorial DagangNews yang pernah berkhidmat bersama mendiang turut merasai kehilangan sahabat yang baik, tajam pemerhatian dan diakui memiliki gaya penulisan berwibawa. Portal berita perniagaan berbahasa Malayasia ini merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mendiang di Sarawak dan sahabat-handai terutama di Bernama. - DagangNews.com