Skip to main content
DagangNews.com
Kolum Anekdot Mawarith - 21 December 2020

ariffinsabirin

WASIAT TIDAK SAH? (Bahagian 2)

 

 

SAYA telah ulas dalam penulisan sebelum ini bahawa wasiat jika diberikan kepada waris iaitu pihak yang menerima harta pusaka mengikut hukum faraid adalah terbatal sekiranya tidak dipersetujui oleh waris faraid yang lain selepas kematian pewasiat.

 

Persetujuan waris faraid yang lain itu pula hendaklah diperoleh selepas kematian pewasiat bukan semasa hidupnya pewasiat. Ada kes saya jumpa semasa hidup, si ayah telah mewasiatkan semua harta pusakanya dibahagikan sama rata di antara anak lelaki dan anak perempuan. Semasa wasiat itu dibuat, si ayah telah bertanya kepada anak-anak sama ada mereka setuju atau tidak dengan wasiat itu dan semuanya bersetuju.

 

Selepas kematian si ayah, anak lelaki berubah fikiran dan tidak bersetuju pula dengan wasiat itu. Dia mahukan harta pusaka itu diagihkan mengikut hukum faraid di mana dia mendapat dua bahagian manakala adik perempuannya mendapat satu bahagian. Walaupun adik perempuan mendakwa wasiat itu mengikat kerana abang telah bersetuju dengannya semasa ayah hidup, wasiat itu tetap terbatal kerana persetujuan waris yang dikira adalah selepas kematian pewasiat.

 

Saya harap penjelasan ini cukup untuk memberi panduan kepada para pembaca limitasi wasiat dari segi pembahagian harta terutamanya jika wasiat diberi kepada waris faraid seperti pasangan, anak-anak, ibubapa dan waris-waris lain yang menerima bahagian.

 

Jadi apakah dokumen yang perlu dibuat sekiranya kita mahukan harta kita dibahagikan kepada pasangan dan anak-anak tetapi mengikut formula agihan yang kita mahukan? Jawapannya ialah HIBAH.

 

Saya mahu ulas semula kes wasiat A dalam penulisan saya sebelum ini. Satu aspek tentang wasiat itu telah saya ulas panjang lebar iaitu wasiat A yang memberi harta pusakanya kepada pasangan dan anak-anak sahaja sedangkan wujud waris lain iaitu kakak dan adik lelakinya, adalah terbatal sekiranya wasiat itu tidak dipersetujui oleh kakak dan adiknya. Ini sangat jelas dan tiada kekhilafan langsung yang wujud di kalangan fuqaha’.

 

BACA WASIAT TIDAK SAH? Bahagian 1

 

Dalam artikel ini pula saya nak ulas pula kedudukan isteri A yang telah dilantik sebagai wasi (pentadbir harta pusaka) oleh A melalui wasiatnya itu. Perlantikan wasi lebih merupakan isu pengurusan harta pusaka iaitu proses perundangan yang perlu dilalui sebelum harta pusaka diagihkan kepada waris yang berhak.

 

Wasi ialah pihak yang bertanggungjawab untuk menguruskan harta pusaka itu. Wasilah pihak yang mengumpulkan segala maklumat tentang waris faraid yang berhak, kedudukan dan nilai harta serta hutang simati. Apabila semua maklumat telah dikumpulkan, wasi perlu memulakan prosiding menuntut harta pusaka sama ada di Pejabat Pusaka Kecil atau Mahkamah Tinggi Sivil melalui syarikat amanah, peguam atau atas inisiatif sendiri (bagi kes Pejabat Pusaka Kecil sahaja)

 

Apabila Surat Kuasa Mentadbir dan Perintah Pembahagian (kes Pejabat Pusaka Kecil)  atau Geran Probet / Letter of Administration dan Distribution Order (kes Mahkamah Tinggi Sivil) telah dikeluarkan, wasi bertanggungjawab pula untuk memastikan semua harta pusaka diagihkan kepada waris yang berhak. Berat tanggungjawab wasi ni.

 

Di mana kedudukan isteri A sebagai wasi dalam wasiat ini ? Aspek perlantikan wasi ini ramai orang Malaysia tidak tahu.

 

ariffinsabirin

 

Sekiranya simati meninggalkan harta pusaka bernilai melebihi RM2 juta dan kes pusakanya dibicarakan di Mahkamah Tinggi Sivil, maka perlantikan isteri A sebagai wasi adalah berkuatkuasa berdasarkan Akta Probet dan Pentadbiran 1959.

 

Sekiranya ada waris yang tidak bersetuju dengan pelantikan wasi itu, mereka perlu menghujahkan kepada Mahkamah Tinggi Sivil kenapa mereka tidak bersetuju. Antara alasan yang boleh diterima pakai ialah wasi itu tidak layak kerana pernah disabitkan kesalahan jenayah, wasi penagih dadah, wasi ada masalah moral dan lain-lain faktor. Mahkamah Tinggi Sivil kemudiannya akan membuat keputusan sama ada wasi itu layak atau tidak.

 

Walaubagaimanapun bagi kes Pejabat Pusaka Kecil (bagi harta pusaka bernilai kurang RM2 juta dan ada hartanah), amalan biasa ialah sekiranya ada bantahan dari kalangan waris tentang perlantikan pentadbir (di Pejabat Pusaka Keci wasi dipanggil pentadbir), maka kes itu perlu dirujukkan terlebih dahulu ke Mahkamah Syariah untuk pengesahan. Pejabat Pusaka Kecil tidak mempunyai bidang kuasa untuk mengesahkan perlantikan wasi itu sepertimana kuasa yang dimiliki oleh Mahkamah Tinggi Sivil.

 

Mahkamah Syariah pula  akan mengguna pakai enakmen wasiat (jika negeri itu ada enakmen wasiat) atau apa-apa peruntukan yang berkaitan dalam mengesahkan perlantikan wasi ini.  

 

Sekiranya individu yang dilantik sebagai wasi itu disahkan oleh Mahkamah Syariah, maka wasi itu bolehlah dilantik sebagai pentadbir oleh Pejabat Pusaka Kecil. Sekiranya syarikat amanah pula yang dilantik dan disahkan oleh Mahkamah Syariah, kecuali bagi Amanah Raya Berhad, syarikat amanah lain tidak boleh dilantik sebagai pentadbir. Jadi di sini ada kemungkinan besar wasiat yang melantik wasi dari kalangan syarikat amanah lain kecuali Amanah Raya Berhad tidak akan berkuatkuasa.

 

Dalam kes A tadi, pelantikan isterinya sebagai wasi, jika kesnya di Mahkamah Tinggi Sivil (harta pusaka bernilai lebih RM2 juta) jika wasiat itu tidak dipersetujui kes akan dibicarakan di Mahkamah Tinggi Sivil. Jika harta pusaka A bernilai kurang dari RM 2 juta dan mempunyai harta tak alih (tanah / rumah / bangunan), maka jika pelantikan isterinya sebagai wasi tidak dipersetujui, waris perlu pergi ke Mahkamah Syariah untuk pengesahan.

 

Jika syarikat amanah selain Amanah Raya Berhad pula dilantik sebagai wasi bagi kes Pejabat Pusaka Kecil, walaupun diluluskan Mahkamah Syariah, ia tidak boleh berkuatkuasa kerana Pejabat Pusaka Kecil hanya membenarkan Amanah Raya Berhad sahaja syarikat amanah yang boleh menjadi pentadbir.  

 

Jadi wasiat melantik wasi boleh menjadi sah dan boleh juga menjadi tidak berkuatkuasa!

 

 

ariffinsabirin
Ariffin Sabirin adalah pengasas dan CEO Wasiyyah Shoppe Berhad​​​

 

ariffinsabirin

 

KOLEKSI ANEKDOT MAWARITH

Kenapa penting untuk hibahkan rumah kita yang masih ada pinjaman bank – Bahagian Pertama

KENAPA PENTING UNTUK HIBAHKAN RUMAH KITA YANG MASIH ADA PINJAMAN BANK – Bahagian Kedua

Kenapa penting untuk hibahkan rumah kita yang masih ada pinjaman bank - Bahagian Ketiga

BAGAIMANA CARA WARIS TIDAK PERLU BAYAR FI KHIDMAT PENGURUSAN PUSAKA?

ORANG MALAYSIA TIDAK TAHU KOS URUS HARTA PUSAKA MAHAL!

ALTRUISME DAN  HARTA PUSAKA

COVID-19 dan perancangan harta

INTEGRITI DALAM INDUSTRI PERANCANGAN HARTA

Tak semua orang perlu wasiat?

Jangan lupa rancang harta untuk manfaat diri sendiri dulu

 

 

 

 

Portfolio Tags