Wasiyyah Family Office sasar hampir RM3 bilion aset bawah pengurusan pada 2023 | DagangNews Skip to main content

Wasiyyah Family Office sasar hampir RM3 bilion aset bawah pengurusan pada 2023

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 18 Sept. - Anak syarikat milik penuh Wasiyyah Shoppe Berhad yang mengurus dan merancang harta bernilai tinggi atau pejabat keluarga patuh syariah, Wasiyyah Family Office Sdn Bhd menyasarkan aset di bawah pengurusan (AUM) sehingga AS$700 juta atau kira-kira RM2.92 bilion menjelang tahun 2023. 

 

Mula beroperasi sekitar Jun 2021, pengurus aset profesional itu berhasrat untuk memperkukuh pembangunan dan penubuhan syarikat pada peringkat permulaan ini, menurut Pengerusi Wasiyyah Family Office merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Wasiyyah Shoppe, Ariffin Sabirin.

 

“Tapi sehingga tahun 2023, iaitu tahun kedua operasi bagi Wasiyyah Family Office, kita menjangkakan syarikat akan memberikan pendapatan 15% atau RM16.5 juta daripada (jumlah) pendapatan kumpulan. Pendapatan kumpulan pada tahun 2023, kita menjangkakan mencecah sebanyak RM110 juta.

 

“Nilai aset yang akan diuruskan oleh Wasiyyah Family Office pada ketika itu dalam sasaran kita adalah AS$700 juta. 

 

“Jadi bagi syarikat baharu ditubuhkan, kemudian beroperasi dalam tahun kedua, sasaran itu sebenarnya adalah tinggi,” katanya pada sidang media secara maya selepas pelancaran Wasiyyah Family Office, hari ini. 

 

Ariffin Sabirin
ARIFFIN SABIRIN ketika berucap pada majlis pelancaran Wasiyyah Family Office yang diadakan secara maya, hari ini.

 

Berbeza dengan fungsi syarikat amanah yang dimainkan oleh Wasiyyah Shoppe, Wasiyyah Family Office menawarkan perkhidmatan di mana pelanggan yang memiliki aset bernilai tinggi boleh melantik syarikat sebagai pengurus harta mereka.

 

Perkhidmatan yang ditawarkan termasuk penyusunan strategi, pelaksanaan dan penambahbaikan tadbir urus korporat untuk syarikat milik keluarga, tadbir urus keluarga, pembangunan bakat generasi akan datang dan pengurusan tabung amanah.

 

Turut melibatkan perkhidmatan seperti pengurusan portfolio kewangan dan pelaburan, pengurusan perlindungan keluarga, pengurusan legasi dan pewarisan, percukaian dan perakaunan, aktiviti kebajikan dan segala keperluan lain di dalam pengurusan harta milik keluarga.   

 

Tambah Ariffin, Wasiyyah Family Office menyasarkan pelanggan bernilai tinggi dari negara Asia Tenggara seperti Malaysia, Singapura, Indonesia, Thailand dan Brunei pada tahun pertama operasinya. 

 

Bagi tahun seterusnya, syarikat akan meneroka pasaran di negara Eropah, negara Timur Tengah dan Asia Tengah, jelas beliau lanjut. 

 

“Kami tahu usaha ini akan menghadirkan cabaran yang sangat besar kepada kami kerana perkhidmatan pejabat keluarga patuh syariah ini adalah yang pertama di dunia. 

 

“Namun di peringkat syarikat induk iaitu Wasiyyah Shoppe sendiri, kami sudah biasa berada di dalam kedudukan sebagai perintis di dalam industri perancangan harta di Malaysia semenjak 2004. 

 

“Kami cukup optimis kami mempunyai strategi, sumber, pengalaman dan kekuatan tersendiri untuk menjayakan usaha ini,” katanya lagi. - DagangNews.com