Wasiyyah Shoppe Berhad umum pelantikan dua pengurusan kanan baharu | DagangNews Skip to main content

Wasiyyah Shoppe Berhad umum pelantikan dua pengurusan kanan baharu

Ramlee Mohd Said dilantik sebagai COO Wasiyyah Shoppe dan Dr Bilal Ilhan sebagai Penolong Naib Presiden.

 

 

KUALA LUMPUR 19 Julai – Wasiyyah Shoppe Berhad hari ini mengumumkan pelantikan Ketua Pegawai Operasi dan Penolong Naib Presidennya yang baru bagi menyokong strategi pengukuhan operasi dan pengantarabangsaannya.

 

Ramlee Mohd Said telah dilantik sebagai Ketua Pegawai Operasi Wasiyyah Shoppe Berhad bermula 5 Julai 2021 manakala Dr Bilal Ilhan sebagai Penolong Naib Presiden syarikat, berkuatkuasa 15 Julai 2021.

 

Menurut Wasiyyah Shoppe, Ramlee memiliki ijazah Sarjana Muda Sastera Perakaunan dan Kewangan dari University of Kent United Kingdom dan Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan dari Open University Malaysia.

 

Ramlee memiliki 22 tahun pengalaman di pelbagai peringkat pengurusan merangkumi tadbir urus korporat dan integriti, pengurusan audit dan risiko, pembangunan dan pengurusan sumber manusia, pembangunan sistem dan digitalisasi, pengurusan kualiti dan strategi pemasaran.

 

Beliau berpengalaman bekerja di pelbagai syarikat senaraian awam, syarikat milik kerajaan dan syarikat persendirian di Malaysia, Arab Saudi dan Bangladesh.

 

Dengan pengalaman dan pengetahuan beliau, Wasiyyah Shoppe Berhad yakin kehadirannya akan dapat membantu mempercekapkan lagi aspek operasi syarikat selaras dengan peningkatan permintaan pasaran serta keperluan penyediaan perkhidmatan yang lebih cekap untuk 70,000 pelanggannya.   

 

Dr Bilal Ilhan pula dilantik bagi mengetuai operasi Wasiyyah Family Office Sdn Bhd, anak syarikat Wasiyyah Shoppe Berhad yang ditubuhkan khusus membantu umat Islam antarabangsa merancang harta melalui konsep Islamic Family Office.

 

Seorang warga negara Turki yang mempunyai taraf penduduk tetap Malaysia, beliau memiliki Ijazah Sarjana Muda Berkembar dari Beykent University Turkey, Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan Ijazah Kedoktoran ( PhD ) Kewangan Islam dari International Centre For Education in Islamic Finance ( INCEIF ) Malaysia.

 

Berkebolehan bertutur 5 bahasa, pelantikan Dr Bilal adalah selaras dengan strategi Wasiyyah Shoppe Berhad untuk meneroka pasaran antarabangsa bermula tahun kewangan 2021. – DagangNews.com