Skip to main content

Wasiyyah Shoppe tawar promosi khas untuk Jemaah Haji, diskaun sehingga 20%

Oleh Mohamad Iman

KUALA LUMPUR 6 Jun – Wasiyyah Shoppe Berhad, syarikat amanah patuh Syariah terbesar di Malaysia hari ini mengumumkan pelancaran promosi khas  untuk bakal Jemaah haji 2022 bermula dari 26 Mei sehingga 25 Jun 2022.

 

Melalui promosi yang dilancarkan, bakal Jemaah haji akan menikmati diskaun sehingga 20% dan yang lebih istimewa, dokumen mereka dijamin akan disediakan di dalam tempoh selewat-lewatnya 7 hari bagi memastikan bakal Jemaah haji sempat melaksana dan menandatangani dokumen-dokumen berkenaan sebelum mereka berangkat ke tanah suci.

 

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ariffin Sabirin berkata, pada setiap tahun kecuali pada 2020 dan 2021, Wasiyyah Shoppe memang sentiasa memberikan promosi istimewa untuk bakal  Jemaah haji bagi memudahkan mereka merancang harta sebelum berangkat ke tanah suci.

 

Melalui promosi ini Wasiyyah Shoppe Berhad akan membantu bakal Jemaah haji yang ingin merancang harta  untuk menyediakan dokumen perancangan harta mereka seperti hibah hartanah yang masih bercagar ataupun tidak, hibah akaun bersama, hibah saham amanah, hibah akaun emas, hibah barang kemas, hibah akaun CDS, pewarisan perniagaan, wasiat Islam 1/3 dan mana-mana dari  37 jenis perkhidmatan perancangan harta Wasiyyah Shoppe yang lain. 

 

Ariffin turut menekankan bahawa keistimewaan utama perkhidmatan Wasiyyah Shoppe ialah kerana ia bersifat holistik dan komprehensif di mana semua keperluan perancangan harta bakal Jemaah haji boleh dipenuhi melalui tawaran 37 perkhidmatannya dan tidak memfokus kepada penyediaan wasiat semata-mata. 

 

“Wasiat fungsinya amat terhad dan dalam banyak keadaan tidak membantu secara berkesan mencapai hasrat bakal Jemaah haji.

 

“Di Wasiyyah Shoppe Berhad kami menyediakan dokumen berdasarkan jenis harta dan dokumen yang bersesuaian secara ‘tailor-made’ untuk mereka,” kata Ariffin.

 

 

ariffinsabirin
                                  Ariffin Sabirin

 

 

“Selain dari  persediaan ibadah dan kesihatan, antara persediaan yang turut perlu disediakan oleh bakal Jemaah haji ialah perancangan harta mengikut kaedah Syariah.

 

“Ini kerana sifat ibadah haji itu sendiri yang musimnya panjang dan bakal Jemaah haji terdedah kepada pelbagai risiko di tanah suci, ramai bakal Jemaah haji yang mengambil tindakan membuat dokumen perancangan harta mereka sebelum berlepas ke tanah suci,” ujarnya.

 

Semenjak penubuhannya pada 2004 sehingga ke hari ini, Wasiyyah Shoppe Berhad telah secara konsisten membantu lebih dari 15,000 jemaah haji menyediakan dokumen perancangan harta secara mereka.

 

“Dalam pengalaman 18 tahun operasi Wasiyyah Shoppe Berhad, memang kami dapati bakal Jemaah haji akan tercari-cari perkhidmatan kami pada musim sebegini.

 

“Segala keperluan logistik bagi memenuhi permintaan yang dijangka melonjak dengan signifikan telah kami sediakan dan Insya-Allah bakal Jemaah haji boleh menghubungi mana-mana daripada 3,000 daei berdaftar kami di seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak untuk mendapatkan perkhidmatan ini,” kata Ariffin.

 

Layari laman web rasmi Wasiyyah Shoppe di sini untuk maklumat lanjut.   – DagangNews.com