Waspada 4 individu, 9 entiti jalankan aktiviti pelaburan tidak sah | DagangNews Skip to main content

Waspada 4 individu, 9 entiti jalankan aktiviti pelaburan tidak sah

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 24 Feb. - Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) telah mengesan sebanyak empat individu dan sembilan entiti yang didapati menjalankan aktiviti-aktiviti dikawal selia tanpa memperoleh lesen daripada suruhanjaya itu. 

 

Kesemua individu dan entiti berkenaan telah dimasukkan ke dalam entri Senarai Peringatan Pelabur, yang dikemas kini setakat hari ini. 

 

Berdasarkan butiran punca yang dikemukakan SC, kesemua individu dan entiti itu secara umumnya didapati menjalankan aktiviti pasaran modal tanpa lesen untuk memberikan nasihat pelaburan.

 

Menurut SC, Senarai Peringatan Pelabur mengandungi laman sesawang, produk pelaburan, syarikat dan individu yang tidak diberi kebenaran atau tidak sah. 

 

“Senarai ini adalah tidak muktamad dan bertindak sebagai panduan kepada pelabur sebelum membuat apa-apa keputusan pelaburan,” jelas SC. 

 

Aktiviti yang dikawal selia itu termasuklah pengendalian sekuriti, derivatif, pengurusan dana, memberi nasihat berhubung kewangan korporat, nasihat pelaburan, perancangan kewangan dan mengendalikan skim persaraan peribadi.  

 

Senarai itu juga melibatkan mereka yang mengoperasikan pasaran diiktiraf tanpa kebenaran.

 

Selain itu, mereka yang menerbitkan atau menawarkan sekuriti tanpa kelulusan, persetujuan atau pengiktirafan turut boleh tersenarai. 

 

Entiti atau individu yang salah guna nama dan logo SC juga tergolong dalam senarai berkenaan. 

 

Senarai penuh individu atau entiti yang dikesan SC boleh dilihat di sini. - DagangNews.com