Waspada SMS atau Whatsapp menyerupai pesanan bank - SKMM | DagangNews Skip to main content

Waspada SMS atau Whatsapp menyerupai pesanan bank - SKMM

 Penipuan perbankan internet, SKMM dedah taktik 'scammer'

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 23 April - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dengan helah dan penipuan berkaitan perbankan internet.

 

Scammer bertindak memperdaya para pengguna bagi menyerahkan maklumat peribadi seperti nama pengguna dan kata laluan akaun perbankan internet.

 

Sehubungan itu, SKMM tampil mendedahkan beberapa helah dan modus operandi yang digunakan scammer.

 

1) Pengguna secara rambang menerima pesanan ringkas (melalui SMS atau mana-mana Aplikasi Pesanan, termasuk WhatsApp) menyerupai pesanan daripada bank; menyatakan telah berlakunya transaksi kewangan mencurigakan; atau wujud keperluan untuk pengguna mengesahkan, mengemas kini atau mengaktifkan semula akaun perbankan Internet. 

 

2) Pengguna seterusnya:

 

a) Diminta untuk melayari pautan laman sesawang palsu yang diberikan; yang mana mereka perlu memasukkan nama pengguna dan kata laluan akaun perbankan internet. 

  • Paparan di laman sesawang palsu itu akan kelihatan serupa dengan laman sesawang perbankan Internet sebenar; namun alamat (URL) pada laman tersebut mempunyai perbezaan dan variasi dari segi nama, huruf, serta ejaan; ATAU

 

 

b) Diminta untuk menghubungi talian hotline palsu yang diberikan; yang mana pengguna akan berhubung dengan scammer yang menyamar sebagai pegawai bank, dan/atau pihak berkuasa. Melalui interaksi ini, pengguna akan seterusnya:

 

  • Diminta melayari laman sesawang palsu yang mana mereka perlu memasukkan nama pengguna dan kata laluan akaun perbankan Internet; ATAU
  • Diminta memuat turun dan memasang Aplikasi palsu dalam bentuk fail “APK”, yang memerlukan mereka memasukkan nama pengguna dan kata laluan akaun perbankan internet. 

 

3) Kombinasi dan variasi helah serta modus operandi yang disebutkan turut digunakan oleh scammer untuk memperdaya dan memperoleh nombor Transaction Authorization Code (TAC) One-Time PIN (OTP) daripada pengguna.

 

.


 

Sehubungan itu, SKMM mengingatkan para pengguna agar;

  1. Sentiasa berwaspada apabila menerima pesanan ringkas (melalui SMS atau mana-mana Aplikasi Pesanan, termasuk WhatsApp) yang menyerupai pesanan daripada pihak bank.
  2. Tidak melayari dan memberikan maklumat perbankan di manamana laman sesawang dengan alamat (URL) yang mempunyai perbezaan dan variasi dari segi nama, huruf, serta ejaan berbanding laman perbankan Internet sebenar.
  3. Tidak sewenang-wenangnya menghubungi apa-apa nombor telefon atau hotline yang didakwa milik pihak bank, tanpa melakukan semakan.
  4. Tidak akur apabila diminta atau diarah memuat turun dan memasang apa-apa Aplikasi palsu dalam bentuk fail “APK”, sama ada yang diterima secara terus melalui WhatsApp, atau yang diminta untuk dimuat turun daripada pautan dan laman sesawang selain daripada gedung aplikasi rasmi.
  5. Tidak sama sekali menyerahkan nama pengguna dan kata laluan perbankan Internet termasuk nombor TAC / OTP kepada manamana pihak melalui SMS atau mana-mana Aplikasi Pesanan dan kaedah-kaedah lain.
  6. Segera rujuk atau laporkan kepada pihak bank masing-masing jika menerima apa-apa komunikasi yang mencurigakan, atau apabila menyedari diri telah diperdaya untuk memberikan maklumat perbankan Internet kepada pihak yang tidak sepatutnya.

 

SKMM memberitahu, pengguna juga boleh menyalurkan maklumat dan membuat aduan berhubung perkara ini kepada pihak PDRM CCID Scam Response Centre (03-26101559 dan 03-26101599); atau MCMC melalui pautan: https://aduan.skmm.gov.my,e-mel: aduanskmm@mcmc.gov.my, WhatsApp: 016 – 220 6262). - DagangNews.com