Waspada taktik 'penyamun tarbus' dalam skim pelaburan patuh syariah | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Iktisad - 15 February 2022

Waspada taktik 'penyamun tarbus' dalam skim pelaburan patuh syariah

 

KETIKA ini terdapat terlalu banyak scammer pelaburan patuh syariah (penulis gelar ‘penyamun tarbus’) yang menipu rakyat Malaysia dengan skim-skim pelaburan auta yang menjanjikan bulan dan bintang. 

 


Malangnya, walaupun banyak nasihat telah diwartakan oleh pihak yang berwajib seperti Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), namun kedegilan dan sikap tidak ambil peduli sebilangan rakyat menyebabkan mereka mengalami kerugian. Lebih parah lagi, mereka kehilangan semua wang pelaburan.

 

 

Apakah taktik yang mereka gunakan? 

 

Penulis senaraikan beberapa taktik penipuan yang mungkin dapat dijadikan panduan untuk orang ramai melabur dengan mana-mana syarikat pelaburan. 

 

PERTAMA
Mereka selalu menggunakan nama-nama individu yang terkenal seperti artis, orang kenamaan dan tokoh agama untuk mendapatkan keyakinan para pelabur untuk melabur dalam skim auta mereka. Individu terkenal ini dijadikan duta skim pelaburan mereka.

 

KEDUA
Mewartakan pulangan yang amat tinggi melepasi paras pulangan pelaburan yang biasa dalam industri. Pulangan yang dijanjikan kadang-kadang tidak masuk akal tetapi ia berjaya membelit para pelabur yang tidak berdosa.

 


KETIGA
Para penyamun tarbus ini akan menggunakan media sosial seperti Facebook dan Instagram untuk memasarkan skim auta pelaburan mereka. Malah, mereka akan menggunakan perkataan-perkataan seperti modal dan keuntungan dijamin, sedangkan dalam muamalat Islam setiap pelaburan mesti ada risiko kerugian dan pulangan tidak boleh ditetapkan awal-awal.


 

KEEMPAT
Menggunakan nama penasihat syariah yang berdaftar dengan SC. Terlalu banyak iklan-iklan di media sosial kini, cuba menipu dengan menyatakan bahawa skim pelaburan auta mereka telah diluluskan oleh penasihat syariah berdaftar.


 

KELIMA
Ini amat penting untuk diambil maklum. Selalunya pelaburan auta daripada penyamun tarbus ini akan meminta para pelabur memasukkan wang pelaburan ke dalam akaun syarikat mereka atau akaun peribadi dalam syarikat. Untuk makluman, untuk sebarang skim pelaburan, dari sudut tadbir urusnya, wang pelaburan akan dikreditkan ke dalam akaun syarikat pemegang amanah (trustee) yang menjaga wang para pelabur.
 


Taktik-taktik yang disebut penulis tidak menyeluruh. Para penyamun tabus sebenarnya tidak pernah ketandusan idea untuk menipu para pelabur. 

 

Dalam hal ini, penulis menyeru rakyat Malaysia untuk lebih mengambil sikap berhati-hati apabila didatangi oleh ejen-ejen penyamun tarbus ini. 

 

Siasatan yang teliti haruslah diberikan sebelum mengambil keputusan membuat sesuatu pelaburan.

 

Salah satu kelemahan para pelabur ialah tamak, mudah percaya dan tidak ambil peduli dengan amaran-amaran yang diwartakan. 

 

Oleh demikian, sebelum kita menyambut Ramadan dan Syawal ini, penulis menyarankan agar para pelabur di luar sana berhati-hati dan bertanyalah dengan lebih teliti sebelum melabur dalam mana-mana skim pelaburan patuh syariah yang ditawarkan. - DagangNews.com

 

 

Dr Razli Ramli merupakan Pensyarah Kanan, Sekolah Perniagaan Antarabangsa Azman Hashim (AHIBS) Universiti Teknologi Malaysia dan juga Felo Adjung Institut Perbankan dan Kewangan Islam (IIiBF) di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

utm

Portfolio Tags