Waterco Malaysia terima pensijilan halal untuk produk penapis air | DagangNews Skip to main content

Waterco Malaysia terima pensijilan halal untuk produk penapis air

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 8 Ogos - Waterco (Far East) Sdn Bhd (Waterco Malaysia) secara rasmi menerima pensijilan halal dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk produk penapis air keluaran mereka baru-baru ini, berikutan proses pengauditan yang menyeluruh pada produk dan sistem pengurusan pembuatan syarikat tersebut.

 

Langkah strategik ini adalah selaras dengan matlamat Waterco untuk bukan sahaja memastikan kepelbagaian produk dan ketersediaan perkhidmatan yang lebih mudah diakses oleh rakyat Malaysia, tetapi memastikan kualiti yang dihasilkan oleh kedua-dua segmen ini sentiasa melebihi jangkaan supaya para pengguna dapat menikmati produk berprestasi tinggi yang sentiasa selamat digunakan. 

 

Di samping itu, Waterco Malaysia juga mahu melaksanakan tanggungjawab sosial mereka dengan menyediakan produk yang selamat dan mesra alam.

 

Pengurus Pembangunan Perniagaan Serantau Waterco Malaysia, Koo Zao Cheong berkata, mereka sentiasa menekankan kepentingan prestasi dan keselamatan produk kerana ia adalah keutamaan dalam usaha untuk menyediakan persekitaran air yang selamat dan sihat untuk rakyat Malaysia. 

 

"Selain itu, penerimaan pensijilan halal ini membuktikan komitmen jitu Waterco untuk terus menambah baik perkhidmatan kami dan bertindak balas dengan cekap terhadap keperluan pasaran,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Koo berkata, di sebalik halangan yang dihadapi dan prosedur operasi standard (SOP) yang dilaksanakan semasa pandemik yang menyebabkan pemanjangan garis masa, perjalanan ini adalah satu keperluan bagi Waterco mengukuhkan kedudukan produk mereka.

 

"Ia termasuk meluaskan jangkauan mereka dalam penyediaan penapis air Point-Of-Entry (POE) untuk kegunaan kediaman, industri pemprosesan yang halal, industri F&B dan banyak lagi. Ini juga akan memanfaatkan tempat yang memerlukan pemasangan produk yang disahkan halal seperti tempat ibadat iaitu surau dan masjid, dan tempat makan halal.

 

 

waterco
Koo Zao Cheong

 

 

“Selepas penyelidikan dan kajian pasaran yang teliti, kami yakin bahawa pensijilan ini akan memberi manfaat kepada pertumbuhan perniagaan dan lebih penting lagi untuk pengguna semasa dan bakal pelanggan kami. 

 

Ia akan mendekatkan kami kepada matlamat kami untuk menyediakan persekitaran air yang sihat untuk keperluan harian sama ada untuk kegunaan komersial atau peribadi di seluruh negara,” katanya.

 

Syarikat penyedia penyelesaian air terkemuka itu memulakan proses untuk mendapatkan pensijilan halal pada awal Disember 2020. 

 

Waterco telah menubuhkan jawatankuasa halal dalaman untuk memenuhi keperluan dan menubuhkan sistem jaminan halal dalaman (HAS), yang bertindak sebagai tulang belakang operasi mereka. 

 

Panduan ini memastikan semua keperluan halal telah digabungkan sebagai sebahagian daripada operasi mereka yang kemudiannya diaudit oleh badan pensijilan halal, Jabatan Agama Islam Negeri Selangor (JAIS) dan JAKIM. - DagangNews.com