WCT optimis, tapi berhati-hati terhadap prospek kumpulan | DagangNews Skip to main content

WCT optimis, tapi berhati-hati terhadap prospek kumpulan

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 23 Jun - Syarikat pemegangan pelaburan dengan perniagaan dalam bidang kejuruteraan dan pembinaan, pembangunan dan pelaburan hartanah, pengurusan pusat membeli-belah dan hotel, WCT Holdings Berhad optimis, namun kekal berwaspada terhadap baki buku tempahannya yang bernilai kira-kira RM5 bilion.

 

Pengarah Urusan Kumpulan WCT, Datuk Lee Tuck Fook berkata, kenaikan kadar jangkitan tempatan baru-baru ini telah menyebabkan berlakunya gangguan dan ketidaktentuan terhadap prospek perniagaan WCT.

 

“Melangkah ke hadapan, kami akan kekal berwaspada optimis di samping berharap agar agihan vaksin pada tahun 2021 di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) dengan tidak mengambil kira sebarang halangan di luar jangkaan, akan mampu meningkatkan sentimen pasaran dan merangsang permintaan untuk tawaran hartanah dan pelancaran baharu kami serta kelonggaran sekatan perjalanan kepada pelancong dapat menggalakkan peningkatan pengunjung ke pusat membeli-belah dan hotel kami,” katanya dalam satu kenyataan berhubung Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) kumpulan yang dijalankan secara maya.

 

Jelas beliau, kesemua resolusi yang dibentangkan dalam AGM, semalam telah diluluskan oleh para pemegang saham.

 

Ini merangkumi dividen saham akhir melalui agihan saham perbendaharaan berdasarkan satu bahagian perbendaharaan untuk setiap 100 saham biasa yang ada di syarikat.

 

Tambah Tuck Fook, jangkaan pemulihan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia untuk tahun 2021 di antara 6% dan 7.5% akan disokong oleh penyambungan semula aktiviti global dan domestik, normalisasi keadaan pasaran buruh, peningkatan perbelanjaan pengguna, penyambungan projek-projek infrastruktur besar, serta sokongan berterusan dari kerajaan.

 

Katanya, ini bakal menyumbang kepada pertumbuhan WCT.

 

Dalam oada itu, perniagaan kejuruteraan dan pembinaan kumpulan dilihat akan membantu mengukuhkan prestasi kewangan WCT oleh kerana ia dijangka kekal sebagai penyumbang utama pendapatannya.

 

Jelas kumpulan, perniagaan berkenaan telah menunjukkan permulaan yang baik pada tahun 2021 dengan perolehan dua kontrak untuk pembinaan superstruktur sebuah hotel 29 tingkat dan pejabat 13 tingkat di The Exchange TRX bernilai RM137 juta; serta pembesaran dan penambahbaikan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Kelantan bernilai RM440 juta.

 

Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020 (FY20), WCT telah mencatatkan pendapatan yang lebih rendah iaitu RM1.70 bilion daripada RM1.84 bilion pada tahun kewangan sebelumnya.

 

WCT merekodkan kerugian boleh agih kepada pemegang ekuiti sebanyak RM214 juta berbanding kerugian RM27 juta yang dicatatkan pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2019.

 

Berikutan wabak COVID-19 dan gangguan terhadap operasi perniagaan WCT semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), nilai pelaburan hartanah, hotel, tanah pegangan untuk pembangunan dan inventori lengkap terjejas sebanyak kira-kira RM173 juta pada tahun tersebut.

 

Tambahan lagi, WCT juga berkongsi kerugian tambahan ‘joint venture arising from an unfavourable final arbitral award’, kira-kira RM28 juta. - DagangNews.com