Whistleblower berperanan penting dedahkan perdagangan haram, kata ACFE | DagangNews Skip to main content

Whistleblower berperanan penting dedahkan perdagangan haram, kata ACFE


KUALA LUMPUR 2 Dis – Satu kerangka kerja kukuh pemberi maklumat atau whistleblowing, daripada kerahsiaan sehingga sistem tindak balas yang cukup tersusun, boleh menjadi pengubah permainan di dalam usaha menghapuskan perdagangan haram yang telah memberi impak negatif kepada hasil tahunan kerajaan, kata Persatuan Pemeriksaan Penipuan Bertauliah (ACFE).

 

Pengasas dan Presiden ACFE cawangan Malaysia, Dato' Seri Akhbar Satar berkata, sememangnya sekarang adalah tepat pada masanya untuk mengukuhkan Akta 711 bagi menggalakkan lebih ramai pemberi maklumat untuk melaporkan salah laku yang berlaku di organisasi awam dan institusi swasta.

 

"Peranan pemberi maklumat amat diperlukan, terutamanya di dalam agensi penguatkuasaan undang-undang untuk membanteras rasuah, yang menjadi faktor utama kepada melaratnya perdagangan haram seperti rokok seludup yang mengakibatkan negara kehilangan RM5 bilion dari segi hasil cukai yang tidak dikutip dalam setahun,’’ ujar beliau dalam kenyataan hari ini.

 

Kenyataan beliau ini adalah susulan laporan terbaharu daripada Jabatan Perdana Menteri mengenai Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 (Akta 711) yang kini sedang dinilai semula dan bakal dibentangkan kepada Kabinet tidak lama lagi.

 

Akhbar, yang merupakan pemegang kerusi profesor di Institut Jenayah dan Kriminologi, HELP University dan bekas Presiden Transparency International Malaysia, berkata, agensi penguatkuasaan undang-undang sudah cukup maklum mengenai ketua-ketua sindiket dan eko-sistem rumit yang menjana operasi rokok seludup secara besar-besaran, tetapi malangnya, tiada tindakan berterusan dan berkesan yang diambil sehingga sekarang.

 

"Jelas sekali, penyusupan elemen jenayah di dalam agensi penguatkuasaan undang-undang kita berada di tahap amat genting dan mendatangkan malapetaka terhadap fabrik sosio-ekonomi negara,’’ katanya.

 

"Namun kita masih beruntung kerana ramai lagi pegawai penguatkuasaan undang-undang yang jujur, boleh diharap dan memiliki integriti yang tidak boleh digugat.

 

''Cuma, mereka perlu diperkasakan dengan Akta 711 yang lebih kuat bagi menggalakkan, menyokong dan melindungi mereka apabila bersuara menentang rasuah dan salah laku di dalam agensi mereka,’’ ujar Akhbar.


 

Dato' Seri Akhbar Satar
                      Dato' Seri Akhbar Satar

 


Beliau menambah, "Pada masa ini, kita mendengar kes-kes di mana pemberi maklumat yang telah ke hadapan, menerima ancaman-ancaman, kehilangan kerja dan tindakan balas dendam yang tidak ditangani dengan teliti.

 

''Ini semua hendaklah dihentikan dengan peruntukan baharu di dalam Akta 711 yang seharusnya menjamin kerahsiaan dengan perlindungan dan penjagaan rahsia berlapis-lapis demi melindungi pemberi maklumat, bagi mewujudkan persekitaran selamat bagi pemberi maklumat untuk tampil dengan yakin tanpa gentar.’’

 

‘’Sebagai tambahan, pemberi maklumat hendaklah diberi ganjaran sewajarnya kerana mendedahkan salah laku yang membawa kepada kejayaan penahanan, tindakan mencegah atau pendakwaan seperti tertakluk di bawah Seksyen 26 Akta 711.

 

Akhbar berkata, Akta 711 hendaklah juga menyertakan peruntukan yang memastikan tindakan diambil dalam kaedah yang mendatangkan makna apabila pemberi maklumat tampil dengan maklumat dan sumber perisikan. Jadilah pendengar yang baik kepada pemberi maklumat.

 

"Menurut laporan media, pihak berkuasa dan agensi kerajaan telah menerima sebanyak 73,545 laporan salah laku tetapi hanya 527 pengadu menerima perlindungan di bawah Akta 711 sejak 2011. Siapa hendak menyampaikan maklumat mengenai salah laku jika tiada tindakan akan diambil?,’’ soal Akhbar.

 

Beliau berkata, apabila Akta 711 yang lebih kuat diperkenalkan, kakitangan penguatkuasa undang-undang di setiap peringkat hendaklah menjalani proses pendidikan dan Latihan bagi memupuk kesediaan menjadi pemberi maklumat di dalam jabatan bagi membolehkan mereka melindungi pemberi maklumat lain di dalam industri-industri lain.

 

Pada masa yang sama, orang ramai hendaklah juga mengambil maklum mengenai Akta 711 dan seharusnya diberi galakan untuk melaporkan sebarang salah laku. – DagangNews.com