Winstedt, Manuskrip Melayu dan pendidikan orang Melayu | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Dari Hikayat Kita - 24 Jul 2021 08:54 AM

WINSTEDT, MANUSKRIP MELAYU DAN PENDIDIKAN ORANG MELAYU

 

 

 

SEMUA yang pernah mengkaji Manuskrip Melayu tidak dapat lari dan pasti akan mengenali tokoh Inggeris R O Winstedt. Beliau telah mengkaji beratus-ratus Manuskrip Melayu serta bersusah payah menyediakan kamus Melayu – Inggeris.

 

Malah, R O Windstedt telah mengumpulkan bahan dan menulis banyak buku terutamanya Cerita Jenaka, Hikayat Bayan Budiman, Hikayat Awang Sulong Merah Muda, Circumstances of Malay Life – The Kampung. The House. The Furniture. Dress Food,  The Malays, The Malay Magician, Fishing, Hunting and Trapping dan sebagainya.

 

Bila saya melihat tajuk-tajuk sebegini, saya selalu bertanya. Kenapa Winstedt hanya menulis tentang kehidupan kampung? Tok Bomoh? Kenapa tidak menulis tentang Raja Raja Melayu yang ‘educated’, Istana Melayu, Dunia Pelayaran Melayu?

 

Winstedt juga dikaitkan dengan Pendidikan Melayu di mana beliau merupakan Presiden Kolej Raffles di Singapura dari 1921 hingga 1931.

 

Namun selama ini, kita kurang mendengar kisah sejauh mana Winstedt mempengaruhi dunia Pendidikan Melayu dan apakah kecenderungan beliau? Adakah dia seorang hero Manuskrip Melayu seperti yang digambarkan atau penjajah yang sekeras-kerasnya cuba mengongkong bangsa Melayu? Kenapa Manuskrip Melayu seperti Kitab Bedil, Hukum Kanun Melaka tidak diberi perhatian oleh beliau.

 

 

R O Winstedt
R O Winstedt

 

Dalam Hikayat Hang Tuah pula, apabila Sultan dan rombongan Melaka pulang dari Majapahit, dikatakan baginda menaiki kapal tersohor Laksamana Hang Tuah iaitu Mendam Berahi bersama pelbagai kelengkapan dan barang-barang perhiasan daripada emas, perak dan permata mutu manikam, serta pengiring puteri termasuk dua ratus dayang-dayang, empat puluh anak penggawa yang baik-baik rupanya, dan empat puluh biduanda, dan beribu rakyat laki-laki dan perempuan mengiringi.

 

Ini semua menggambarkan perahu atau kayal layar merupakan alat pengangkutan yang bertaraf canggih dan sangat ‘lavish’ dan ‘prestigious’. Begitu juga pengangkutan sungai kita seperti Balai Gambang. Kita juga  lihat sendiri barangan perak di Museum Victoria & Albert dari Dunia Melayu begitu berseni dan hebat. Kenapa Winstedt tidak menulis tentang ini semua.

 

Saya ingin mengajukan pendapat Winstedt tidak langsung ingin mengetengahkan apa-apa unsur yang menunjukkan kemajuan serta kebesaran orang Melayu. 

 

 

hikayat
Antara karya Winstedt mengenai orang Melayu

 

Dan baru baru ini, saya dapat membaca penulisan Abdul Hadi Ismail pada tahun 1994 yang begitu membuka mata saya. Saya kongsikan di sini buat bacaan ramai.

 

Dalam tugasnya menyusun peruntukan pendidikan untuk orang Melayu, objektif Winstedt bukanlah memajukan, tetapi sebaliknya mengawal dan membendung mereka! Dengan kata-kata lain, dalam kira-kira tiga dekad Winstedt berkuasa ke atas pendidikan Melayu, beliau dengan sedar dan sengaja telah menjalankan dasar kawaIan yangmemastikan walaupun orang Melayu diberi pendidikan namun mereka tidak menjadi over-educated.

 

***

 

Kebimbangan pentadbir Inggeris terhadap orang Melayu yang mempunyai pendidikan berlebihan sering sahaja diperkatakan, termasuk di dalam sessi-sessi Majlis Mesyuarat Persekutuan, misalnya Ramlah Adam (l991: 11, memetik Arthur N. Kenion) menulis:

 

You can teach your Malays so that they remain in the padi fields and so that they do not lose their skills and craft in fishing and jungle work. Teach them the dignity of manual labour, so that they do not become kranis, and I am sure that you will not have the trouble which has-arisen in India through over education.

 

Hakikat bahawa dasar pendidikan Inggeris ini telah berjaya boleh diukur dari bilangan orang Melayu yang menjawat jawatan kerani di pelbagai peringkat di Negeri-negeri Melayu Bersekutu dalam tahun 1920 iaitu hanya 10.5 peratus; yang bakinya dari bangsa lain 204,644 orang adalah membuat "kerja-kerja pertanian" (Roff, 1975: 154, memetik banci tahun 1931).

 

Winstedt memuji pentadbir kolonial di Jawa dan Filipina kerana kebijakan mereka menetapkan pendidikan untuk golongan anak negeri setakat darjah tiga sahaja dan berasa kesal kerana Inggeris telah terlanjur di Tanah Melayu. Agaknya, Winstedt kesal, kerana mengikut Laporan Isemonger 1894, kebanyakan kanak-kanak Melayu yang lulus Darjah IV di Sekolah-sekolah Vernakular Melayu tidak lagi mahu pulang ke kampung (Wong dan Gwee, 1980: 30).

 

Wawasan Winstedt terhadap masa depan pendidikan untuk orang Melayu diakui oleh sejarawan-sejarawan terkemuka. Roff (1975: 176) misalnya, mengatakan ...

 

dalam caranya sendiri dia telah menyekatkan kemajuan pelajaran Melayu dan memastikan bahawa petani-petani Melayu tidak akan didatangi oleh cita-cita yang melampaui lapangan hidup mereka ...

 

Untuk menguatkan lagi hujjah kita bahawa Sekolah Vernakular Melayu tidak dicadang membawa kemajuan kepada bangsa Melayu, perhatikan bahawa matlamat besarnya ialah "menghapuskan buta huruf setakat minimum sahaja" (Awang Had Salleh, 1974: 11). Kurikulumnya yang ketandusan unsur akademik diperkuatkan, sebaliknya, dengan penekanan kepada perkebunan (Wong dan Gwee, 1980: 64). Di samping itu, bahasa Inggeris - satu-satunya simbol dan alat kemajuan - tidak pernah diajar di Sekolah Vernakular Melayu pada masa Winstedt memegang teraju pendidikan Melayu. Ini mengingatkan kita kepada peringatan yang pernah diucap oleh Swettenham (Stevenson, 1975: 57) dua dekad sebelum Winstedt iaitu:

 

The one danger to be guarded against is to teach English indiscriminately ... (for it) would only unfit them for the duties of life and make them discontented with anything like manual labour ...

 

Nampaknya mentaliti Winstedt tetap akur dengan pemikiran Swettenham, pentadbir kolonial yang tidak asing kepada kita itu.

Untuk memastikan kanak-kanak Melayu tidak mengenali identiti diri dan melayani cita- cita kebangsaan, Winstedt memperakukan agar Sejarah dikeluarkan dari kurikulum Sekolah Vemakular Melayu (Awang Had Salleh, 1974: 78).

 

Pentingnya Sekolah Vemakular Melayu kepada penjajah membuatkan mereka mencari jalan menyekolahkan seberapa banyak kanak-kanak Melayu yang boleh. Untuk tujuan itu, Winstedt memperakukan di dalam laporannya agar diluluskan undang-undang yang mewajibkan setiap kanak-kanak Melayu yang tinggal sekitar 2 batu dari sekolah belajar untuk selama empat tahun (Wong dan Gwee, 1980: 64). Kesan undang-undang ini dapat dilihat dari kehadiran kanak-kanak di Sekolah Vemakular Melayu yang mencapai angka 90% menjelang 1920 (Cheeseman, 1979: 129).

 

SUDAH TERANG LAGI BERSULUH

Kebenaran yang kita jangkakan telah terbukti. British tidak mahu orang Melayu ‘rise above their station.’  Atau kaduk naik junjung, kononnya.  Mereka tidak mahu masyarakat Melayu sedar bagaimana sebenarnya,  jauh sebelum mereka tiba, kita mempunyai negeri aman damai. Kaya raya dan berbangga dengan pencapaian kita.

 

Mereka tidak mahu kita sedar bahawa, kita mempunyai hak ke atas bumi kita. Jadi mereka bawa pekerja asing untuk melombong timah dan membuka ladang getah. Mereka menggalakkan anak Melayu belajar di kampung-kampung supaya boleh menjadi petani dan nelayan yang baik sedikit dari bapa mereka. Dan pekerja yang dibawa diberi tanah untuk tinggal di bandar dan mendapat pendidikan di bandar. Dikatakan Melayu malas dan sebagainya.

 

Alangkah terkejut mereka apabila setelah diberi pengajian sehingga darjah 6, anak Melayu menjadi guru sekolah dewasa dan kerani. Setelah itu, anak Melayu boleh belajar keluar negeri. Menjadi doktor. Jurutera. Akauntan. Ini amat membahayakan.

 

Orang berbudi, kita berbahasa. Budi yang jahat dibalas apa?

 

hikayat
Nota: Alhamdulillah dalam keluarga penulis Tok Salehuddin, Tok Jaafar, gurubesar pertama Rancangan Felda Lurah Bilut, dan ayah mementingkan sangat pendidikan. Dengan ini keluarga kami dan mereka dari kampung kami Chenor, Pahang begitu ramai yang melanjutkan pelajaran ke luar negeri.

 

hikayat
 Tok Salehuddin (tiga dari kanan) semasa lawatan kerja ke New Zealand pada 1960an. - Koleksi Gambar Ninot Aziz

 

 

 

Ninot Aziz merupakan penggiat seni dan kebudayaan Melayu, dari bzBee Consult, aktif menulis di dalam pelbagai medium seperti akhbar dan menerbitkan buku-buku seperti Bentala Naga - A Makyung Tale dan Lipur Lara Nusantara dan kini menulis menerusi kolum Dari Hikayat Kita di DagangNews.com, setiap Sabtu.   Emel : [email protected]

 

Klik di sini untuk koleksi DARI HIKAYAT KITA