Wira yang tidak didendang (SURAT PEMBACA) | DagangNews Skip to main content

Wira yang tidak didendang (SURAT PEMBACA)

.

Saudara Pengarang,

Jika diteliti impak pandemik COVID-19 ternyata mengundang pelbagai krisis terutamanya kepada kesihatan dan ketidakstabilan sosio-ekonomi. Ironinya, pandemik COVID-19 di dalam era pascaglobalisasi ini bukan sahaja memberikan tekanan hebat terhadap keluarga berpendapatan rendah malahan keluarga berpendapatan tinggi turut terjejas akibat kehilangan perkerjaan secara mendadak.

 

 

Perincian kes yang semakin meningkat di dada akhbar dan kewujudan pelbagai varian baru mutakhir ini menjadikan pandemik ini seakan-akan cenderung menakluki dunia.

 

Sedar atau tidak dalam menghadapi kemelut pandemik ini, pemerkasaan komuniti sangat penting dan ahli  komuniti seharusnya menjadi “Agent of Change” kepada kejiranan komuniti.

 

.

 

Peranan ketua komuniti dalam memberikan suntikan semangat kepada kejiranan komuniti supaya kekal cakna terhadap kesihatan dan juga kebajikan sangat dituntut.

 

Terbaharu, kami telah berkesempatan berkerjasama dengan kejiranan komuniti di PPR Lembah Subang 1 melalui penyelidikan komuniti iaitu MRUN (Malaysia Research University Network): Equal B40 yang telah dilaksanakan selama setahun bermula pada tahun 2020 sehingga kini.

 

Apa yang ingin kami kongsikan adalah semangat perjuangan komuniti PPR lembah Subang dalam mendepani pandemik COVID-19 ini.

 

Walaupon dilingkari dengan pandemik, ahli-ahli persatuan tempatan komuniti di PPR Lembah tetap mengukir senyuman dan mempamerkan komited yang tinggi dalam menyalurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan dengan kerjasama pelbagai NGO.

 

.

 

Kepadatan penduduk  yang menghuni kawasan kediaman ini menyebabkan PPR Lembah Subang 1 antara lokasi yang terjejas dengan penularan wabak COVID-19.

 

Secara umumnya, dalam tempoh sebulan hampir 100 individu daripada komuniti ini mendapat jangkitan secara mendadak.

 

Oleh itu, inisiatif yang efisyen telah diambil oleh ketua-ketua komuniti ini tanpa mengira tahap risiko jangkitan untuk  membantu  keluarga  yang menghadapi kesukaran untuk mendapatkan bekalan makanan dan keperluan asas sepanjang tempoh kuarantin.

 

Ketua komuniti PPR Lembah Subang 1 iaitu Puan Isham, Puan Azlina dan Puan Dwi merupakan sebahagian insan yang sekian lama menabur bakti dalam membantu pelbagai lapisan masyarakat di komuniti tersebut.

 

Kerjasama dan usaha yang ditunjukkan oleh mereka mempunyai satu matlamat tunggal iaitu tidak mahu adanya ahli komuniti tersisih di kawasan tersebut.

 

"Melalui bekalan dan bantuan makanan yang diagihkan dapat meringankan beban mereka yang mengharungi tempoh yang cukup mencabar ini," ungkapan Puan Azlina ketika dihubungi baru-baru ini.

 

Puan Azlina percaya dengan doa yang tidak pernah putus beliau berharap penduduk PPR terus sembuh daripada wabak ini seterusnya pelbagai bantuan dapat diterima oleh ahli-ahli komuniti daripada NGO yang lain.

 

Manakala Puan Isham pula berpandangan mendayaupayakan penglibatan komuniti secara maksimum perlu diperkasakan lagi melalui rangkaian program dalam meningkatkan kemahiran mereka.

 

“Bantuan ini bukanlah selamanya tetapi bagi pihak saya, peluang akan diberikan kepada mereka yang berkenaan untuk menjana pendapatan melalui geran-geran pinjaman tanpa faedah disamping menyediakan kursus keusahawanan secara online bagi meningkatkan kemahiran sedia ada”, kata Pengerusi kepada Persatuan Women of Will (WoW) ini.

 

Beliau yang juga pengurus Komuniti WoW Sewing Centre di kediaman tersebut juga memberi peluang kepada ibu tunggal dan golongan B40 menjana pendapatan melalui menjahit face mask, pouch dan pelbagai lagi.

 

Tambah Puan Isham lagi, mereka sangat mengalu-alukan bantuan dan sumbangan daripada individu dan NGO serta sentiasa melatih ahli komuniti supaya tidak sentiasa bersandar kepada bantuan malah berkeupayaan berdiri di atas usaha sendiri.

 

Norma baru ini menggesa mereka untuk mempraktikkan pendekatan yang lebih inovatif dan adaptif serta meningkatkan lagi kerjasama di antara pemegang taruh bersama komuniti.

 

.

 

Maka, pemerkasaan komuniti melalui aktiviti sukarelawan dalam kalangan komuniti PPR ini sangat berpaksikan kepada matlamat kerajaan untuk bangkit semula daripada kelesuan ekonomi dan sosial disebabkan pandemik COVID-19 dan sentiasa bersedia untuk menghadapi cabaran kelak.

 

Konsep perpaduan komuniti setempat dalam mendepani pandemik ini bertindak sebagai platform utama dalam merealisasikan keharmonian masyarakat setempat dan pelbagai isu kebajikan dapat diselesaikan dengan lebih efektif.

 

Justeru, penting  untuk ahli komuniti berkolaborasi bersama barisan frontliner agar lebih matang dalam mengekang penularan pandemik ini seterusnya bersama-sama memacu kesejahteraan, pembangunan sosial dan ekonomi negara semula.

 

Perkongsian ini sebagai pemangkin semangat kepada semua ketua komuniti demi mengekalkan momentum perjuangan mereka dalam menjaga kebajikan ahli komuniti semasa pandemik ini.

 

Hayatilah kata-kata oleh William Boetcker ini iaitu segala kesulitan perjuangan hari ini hanyalah harga yang harus kita bayar untuk pencapaian dan kemenangan hari esok, Selamat Menyambut Hari Merdeka. – DagangNews.com

 

 

 

 

Siti Shazwani binti Ahmad Suhaimi

Fakulti Ekologi Manusia, UPM

 

Nur Shuhamin binti Nazuri

Pembantu Penyelidik Fakulti Ekologi Manusia, UPM

 

Dr. Esther Wong Min Fui

Pegawai Kesihatan Bahagian Pengurusan dan Latihan,  Kementerian Kesihatan Malaysia

 

Prof. Dr. Mohamad Fazli Sabri

Dekan Fakulti Ekologi Manusia, UPM