Skip to main content

Yakin Khazanah mampu pastikan perniagaan kekal mampan dalam jangka panjang - PM

KUALA LUMPUR 4 Julai - Perdana Menteri yakin Khazanah Nasional Bhd. mampu mengatasi cabaran yang dihadapinya dengan pantas dan memastikan perniagaan kekal mampan dalam tempoh jangka panjang. 

 

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga Pengerusi Khazanah berkata, prestasi keseluruhan dana pelaburan itu pada tahun kewangan 2021 adalah baik meskipun berdepan dengan kekangan akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan juga berkurangnya aktiviti ekonomi di peringkat global.

 

Menurut beliau, pandemik COVID-19 sedikit sebanyak menyebabkan pendapatan negara yang telah diusahakan oleh kerajaan dan rakyat sebelum ini terhakis begitu sahaja. 

 

Tidak kurang juga, katanya, kesan ke atas syarikat milik kerajaan (GLC), sektor korporat dan industri pembuatan misalnya yang merupakan antara nadi kepada pendapatan negara. 

 

"Meskipun Khazanah tidak menjangkakan perniagaan sektor-sektor utama seperti penerbangan dan pelancongan akan mencatatkan pemulihan sebelum tahun 2023, saya yakin Khazanah berupaya mengatasinya dengan pantas.

 

"Ini memberikan kita keyakinan terhadap pelaksanaan perancangan strategik Khazanah pada masa hadapan terutamanya dengan pelancaran inisiatif Memajukan Malaysia," katanya dalam Laporan Khazanah 2021 yang diterbitkan hari ini. 

 

Baca : Khazanah mahu gabungkan dana komersial, strategik dalam satu portfolio

 

 

khazanah
Barisan Lembaga Pengarah Khazanah

 

 

Nilai Aset Bersih (NAV) dana pelaburan negara itu menokok daripada RM79 bilion pada 2020 kepada RM86 bilion pada 2021, sekali gus menyaksikan kadar pertumbuhan tahunan terkompaun meningkat 5.8% sejak 2004 meskipun berdepan tahun yang mencabar. 

 

Keuntungan operasi yang dicatatkan lebih rendah pada RM670 juta berbanding RM2.9 bilion pada 2020 terutama kerana dana pelaburan itu terpaksa menyediakan sokongan kewangan yang besar kepada aset penerbangan dan pelancongannya yang terkesan akibat pandemik COVID-19.

 

Pada 2021, dana itu membayar dividen berjumlah RM2 bilion bagi menyokong usaha kerajaan dalam menangani wabak yang melanda.

 

Menurut Ismail Sabri, tahun-tahun yang berlalu semakin menyedarkan semua pihak tentang pentingnya peranan pihak berkepentingan bagi membolehkan Khazanah mencapai pertumbuhan yang mampan. 

 

"Saling kebergantungan organisasi dan ekosistem mereka yang bertambah penting apabila berlakunya pandemik, telah dibuktikan melalui hasil yang diraih daripada kerjasama pelbagai pihak berkepentingan," jelasnya. 

 

Beliau berkata, sejak wabak ini bermula, Malaysia telah mengambil pendekatan yang bersifat menyeluruh, dengan kerajaan dan masyarakat sama-sama berganding bahu mendepani krisis yang tidak pernah dialami sebelum ini. 

 

Katanya, kerajaan telah melaksanakan strategi yang jelas dengan menekankan kepada tiga perkara teras
iaitu memperluaskan sistem penyampaian penjagaan kesihatannya bagi mencegah penularan wabak dan merawat mereka yang terkesan.

 

Selain itu, kerajaan turut menyediakan suntikan fiskal yang bertujuan melindungi ekonomi negara dan
memastikan rakyat terus mempunyai mata pencarian melalui pelaksanaan pelbagai inisiatif.

 

"Pada masa sama, kerajaan juga memperkenalkan pakej rangsangan ekonomi bernilai kira-kira RM530 bilion
atau 36% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). 

 

"Usaha diambil untuk memastikan berlakunya pertumbuhan yang inklusif dalam usaha menangani kemiskinan, di samping menyediakan jaringan keselamatan sosial bagi melindungi golongan yang mudah terjejas.

 

"Pakej-pakej ini turut memainkan peranan penting dalam membantu syarikat serta perusahaan untuk kekal daya bertahan dalam menghadapi masa yang sukar ini," katanya. - DagangNews.com