Yayasan Bank Rakyat luluskan dana RM3.81 juta biaya pembelajaran untuk mangsa banjir | DagangNews Skip to main content

Yayasan Bank Rakyat luluskan dana RM3.81 juta biaya pembelajaran untuk mangsa banjir

Megat Zulkarnain Tan Sri Omardin (dua dari kiri) menyampaikan bantuan RM10,600 kepada 53 keluarga yang terjejas akibat banjir di sekitar Serdang pada 17 Disember 2021.

 

SERDANG 15 Jan – Yayasan Bank Rakyat membuka permohonan Pembiayaan Pendidikan Boleh Ubah (PPBU) fasa pertama bagi tahun 2022 kepada pelajar bagi melanjutkan pengajian ke peringkat sijil kemahiran, diploma kemahiran/akademik, ijazah sarjana muda, professional dan sarjana di universiti awam serta swasta di dalam negara.

 

Pengerusi YBR, Datuk Wira Megat Zulkarnain Tan Sri Omardin berkata, inisiatif ini merupakan sebahagian daripada bantuan YBR kepada pelajar yang terkesan rentetan daripada musibah banjir yang melanda negara Disember lalu untuk menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi.

 

Bagi fasa pertama YBR telah memperuntukkan sebanyak RM3.81 juta bagi pembiayaan pendidikan ini kepada semua warga negara Malaysia berumur 18 hingga 30 tahun dan telah mendapat tempat di institusi pengajian tinggi.

 

Megat Zulkarnain turut memaklumkan permohonan PPBU Yayasan Bank Rakyat ini akan dibuka bermula 15 Februari sehingga 15 Mac 2022.

 

Sejak penubuhannya pada tahun 2007, Yayasan Bank Rakyat telah menyediakan peruntukan pembiayaan pendidikan lebih dari RM165 juta sebagai komitmen dalam bidang pendidikan demi memastikan anak-anak yang merupakan aset Negara berupaya melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

 

Sehingga kini, pembiayaan pendidikan YBR telah memberi manfaat kepada 5,964 pelajar dari pelbagai latar belakang dan sosioekonomi dan seramai 3,830 graduan telah menamatkan pengajian di peringkat pengajian tinggi serta membuktikan komitmen YBR dalam mengekalkan kesan jangka panjang terhadap sektor pendidikan.

 

Permohonan Pembiayaan Pendidikan Boleh Ubah (PPBU) Yayasan Bank Rakyat ini boleh dilakukan melalui laman web di www.yayasanbankrakyat.com.my.

 

Yayasan Bank Rakyat telah peruntukan sebanyak RM10,600 kepada 53 keluarga yang terjejas akibat banjir di sekitar Serdang pada 17 Disember 2021.

 

Sementara itu, bantuan sebanyak RM200 disumbangkan kepada setiap keluarga yang telah dikenal pasti melalui Kelab Rekreasi Wanita Muda Puchong.

 

Megat Zulkarnain berkata, inisiatif sebegini merupakan usaha YBR untuk membantu mereka yang memerlukan dan akan mengusahakan lebih banyak bantuan bagi meringankan beban mereka yang terkesan dikawasan yang terjejas.


 

bank rakyat
Megat Zulkarnain Tan Sri Omardin menyampaikan sumbangan bantuan kepada 53 keluarga mangsa banjir di kawasan Serdang, pada 15 Januari 2022.

 

Tambah beliau lagi, disasarkan bantuan kali ini adalah sebanyak RM100,000.00 bagi membantu mangsa banjir di sekitar Selangor. 2 lokasi lagi yang mendapat perhatian YBR untuk bantuan mangsa banjir ialah di kawasan Hulu Langat dan Shah Alam/Klang.

 

“Pihak kami amat bersimpati dengan mereka yang terkesan akibat bencana ini dan diharapkan dengan bantuan yang diberikan dapat membantu mereka yang terkesan dalam menyediakan keperluan asas pasca banjir.

 

Turut hadir bagi penyerahan ini adalah wakil penduduk Serdang, Datuk Dr. Mohamed Satim Diman.  

 

Ditambah situasi wabak COVID-19 yang masih belum pulih diharapkan dengan bantuan yang diberikan ini sedikit sebanyak membantu mereka yang terkesan menghadapi saat-saat sukar untuk meneruskan kehidupan selepas ditimpa bencana.

 

Pada tahun 2022, Yayasan Bank Rakyat telah memperuntukkan sebanyak RM500,000.00 bagi pemberian sumbangan dalam membantu mereka yang kurang bernasib baik serta bertujuan untuk meningkatkan kesejahteraan sosio-ekonomi penerima melalui pembangunan pendidikan, pemerkasaan masyarakat serta bantuan penjagaan kesihatan. - DagangNews.com