Yinson berpotensi dalam industri O&G tempatan - Kenanga Research | DagangNews Skip to main content

Yinson berpotensi dalam industri O&G tempatan - Kenanga Research

Oleh NABILA YASMIN RAZIB

nabila@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR  24 Sept. - Keputusan kewangan suku kedua tahun kewangan 2022 Yinsons Holdings Bhd. kekal stabil sekaligus mencerminkan perubahan minimum dalam perniagaannya pada suku tersebut dengan sumbangan bahagian Kejuruteraan, Perolehan, Pembinaan, Pemasangan & Pentauliahan (EPCIC) yang lebih tinggi diimbangi oleh kos kewangan yang lebih tinggi.

Menurut Kenanga Research, secara keseluruhan, Yinson mencatatkan keputusan kewangan yang lebih stabil dan firma penganalisis itu mengekalkan unjuran positif terhadap kumpulan berkenaan.

"Yinson baru-baru ini mengadakan rundingan eksklusif dengan Enauta untuk projek fasiliti pengeluaran, penyimpanan dan pemunggahan terapung (FPSO) Atlanta Fasa 2. Kami mengharapkan pemberian kontrak rasmi akan dilaksanakan menjelang suku pertama tahun kewangan 2022, yang akan meningkatkan lagi buku pesanan Yinson kepada AS$12b yang terdiri daripada 8 FPS," katanya dalam nota kajian di sini hari ini.

Keuntungan bersih Yinson Holdings Bhd untuk suku kedua yang berakhir pada 31 Julai 2021 meningkat 26% kepada RM126 juta daripada RM100 juta tahun sebelumnya, disumbangkan oleh aktiviti penukaran kapal dan FPSO bigail -Joseph, yang memulakan operasinya pada Oktober 2020.

Pendapatan kumpulan meningkat 5.93% kepada RM1.05 bilion daripada RM995 juta. Peningkatan ini disebabkan terutamanya oleh peningkatan pendapatan yang diakui dalam aktiviti perniagaan EPCIC.

Kumpulan itu juga sedang melihat peluang penawaran yang berpotensi di Vietnam dan Angola, serta mendapatkan kontrak pra-FEED untuk dua projek Total di Angola dan Suriname. Selain itu, Yinson masih dalam projek tawaran aktif di Limbayong, Sabah, dan Pecan, Ghana.

"Sementara itu pada pandangan jangka panjang, kami mengunjurkan Yinson akan menjadi syarikat yang lebih menjanjikan dalam industri minyak dan gas tempatan dari segi peralihan tenaga, dengan kumpulan itu berusaha untuk mencapai kapasiti tenaga boleh diperbaharui sebanyak 3-5GW pada masa akan datang tahun.," kata Kenanga Research. -DagangNews.com