Yinson sedia kemudahan infrastruktur EV kepada pengguna GoCar | DagangNews Skip to main content

Yinson sedia kemudahan infrastruktur EV kepada pengguna GoCar

Ketua Pegawai Eksekutif GoCar Malaysia, Wong Hoe Mun (kiri) bersama Naib Presiden Kanan Elektromobiliti Yinson GreenTech, Ruslin Tamsir, mengecas Nissan Leaf GoEV menggunakan stesen pengecas chargEV pada majlis menandatangani memorandum persefahaman antara kedua-dua pihak.
Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 8 Ogos - Yinson Holdings Bhd. bersama GoCar Mobility Sdn. Bhd. akan menyediakan kemudahan dan penyelesaian infrastruktur pengecasan beserta perkhidmatan penjagaan kepada pengguna GoCar.

 

Ia menyaksikan memorandum persefahaman ditandatangani antara GoCar dan Yinson GreenTech (YGT), cabang teknologi hijau Yinson menerusi syarikat usaha samanya, Green EV Charge Sdn. Bhd. bagi kerjasama tersebut.

 

Naib Presiden Teknologi dan Penerokaan Baharu Yinson, Eirik Barclay berkata, kerjasama itu merangkumi komitmen bersama kedua-dua pihak untuk mengembangkan penyelesaian yang saling melengkapi.

 

"Ia menandakan satu lagi langkah menarik ke arah matlamat bersama kami untuk mempercepatkan elektrifikasi ekosistem marin, mobiliti dan tenaga di Malaysia selaras dengan matlamat negara untuk menjadi negara neutral karbon menjelang 2050," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Green EV Charge merupakan syarikat usaha sama antara Yinson Green Technologies (M) Sdn. Bhd. dan GreenTech Malaysia Alliances Sdn. Bhd., anak syarikat milik penuh Malaysian Green Technology and Climate Change Corporation, agensi di bawah Kementerian Alam Sekitar dan Air.

 

Usaha sama itu bertujuan melancarkan pengkomersialan, operasi dan penyelenggaraan infrastruktur pengecasan di Malaysia melalui jenama chargEV.

 

Di bawah perjanjian itu, Green EV Charge akan menyediakan akses kepada infrastruktur pengecasan chargEV kepada kumpulan kenderaan elektrik (EV) GoCar melalui aplikasi mudah alih chargEV, membolehkan pengguna GoCar mencari dan menggunakan lebih daripada 400 pengecas chargEV yang tersedia di Malaysia.

 

Pengguna juga dapat mengecas EV mereka dan memantau status pengecasan melalui aplikasi, serta mendapat manfaat daripada perkhidmatan penjagaan pelanggan komprehensif chargEV. 

 

Dalam jangka panjang, kedua-dua pihak akan berusaha ke arah menyepadukan teknologi masing-masing untuk memberikan pengalaman yang lancar untuk pengguna GoCar.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif GoCar Malaysia, Wong Hoe Mun berkata, meningkatkan ketersambungan kepada chargEV akan membantu meningkatkan pengalaman pengguna pengecasan EV di seluruh negara.

 

"Integrasi dengan chargEV akan menawarkan lebih banyak akses. Melalui aplikasi mudah alih GoCar kami, mana-mana pengguna EV, bukan sahaja ahli GoCar akan dapat menyambung dengan lancar ke kedua-dua rangkaian untuk keperluan pengecasan EV," katanya. - DagangNews.com