Skip to main content

Yogendran dilantik sebagai jurulatih baharu perseorangan lelaki kebangsaan

 

NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 26 Nov - Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengumumkan pelantikan K. Yogendran sebagai jurulatih baharu dalam barisan kejurulatihan perseorangan lelaki negara bermula 1 Disember ini.

 

BAM dalam satu kenyataan memberitahu, Yogendran akan membantu ketua jurulatih, Hendrawan bersama Datuk Tey Seu Bock dalam memperkasakan skuad perseorangan lelaki yang kini diketuai oleh pemain No.1 negara, Lee Zii Jia.

 

"Bekas pemain kebangsaan berusia 39 tahun itu memiliki pengalaman luas di persada antarabangsa termasuk menjadi ketua jurulatih pasukan kebangsaan Mauritius.

 

"Yogendran akan melapor diri di Akademi Badminton Malaysia (ABM) pada 1 Disember ini dan kehadirannya diharap dapat menguatkan lagi cabaran negara di persada antarabangsa," katanya.

 

Yogendran sebelum ini pernah berkhidmat sebagai jurulatih pemain profesinal dan pernah melatih K. Letshaana semasa zaman remajanya sebelum bergelar pemain kebangsaan.

 

Semasa bersama skuad kebangsaan selaku pemain, Yogendran pernah membuat penampilan dalam beberapa siri kejohanan utama termasuk All England dan Kejohanan Dunia selain pernah menduduki ranking ke-32 dunia bagi acara perseorangan lelaki.-Dagangnews.com