Youbeli, PJ Digital Mall jalin kerjasama sempena jualan 10.10 | DagangNews Skip to main content

Youbeli, PJ Digital Mall jalin kerjasama sempena jualan 10.10

Jualan 10.10 Youbeli dan PJ Digital Mall

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 8 Okt. - Platform e-dagang tempatan, Youbeli.com (Youbeli) menjalin kerjasama dengan salah satu pusat IT terbesar di Malaysia, PJ Digital Mall bersempena dengan jualan online-to-offline (O2O) 10.10. 

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Youbeli, Chua Khai Suan berkata, kerjasama itu juga adalah inisiatif beli-belah terbesar pihaknya selepas menjalinkan kerjasama eksklusif dengan PChomeSEA dari Taiwan baru-baru ini.

Kempen dalam talian O2O itu mengumpulkan 10 penyewa kedai yang mengambil bahagian dalam platform Youbeli untuk mempromosikan lebih 8,000 produk mereka.

"Perkembangan industri e-dagang yang didorong oleh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyebabkan lebih ramai pengguna membuat pembelian secara dalam talian.

"Namun sebagai sebahagian daripada inisiatif online-to-offline (O2O) kami untuk membantu peruncit yang menggunakan kaedah konvensional terus berkembang, kami memutuskan untuk bekerjasama dengan PJ Digital Mall untuk Jualan 10.10.

Chua Khai Suan
Chua Khai Suan

 

"Bukannya untuk bersaing sebagai dua entiti yang berbeza, namun kami saling melengkapi model perniagaan masing-masing untuk memberikan tawaran terbaik kepada pelanggan kami," jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.
  
Melalui kerjasama tersebut, pelanggan yang memilih untuk mengambil sendiri produk yang dibeli akan berpeluang untuk membuat pemeriksaan barangan tersebut.

Pada masa hadapan, Youbeli turut menawarkan penghantaran pada hari yang sama ke semua alamat dalam kawasan atau radius 10 kilo meter (KM) dari PJ Digital Mall dalam masa tiga jam dengan setiap pembelian yang dibuat melalui platform Youbeli.

PJ Digital Mall
PJ Digital Mall

 

Kelebihan tersebut secara tidak langsung memberikan pengalaman beli-belah dalam talian yang lebih mudah kepada pelanggan.

Sementara itu, Pengurus Leasing Digital Mall Sdn. Bhd., Jeffrey Fang berkata, sambutan yang luar biasa diterima sejak kempen kerjasama tersebut pada 1 Oktober lalu.

"Kami gembira melihat komuniti 'Gila Gadget" masih memberi sokongan kepada kedai fizikal kami.

"Pada tempoh ini, kita perlu memastikan perniagaan agar terus beroperasi untuk menyokong ekonomi negara sekali gus mengurangkan jumlah pengangguran akibat wabak berkenaan," tambahnya. 

Pembeli dalam talian boleh mengakses platform Youbeli untuk mendapatkan lebih banyak jualan barangan elektronik daripada jenama terkenal seperti Samsung, Huawei, RealMe, Lenovo, Vivo, OPPO, Canon, Razer dan pelbagai lagi. - DagangNews.com