YTL Cement lupus pegangan dalam syarikat simen China | DagangNews Skip to main content

YTL Cement lupus pegangan dalam syarikat simen China

 

 

KUALA LUMPUR 5 Mei - YTL Cement (Hong Kong) Ltd. melupuskan 100% kepentingan dalam Zhejiang Hangzhou Dama Cement Co Ltd. yang dimuktamadkan 30 April lalu.

 

Setelah melabur dalam Dama Cement pada 2007, YTL Cement meraih pulangan berjumlah 1.3 bilion yuan (RM828 juta) dengan keuntungan RM250 juta.

 

Pengerusi Eksekutif Kumpulan YTL, Tan Sri Francis Yeoh menyifatkan ia adalah waktu yang tepat untuk melaksanakan langkah itu memandangkan penilaian perniagaan yang sangat menarik ketika ini.

 

Katanya, menerusi pelaburan di China, pengeluar simen terbesar di dunia, kumpulan mampu meningkatkan keupayaan dan membina pengetahuan dalam industri berkaitan. 

 

"Dengan mempelajari daripada teknologi termajunya, pengetahuan operasi, perolehan, logistik dan sistem pengedaran, langkah yang kami ambil ini merupakan sebahagian daripada strategi untuk memperkukuhkan kedudukan sebagai peneraju utama di peringkat domestik, pasaran eksport dan juga serantau," katanya dalam kenyataan. 

 

YTL Cement merupakan anak syarikat kepada YTL Corp. yang mana perniagaan simennya beroperasi di Malaysia, Singapura, Vietnam dan Myanmar. 

 

Ia telah mengembangkan operasinya di Malaysia pada 2019 menerusi pengambilalihan 51% kepentingan dalam Lafarge Malaysia Bhd. yang kini dikenali sebagai Malayan Cement. Bhd.

 

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan YTL Cement, Datuk Seri Michael Yeoh Sock Siong berkata, pelupusan kepentingan ini sejajar dengan fokus syarikat untuk meletakkan kedudukan mereka sebagai peneraju industri dalam pasaran simen serantau.

 

"Dama merupakan kemasukan terbesar kami dalam industri simen di China, iaitu pembekal utama di Hangzhou.

 

"Sehubungan itu, wawasan dan pengetahuan penting yang diperoleh akan digunakan dalam perancangan kami untuk memperluaskan operasi di Asia Tenggara," katanya. - DagangNews.com