Zakri Khir dilantik sebagai Pengerusi Allianz Malaysia Berhad baharu | DagangNews Skip to main content

Zakri Khir dilantik sebagai Pengerusi Allianz Malaysia Berhad baharu

Zakri Khir
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 22 Jun - Allianz Malaysia Berhad melantik Zakri Khir sebagai pengerusi syarikat, berkuat kuasa 23 Jun 2022.

 

Zakri akan mengambil alih daripada Tan Sri Dr. Rafiah Salim yang bersara pada Mesyuarat Agung Tahunan Syarikat ke-48 pada 22 Jun 2022, setelah bersama dengan Allianz Malaysia selama sedekad dengan penghormatan sebagai pengerusi wanita pertamanya.

 

Rafiah, yang memegang jawatan pengarah syarikat sejak 2012, juga merupakan naib canselor wanita pertama di Universiti Malaya. 

 

Beliau adalah rakyat Malaysia pertama memegang jawatan tinggi di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di New York semasa berkhidmat sebagai Penolong Setiausaha Agung Pengurusan Sumber Manusia dari 1997 hingga 2002.

 

Zakri, yang menyertai Allianz Malaysia pada 2000, berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Allianz General Insurance Company (Malaysia) Berhad dari Disember 2010 hingga Jun 2021. 

 

Beliau juga merupakan Ketua Pegawai Eksekutif syarikat dan Pengurus Negara Allianz Malaysia dari September 2014 hingga Disember 2021. 

 

Beliau memainkan peranan penting dalam pengambilalihan Malaysia British Assurance Berhad oleh Allianz pada 2001 dan kemudiannya kejayaan mengintegrasikan Commerce Assurance Berhad pada 2007, yang melonjakkan Allianz General kepada kedudukan peneraju pasaran di negara ini.

 

Rafiah berkata, ia merupakan suatu kebanggaan dan penghormatan untuk berkhidmat sebagai pengerusi bagi entiti Malaysia untuk salah satu syarikat insurans global yang terbesar. 

 

"Dalam menutup tirai kerjaya saya di Allianz Malaysia, saya berpuas hati dan sangat gembira dengan apa yang telah kami capai, dan dengan penuh keyakinan saya menyerahkan mantel kepada Zakri. 

 

"Sebagai bekas CEO kami, saya telah menyaksikan pandangan jauh Zakri, langkah perniagaan yang berani dan kepimpinan yang sempurna, dan saya sangat teruja untuk melihat masa depan syarikat," katanya. - DagangNews.com