Zambry Abd Kadir kini Pengerusi Malaysia Airports | DagangNews Skip to main content

Zambry Abd Kadir kini Pengerusi Malaysia Airports

SEPANG 12 Ogos – Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) mengumumkan pelantikan bekas menteri besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir sebagai pengerusi, menggantikan Tan Sri Zainun Ali yang melepaskan jawatannya semalam.

Pelantikan Dr. Zambry, 58, berkuat kuasa hari ini sebagai Pengerusi Bukan Bebas Bukan Eksekutif MAHB.

Beliau merupakan menteri besar Perak dari 2009 hingga 2018 memiliki pengalaman sebagai profesor di Putra Business School, Universiti Putra Malaysia, Profesor Adjun Jabatan Sains Politik Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), CEO Mind Institute serta CEO Pusat Pengajian Kepimpinan dan Pembangunan. 

Zambry memiliki Ijazah Doktor Falsafah dan Sarjana dari Temple University, Amerika Syarikat, dan Sarjana serta Sarjana Muda Ekonomi dari UIAM. Beliau juga pernah menghadiri Program Kepimpinan Harvard di Kennedy School of Government, Harvard University.

Sementara itu, MAHB menyatakan sepanjang tempoh khidmat Zainun, beliau amat teliti di dalam memastikan standard tertinggi tadbir urus korporat dan integriti dilaksanakan ke seluruh organisasi. - DagangNews.com