Zeti jelas mengapa dividen KWSP lebih tinggi | DagangNews Skip to main content

Zeti jelas mengapa dividen KWSP lebih tinggi

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 8 April - Buat kali pertama tahun lalu, agihan pendapatan Amanah Saham Bumiputera (ASB) adalah lebih rendah berbanding dividen Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
 

ASB merekodkan agihan pada kadar 4.25 sen seunit manakala dividen KWSP adalah 5.2% bagi konvensional dan 4.9% untuk syariah. 

 

Sememangnya sebelum ini, kedua-dua kadar dividen ini sentiasa dibandingkan antara satu sama lain tanpa mengetahui bahawa kedua-dua entiti ini bukan sahaja memainkan peranan berbeza tetapi profail pelaburan mereka juga tidak sama. 

 

Mengulas mengenai perkara ini, Pengerusi Kumpulan PNB, Tan Sri Dr. Zeti Aziz menjelaskan, KWSP sejak awal penubuhannya sentiasa meletakkan jumlah yang tinggi dalam portfolio aset pelaburan kepada pendapatan tetap. 

 

Berbanding PNB pula, dana itu hanya mula melabur dalam aset pendapatan tetap sejak 2017 iaitu kira-kira 6 peratus daripada asetnya. 

 

"Perbezaan profail pelaburan antara PNB dan KWSP dilihat menjadi faktor mengapa pemberian dividen KWSP yang lebih tinggi berbanding agihan pendapatan ASB bagi 2020," katanya. 

 

Beliau ditanya mengenai isu berkenaan selepas membentangkan Laporan Tahunan PNB 2020 secara maya hari ini.  

 

Difahamkan secara purata 50 peratus daripada portfolio KWSP dalam tempoh 10 tahun lalu adalah dalam pendapatan tetap. 

 

Bahkan jelas Zeti, KWSP telah meneroka pasaran antarabangsa lebih awal berbanding PNB yang menyaksikan prestasi pasaran lebih baik. 

 

"Kami sentiasa 'memerhatikan' antara satu sama lain tetapi kita perlu sedar yang PNB ini adalah dana amanah manakala KWSP pula dana pencen. 

 

"Kedua-dua dana ini mempunyai objektif sama untuk menjana aliran pulangan mapan kepada ahli dan pemegang unit. Tetapi perlu diingat KWSP mempunyai mandat untuk membayar pencen kepada pencarumnya," jelas beliau.

 

Menurutnya, pelaburan PNB banyak tertumpu kepada ekuiti iaitu kira-kira 81 peratus dengan risiko banyak tertumpu pada pasaran ekuiti.

 

"Pada ketika situasi ekonomi tidak menentu, portfolio pendapatan tetap akan lebih baik daripada ekuiti. 

 

"Tetapi, jika sebaliknya berlaku, ekuiti akan mencatat prestasi yang lebih baik," katanya. 

 

Dengan melihat kepada penglibatan awal KWSP dalam pasaran antarabangsa dan mampu memberi pulangan lebih baik, PNB juga, katanya dalam usaha untuk meningkatkan portfolio pelaburan antarabangsa. 

 

Buat masa ini, pelaburan antarabangsa PNB sudah meningkat kepada 12% daripada keseluruhan potfolio berbanding 8.5% sebelum ini dan menyumbang kepada 25.5% keseluruhan pendapatan.  

 

"Sehubungan itu, kami berhasrat untuk mempelbagaikan portfolio pelaburan daripada hanya tertumpu kepada ekuiti sahaja supaya lebih berdaya tahan menghadapi cabaran persekitaran semasa," tegasnya.

 

Dalam pada itu, mengenai perkembangan terkini pembinaan Menara Merdeka 118, Zeti berkata, kerja pembinaan menara ikonik itu sudah mencapai tingkat 118.

 

Beliau berkata, pembinaan dijangka siap sepenuhnya pada suku kedua 2022 dan bersedia untuk dihuni pada separuh kedua tahun depan. - DagangNews.com