Skip to main content

Zii Jia mahu kembali ke gelanggang secepat mungkin

Lee Zii Jia mengambil keputusan menarik diri daripada kejohanan Indonesia Masters akibat kecederaan belakangnya yang masih belum pulih.-Gambar Instagram Lee Zii Jia

 

 

NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 17 Nov - Perseorangan lelaki No.1 negara, Lee Zii Jia terpaksa menarik diri pada pusingan pertama Indonesia Masters kerana kecederaan belakangnya masih belum pulih sepenuhnya.

 

Dalam aksi itu, dia berhadapan pemain Denmark, Rasmus Gamke tetapi mengambil keputusan untuk tidak meneruskan perlawanan set pertama ketika ketinggalan 9-11 pada set pertama.

 

Menurut Zii Jia selepas perbincangan dengan jurulatih dan pasukan sokongan, dia masih memerlukan masa untuk kembali pulih daripada kecederaan belakang dialaminya sebagai persiapan menghadapi kejohanan seterusnya iaitu Terbuka Indonesia, Final Jelajah Dunia dan Kejohanan Dunia.

 

"Perkara ini sangat mengecewakan apabila saya tidak berada pada tahap terbaik untuk saingan Indonesia Masters kali ini tetapi saya terus berlatih dan kembali ke gelanggang secepat mungkin.

 

"Saya juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada peminat Indonesia yang menghantar pelbagai buah tangan kepada saya, kemesraan anda akan diingati," katanya menerusi laman Instagram.

 

Pemain No.7 dunia itu sebelum ini mengalami kecederaan ketika beraksi di final Terbuka Hylo ketika menentang wakil Singapura, Loh Kean Yew.

 

Sebelum beraksi di Indonesia, pemain negara itu sudah beraksi dalam beberapa siri kejohanan secara berturut-turut di Eropah termasuk Piala Sudirman, Piala Thomas, Terbuka Denmark, Terbuka Perancis dan Terbuka Hylo.-Dagangnews.com