Zii Jia perlu rehat elak kecederaan | DagangNews Skip to main content

Zii Jia perlu rehat elak kecederaan

NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 28 Okt. - Pemain perseorangan badminton No.1 negara, Lee Zii Jia wajar direhatkan bagi mengelak sebarang kecederaan selepas mengharungi empat kejohanan berturut-turut.

 

Bekas pemain No.1 negara, Roslin Hashim berkata, kekalahan mengejut pemain itu kepada pemain Singapura, Loh Kean Yew di pusingan Terbuka Perancis bukan sesuatu yang mengejutkan dan ia biasa terjadi kepada mana-mana pemain.

 

Katanya, Zii Jia beraksi sejak daripada Piala Sudirman dan perkara itu sudah pasti menjejaskan fizikal dan mentalnya.

 

"Seperti yang kita tengok ketika dia tewas kepada Victor Axelsen dalam Terbuka Denmark minggu lalu, dia nampak keletihan sementara keadaan  Kean Yew pula kelihatan lebih baik daripadanya.

 

"Lebih baik dia direhatkan daripada mana-mana kejohanan terdekat kerana bimbang dia akan mengalami kecederaan.

 

"Keadaanya paling penting, kalau dia bermain dan terus kalah lagi mungkin akan menjejaskan psikologinya," katanya.

 

Selepas mengharugi Piala Sudirman, Piala Thomas, Terbuka Denmark dan Terbuka Perancis, pemain kelahiran Alor Setar itu akan terus berada di Eropah untuk berhadapan satu lagi kejohanan di Jerman.

 

Kemudian mereka akan berangkat ke Indonesia untuk berdepan aksi Masters Indonesia, Terbuka Indonesia dan Final Jelajah Dunia yang menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah AS$1.5 juta.-DagangNews.com