Zon dron dan robotik (DRZ) Iskandar dijangka tarik pelaburan RM351 juta | DagangNews Skip to main content

Zon dron dan robotik (DRZ) Iskandar dijangka tarik pelaburan RM351 juta

Datuk Hasni Mohammad (tengah) meninjau proses pemasangan drone selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Laman Ujian Zon Dron dan Robotik Iskandar (DRZ) di Iskandar Puteri pada 20 Januari 2022. 

ISKANDAR PUTERI 20 Jan - Zon dron dan robotik Iskandar (DRZ Iskandar) di Medini dijangka menarik pelaburan bernilai RM351 juta selain dapat mewujudkan kira-kira 1,000 pekerjaan menjelang 2025.

 

Menteri Besar Johor Datuk Hasni Mohammad berkata, pembangunan Tapak Ujian Dron (DTS) berkeluasan lebih 687.96 hektar di DRZ Iskandar dan menjadikannya terbesar di Asia Tenggara, akan turut memacu ekonomi tempatan serta memberi manfaat kepada masyarakat dan usahawan di sekitarnya.

 

Menurutnya, selain menarik pelaburan domestik dan asing, DRZ Iskandar juga menyasarkan untuk menarik 70 syarikat dron dan robotik serta mewujudkan 1,000 pekerjaan dalam industri dron dan robotik menjelang 2025 di Johor.

 

“Saya gembira melihat bagaimana kesungguhan pasukan Iskandar Investment Bhd (IIB) berusaha merealisasikan aspirasi tersebut menerusi pembukaan DTS pada hari ini,” katanya.

 

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian kemudahan DTS itu di sini, hari ini, yang turut dihadiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif IIB, Datuk Ir Khairil Anwar Ahmad.

 

Hasni berkata, IIB setakat ini telah membelanjakan hampir RM4 juta bagi pembangunan DRZ Iskandar manakala kerajaan negeri turut menyediakan peruntukan besar bagi pembangunan ekosisten dron dan robotik tersebut.

 

drz iskandar

 


Sementara itu, Khairil Anwar berkata, objektif DRZ Iskandar adalah untuk mewujudkan ekosistem  dron dan robotik di Iskandar Malaysia yang mampu menjadi pemacu pertumbuhan, peneraju teknologi dan hab bakat untuk Malaysia serta Asia Pasifik.

 

“DTS merupakan komponen utama DRZ Iskandar dalam usaha merintis penyelesaian teknologi baharu dan menjalankan ujian-ujian berkaitan.

 

“Ini membantu dari segi mempercepat ujian penyelesaian berkuasa dron yang dibangunkan di peringkat tempatan.


 

Datuk Ir Khairil Anwar Ahmad
                                                                                Datuk Ir Khairil Anwar Ahmad

 


''Ia juga dapat mewujudkan persekitaran selamat dan sebenar bagi kalangan penginovasi menguji, menerbangkan dan mengenal pasti kaedah untuk pesawat kawalan jarak jauh berintegrasi dalam ruang udara kita dengan selamat,'' kata beliau.

 

Menurut Khairil Anwar, DTS juga merupakan antara elemen utama dalam menyokong usaha bagi merealisasikan agenda ekonomi digital Johor. - DagangNews.com