Zuraida umum keluar Bersatu, bakal letak jawatan menteri Kabinet | DagangNews Skip to main content

Zuraida umum keluar Bersatu, bakal letak jawatan menteri Kabinet

Datuk Zuraida Kamaruddin
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 26 Mei - Ahli Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamaruddin hari ini mengumumkan keputusan keluar Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bagi menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM) sekali gus bakal meletakkan jawatan sebagai Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komuniti.

 

Zuraida dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, beliau akan bertemu dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagi membincangkan peletakan jawatannya daripada Kabinet dalam masa terdekat.

 

“Saya juga akan berbincang tentang peranan dan hala tuju PBM demi mengukuhkan lagi kerajaan Keluarga Malaysia. Saya mempunyai keyakinan penuh terhadap kebijaksanaan Perdana Menteri.

 

"Alhamdulillah, pendirian saya selaku Ahli Parlimen Ampang menyokong kerajaan yang dipimpin Ismail Sabri (government of the day) adalah selari dengan PBM," katanya.

 

Zuraida berkata, sepanjang berkhidmat di kedua-dua kementerian, beliau telah berusaha memberikan yang terbaik dan membawa perubahan positif kepada rakyat dan kehidupan mereka.

 

"Saya juga ingin mengucapkan terima kasih atas sokongan padu yang saya terima sepanjang berkhidmat di kedua-dua kementerian.

 

"Saya ingin mengambil kesempatan merakamkan ucapan terima kasih kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, di atas kepercayaan mereka melantik saya sebagai menteri Kabinet," katanya.

 

Zuraida kini berada di Turki bagi memenuhi undangan dan memberikan ucapan pada majlis pembukaan Persidangan Perintis Ketujuh Gabungan Wanita Global untuk Al-Quds dan Palestin.

 

Persidangan itu akan berlangsung selama tiga hari bermula 27 Mei 2022, seterusnya beliau akan ke Athens, Greece memenuhi undangan Misi Perniagaan dan Pengembangan Pasaran Kayu Malaysia bersama Majlis Kayu Kayan Malaysia dan kembali ke tanah air pada 2 Jun 2022. - DagangNews.com