Untung bersih Nestle 1QFY24 susut 0.8% kepada RM195.5 juta kesan inflasi, kuasa beli pengguna lebih rendah | DagangNews Skip to main content

Untung bersih Nestle 1QFY24 susut 0.8% kepada RM195.5 juta kesan inflasi, kuasa beli pengguna lebih rendah

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 29 April - Inflasi dan kuasa beli pengguna Malaysia yang lebih rendah akibat kejatuhan nilai ringgit telah memberi kesan kepada jualan Nestle (Malaysia) Berhad pada suku pertama tahun kewangan 2024 (1QFY24) sekali gus menyaksikan untung bersihnya susut berbanding setahun sebelum.

 

Menurut Nestle, untung bersihnya pada 1QFY24 merosot 0.8% kepada RM195.5 juta berbanding RM197.14 juta yang direkodkan pada 1QFY23.

 

"Pendapatan pada suku tahunan pertama pula berjumlah RM1.78 bilion, berkurang 3.2% berbanding 1QFY23 yang mencatatkan jumlah RM1.84 bilion

 

 

"Ini terutamanya disebabkan sedikit penurunan dalam jualan domestik berbanding suku yang sama tahun lepas," katanya dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

 

Kata Nestle, penurunan kecil sebanyak 1.2% bagi untung sebelum cukai (PBT) dan 0.8% untung bersih kebanyakannya mencerminkan kesan jualan yang lebih rendah namun telah diimbangi secara berkesan oleh inisiatif pengurusan kos yang proaktif.

 

Di samping itu, jelas pengeluar makanan dan minuman terkemuka yang telah beroperasi 112 tahun di negara ini, kos komoditi juga lebih baik berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya.

 

"Di tengah-tengah persekitaran yang mencabar di mana pengguna kekal berhati-hati dengan perbelanjaan mereka dan landskap persaingan yang sengit, kami terus menumpukan pada penyampaian produk berkualiti tinggi buatan Malaysia oleh rakyat Malaysia, untuk memenuhi jangkaan rasa, kemudahan, pemakanan dan nilai rakyat Malaysia," jelasnya.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Nestle Malaysia naikkan harga 22 produknya mulai 1 Julai 2024 hingga 6 peratus

 

Sementara itu, mengenai prospek tahun ini, Nestle berkata, 2024 bakal menjadi tahun yang mencabar dengan tekanan ke atas pertumbuhan jangka pendek yang berpunca daripada kesan berlarutan inflasi dan turun naik pertukaran asing yang memberi kesan terhadap kuasa beli rakyat Malaysia.

 

Nestle pada masa sama mengakui faktor persaingan turut semakin meningkat. 

 

"Kami kekal fokus sepenuhnya, seperti yang telah kami lakukan sepanjang 112 tahun kehadiran kami di negara ini, untuk memenuhi keperluan dan jangkaan rakyat Malaysia, sambil menjadi rakan kongsi yang bertanggungjawab dan proaktif," ujarnya. - DagangNews.com