Buat dokumen perancangan harta mahal? | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Anekdot Mawarith - 1 May 2024

BUAT DOKUMEN PERANCANGAN HARTA MAHAL?

 

 

 

ADA yang bertanya kepada saya, kenapa nak buat dokumen kena bayar harga beribu-ribu ringgit sedangkan kos untuk mencetak dokumen hanya beberapa ringgit sahaja?

 

Ada juga yang bertanya kenapa Wasiyyah Shoppe mengenakan caj beberapa ribu ringgit untuk menyediakan dokumen seperti hibah?

 

Dalam masa yang sama ada juga syarikat-syarikat sdn bhd atau individu yang membuat dokumen hanya dengan caj beberapa ratus ringgit sahaja.

 

Soalan ini sebenarnya telah ditanya kepada saya semenjak 2004 lagi. Jawapan biasa saya ialah jika betul-betul mahukan kosnya menjadi sangat murah, maka boleh sahaja kita buat sendiri dokumen itu mengikut kefahaman kita.

 

"Jangan guna perkhidmatan syarikat amanah profesional seperti Wasiyyah Shoppe Berhad atau perkhidmatan peguam!"

 

Kita boleh sahaja mencetak sendiri dokumen, menyimpannya sendiri dan bila kita mati kelak, mintalah waris-waris kita bawa dokumen itu sendiri ke mahkamah serta melalui proses perbicaraannya tanpa menggunakan perkhidmatan peguam.

 

 

wasiyyah

 

 

Jika ini boleh kita lakukan, kos keseluruhan proses ini daripada mencetak dokumen sehinggalah harta itu berjaya diturun milik secara sah kepada penerima hibah atau waris-waris kita mungkin hanya akan memakan belanja beberapa ratus ringgit sahaja. Sangat menjimatkan.   

 

Namun hakikatnya, proses membuat dokumen dan melaksanakannya mengikut proses perundangan di Mahkamah Syariah mahupun di pejabat pusaka kecil/ mahkamah tinggi sivil dan pejabat tanah, tidak semudah yang disangkakan.

 

Ia penuh dengan pelbagai isu teknikal undang-undang dan SOP yang akan memakan masa dan perbelanjaan yang banyak serta mewujudkan pelbagai stres kepada waris yang menguruskan jika mereka tidak mahir dengan selok-beloknya.

 

Realistiknya, tidak semua waris kita itu peguam yang memahami selok-belok proses ini dengan baik. Realistiknya juga, tidak semua waris kita ada masa lapang yang banyak untuk turun naik pelbagai agensi untuk belajar apa yang perlu mereka buat bagi menguruskan harta pusaka kita.  

 

Saya tidak boleh menjawab bagi pihak penyedia dokumen lain yang ada di dalam industri ini kerana strategi, struktur kos, tadbir urus korporat, kelangsungan (perpetuity), pengalaman operasi dan kemahiran teknikal undang-undang masing-masing adalah unik dan ini antara faktor yang mempengaruhi caj penyediaan dan pelaksanaan dokumen seperti hibah.

 

Masyarakat boleh memilih untuk menggunakan perkhidmatan syarikat amanah profesional berpengalaman 20 tahun di dalam industri seperti Wasiyyah Shoppe Berhad ataupun pemain lain di dalam pasaran seperti yang saya sebutkan di atas.

 

Pilihan di tangan anda dan anda boleh timbangkan sendiri pro dan kons setiap pilihan anda.

 

 

wasiyyah

 

 

Isu caj ini saya hanya boleh menjawab bagi pihak Wasiyyah Shoppe Berhad sahaja. Ada beberapa faktor yang masyarakat perlu tahu berkaitan perkhidmatan kami.

 

Yang pertama ialah dari sudut penyediaan dokumen. Proses pembangunan format dokumen di Wasiyyah Shoppe Berhad sangat teliti, cermat dan panjang.

 

Kami faham bahawa kami tidak boleh membangunkan sesuatu format dokumen perancangan harta itu berdasarkan pengetahuan atau pengalaman peribadi Wasiyyah Shoppe Berhad ataupun Panel Syariahnya sahaja walaupun 7 orang panel Syariah kami ini mempunyai pengalaman kolektif 220 tahun sesama mereka di dalam bidang fiqh mawarith dan undang-undang pusaka.

 

Kami juga tidak pernah membuat dokumen berdasarkan ‘copy and paste’ daripada organisasi lain.

 

Apa yang kami lakukan ialah kami memberi dana kepada universiti untuk membuat penyelidikan ilmiah tentang sesuatu format dokumen yang ingin kami bangunkan.

 

Proses penyelidikan ini memakan masa di antara 6 bulan sehingga 12 bulan sebelum mendapat hasil dapatan penyelidikannya.

 

Apabila dapatan penyelidikan ini telah diperoleh, ia dibentangkan kepada Jawatankuasa Teknikal Syariah (JTS) kami.

 

Kemudian ia dibentangkan pula di dalam muzakarah ilmiah yang disertai lebih 30 orang individu yang merupakan pakar berpengalaman di dalam undang-undang Syariah dan undang-undang sivil yang berkaitan pewarisan harta orang Islam di Malaysia.

 

Pakar-pakar ini memberi pandangan penambahbaikan kepada cadangan format dokumen kami supaya ia selari dan berkuatkuasa dengan undang-undang semasa.

 

Selesai proses ini, cadangan akhir format dokumen ini dibentangkan pula kepada 7 orang ahli Panel Syariah kami yang dipengerusikan oleh Dato’ Seri Dr Hj Md Yusup Che Teh, mantan hakim mahkamah rayuan di Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia.

 

 

mawarith

 

 

Apabila Panel Syariah kami telah berpuas hati dengan semua aspek kepatuhan Syariah format dokumen, barulah kelulusan diberikan untuk ia diperkenalkan sebagai perkhidmatan Wasiyyah Shoppe Berhad.

 

Proses yang saya terangkan ini melibatkan kepakaran hampir 45 orang (termasuk kakitangan Wasiyyah Shoppe Berhad) dan sesuatu format dokumen  ini memakan masa hampir 24 bulan bermula dari peringkat penyelidikan sehingga ke peringkat ia diperkenalkan kepada masyarakat.

 

Semenjak 2004, Wasiyyah Shoppe Berhad telah berbelanja lebih RM 2 juta untuk proses ini sahaja.

 

Setakat pengetahuan saya, Wasiyyah Shoppe Berhad ialah satu-satunya syarikat amanah di bawah Akta Syarikat Amanah 1949 yang mempunyai pendekatan ‘research-based’ ini.  

 

Kenapa kami bersusah-payah berbelanja besar, melalui sesi ilmiah yang sangat teliti dan memakan masa yang panjang ini?

 

Ini kerana Wasiyyah Shoppe Berhad mengambil pendekatan apa sahaja format dokumen kami mestilah patuh hukum syarak, patuh undang-undang syariah, patuh undang-undang sivil yang berkenaan serta boleh dikuatkuasakan.

 

Pelanggan membayar kerana mereka menaruh harapan dokumen yang dibuat dapat memenuhi hasrat pembahagian harta mereka.

 

Harapan ini hanya boleh dipenuhi jika format dokumen itu dibangunkan dengan penuh cermat dan ilmiah. Jaminan kebolehlaksanaan dokumen inilah elemen terpenting di Wasiyyah Shoppe Berhad.

 

 

mawarith

 

 

Rekod perkhidmatan Wasiyyah Shoppe Berhad yang telah terbukti selama 20 tahun semenjak 2004 menjadi testimoni kepada keberkesanan perkhidmatan kami. Pelanggan membayar caj yang sedemikian selaras dengan keberkesanan  dokumen dan perkhidmatan kami.

 

Apalah gunanya membuat dokumen yang cajnya murah tetapi akhirnya tidak boleh dilaksanakan kerana kecacatan format dan ketidakselarasan dengan undang-undang semasa?

 

Keadaan lagi teruk jika pihak yang menyediakan dokumen itu juga sudah ‘terkubur’ lebih awal dari terkuburnya jasad kita. Dengan siapa waris kita ingin mendapatkan bantuan?

 

Industri perancangan harta ini tidak sama dengan industri makanan contohnya. Tanya diri anda persoalan ini. Jika kita membeli sesuatu makanan dan kita mendapati ia tidak kena dengan selera kita atau tidak sedap, boleh sahaja kita membeli dari penjual makanan yang lain pada waktu lain.

 

Tetapi jika kita telah membuat dokumen perancangan harta namun ia tidak boleh berkuatkuasa selepas kita mati, kita pastinya tidak boleh bangkit semula dari kubur untuk membuat dokumen perancangan harta yang baru.

 

Untuk jaminan hasrat anda tercapai dan dokumen itu terlaksana, gunalah perkhidmatan Wasiyyah Shoppe Berhad yang telah terbukti selama 20 tahun.

 

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL ANEKDOT MAWARITH

 

 

ariffin sabirin
Tn Hj Ariffin Sabirin adalah Pengasas dan CEO Wasiyyah Shoppe Bhd

 

 

dagangnews

 

Portfolio Tags