`Mood' Hari Raya hancur bila mula berbincang hal harta pusaka | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Anekdot Mawarith - 17 April 2024

`MOOD' HARI RAYA HANCUR BILA MULA BERBINCANG HAL HARTA PUSAKA

 

 

 

AIDILFITRI 1 Syawal  baru berlalu. Kita semua bergembira menyambut hari kemenangan ini dan pastinya yang menjadi tumpuan kita ialah kesempatan untuk berkumpul dengan semua adik-beradik dan saudara mara.

 

Maklumlah dalam kesibukan hari-hari biasa, sangat susah untuk kita mendapat kesempatan ini.

 

 

wainuiomata
Kira-kira 250 ahli keluarga Haji Ibrahim berkumpul bersempena Aidilfitri 1455 hijrah.

 

anekdot mawarith
Hj Ariffin Sabirin bersama keluarga pada majlis sambutan Aidilfitri Hj Ibrahim pada 1 Syawal 1455 Hijrah.

 

 

Maka kesempatan berkumpul ini digunakan untuk berbincang hal-hal keluarga seperti kesihatan, pertunangan, pernikahan dan termasuklah urusan berkaitan harta pusaka.

 

Koyak

Seorang rakan menghubungi saya dan memberitahu, apabila disentuh sahaja hal harta pusaka , maka mood raya hancur kerana ada waris yang mula meninggikan suara dan tidak berpuas hati.

 

Mereka mulai tuduh-menuduh ada yang memanipulasi dan menyeleweng harta pusaka peninggalan arwah ayah.

 

Perhimpunan keluarga di hari raya yang sepatutnya dilalui dengan rasa gembira, seronok dan penuh kasih sayang terus berubah menjadi tegang.

 

Ibu yang mulanya seronok melihat anak-anak berkumpul, kini bersedih kerana ada antara anaknya yang bertindak mengangkat beg dan membawa ahli keluarganya keluar dari rumah pada hari raya pertama!

 

Bunyi cerita saya ini seakan sadis dan tragis tapi itulah apa yang diceritakan oleh rakan saya tadi.

 

Kejadian seperti ini hanya berlaku di dalam drama melayu sahaja? Tidak, ini ialah cerita realiti kehidupan apabila bab harta pusaka disentuh. 

 

 

anekdot mawarith

 

 

Saya kerap ditanya soalan sama ada hari raya adalah waktu terbaik untuk bercerita hal harta pusaka sesama waris. Sebenarnya tiada jawapan yang tepat untuk soalan ini.

 

Kalau dilihat dari segi peluang berkumpul sesama waris, ya ini memang waktu yang terbaik untuk semua waris berbincang tentang harta pusaka.

 

Bukan mudah untuk mendapatkan masa semua waris duduk berkumpul berbincang isu ini. Hari raya ialah antara peluang terbaik.

 

Apabila waris berkumpul di rumah pusaka, perbincangan ini akan pastinya diiringi  dengan perasaan sentimental kerana di rumah itulah mereka dibesarkan dengan penuh kasih sayang daripada arwah ibu bapa.

 

Di rumah itulah mereka adik-beradik melalui pelbagai pengalaman pahit manis membesar bersama.

 

Sekiranya terdapat salah seorang waris yang dapat memimpin perbincangan ini secara objektif dengan matlamat yang jelas untuk menyelesaikan isu harta pusaka ini bagi manfaat semua pihak.

 

Ini ditambah pula dengan keupayaannya menggabungjalin elemen kasih sayang sesama waris ke dalam persoalan hukum Syarak dan proses undang-undang, insya-Allah isu pusaka ini dapat diselesaikan dengan mudah dan cepat.     

 

Yang memimpin perbincangan itu perlu faham bahawa walaupun mereka adik-beradik, tetapi setiap waris itu berbeza latar belakang pendidikan dan taraf kehidupannya.

 

 

anekdot mawarith

 

 

Ada yang hidup susah sekadar cukup makan dan ada juga yang hidup mewah. Oleh itu yang memimpin itu perlu faham apa strategi tepat yang mesti digunakan untuk memastikan waris-waris yang berbeza taraf ini dapat dimuafakatkan dengan baik.  

 

Waris-waris juga akan lebih mudah faham dan setuju untuk bermuafakat apabila mereka melihat perbincangan itu objektif tanpa mendiskriminasi mana-mana pihak dan waris yang memimpin perbincangan itu tidak mempunyai objektif tersirat di dalam tindakannya.

 

Namun dalam pengalaman 26 tahun, saya juga tahu bahawa sangat sukar untuk seseorang waris itu bertindak secara objektif kerana kepentingannya juga wujud di dalam harta pusaka itu. Perasaan “aku juga ada hak” ke atas harta pusaka akan menjadi dasar utama kepada  semua waris. Semua waris mahu menuntut apa yang berhak ke atas diri mereka.

 

Oleh kerana yang memimpin perbincangan itu juga mempunyai hak, maka tidak dapat dielakkan sentimen oleh waris-waris lain bahawa yang memimpin perbincangan itu akan bercakap di atas dasar menjaga kepentingan peribadinya.

 

Oleh itu sangat sukar perbincangan ini menjadi objektif.

 

Saya pernah berjumpa dengan kes-kes di mana waris yang mempunyai taraf kehidupan yang baik, tidak mahu menuntut apa-apa bahagian walaupun dia berhak.

 

 

anekdot mawarith

 

 

Tetapi masalahnya oleh kerana dia tidak mahu menuntut, maka kepadanya, dia tidak mahu masuk campur dalam urusan harta pusaka. Padanya biarlah, waris-waris yang mahu menuntut hak itu berbincang sesama mereka.

 

Ada ketikanya, perasaan ‘tidak mahu masuk campur’ waris-waris sebegini sampai ke tahap sehingga mahu mendapatkan salinan kad pengenalan mereka pun memakan masa bertahun lamanya.

 

Kad pengenalan semua waris ialah antara dokumen yang diperlukan untuk dikemukakan di dalam borang permohonan bicara kuasa harta pusaka. Jika dokumen ini gagal diperoleh, maka proses pengurusan pusaka tidak boleh bermula.

 

Jadi kita balik semula kepada perbincangan pokok artikel minggu ini iaitu adakah hari raya masa yang sesuai untuk berbincang tentang harta pusaka?

 

Jawapan saya ialah ‘Ya’ jika yang memimpin perbincangan itu boleh bersikap objektif serta mempunyai pengetahuan mencukupi baik dari sudut hukum Syarak mahupun perundangan sivil.

 

Namun jawapan saya juga ialah ‘Tidak’ jika di kalangan waris ada yang tidak boleh bersikap objektif dan tidak cukup ilmu tentang harta pusaka ini. Perbincangan harta pusaka ini akan menjadi titik tolak kepada perpecahan dan perbalahan keluarga yang lebih serius.

 

Waris-waris akan bermasam muka dan tidak mahu duduk berbincang yang seterusnya akan menyebabkan isu harta pusaka ini berpanjangan dan semakin serabut.

 

 

anekdot mawarith

 

 

Atas sebab inilah, Wasiyyah Shoppe Berhad semenjak 2007 lagi telah memperkenalkan perkhidmatan khairat pusaka yang dikenali sebagai ‘Al-Wasitah’ yang bermaksud perantara.

 

Apabila berlaku kematian, kami akan menghantar pasukan perundangan kami untuk bertemu waris-waris di rumah pada waktu yang bersesuaian dengan waris dan jadual pasukan perundangan kami.

 

Pertemuan ini boleh dilakukan pada hari bekerja ataupun pada hujung minggu. Pasukan kami akan memberikan penerangan terperinci tentang hukum Syarak dan proses perundangan yang perlu dilalui waris.

 

Kami juga akan menerangkan tentang semua dokumen perancangan harta yang telah dibuat arwah semasa hidupnya (jika ada) serta kesannya kepada proses agihan harta pusaka.

 

Daripada pengalaman operasi, kami dapati bahawa waris-waris sangat mudah menerima nasihat daripada kami dan bermuafakat tentang isu harta pusaka kerana mereka melihat kami sebagai pihak profesional ketiga yang tiada kepentingan terhadap harta pusaka serta kami mempunyai pengetahuan penuh tentang ‘subject matter’ yang berkenaan.

 

Kepentingan kami ialah untuk memastikan proses agihan harta pusaka itu berjalan lancar, tepat dan mudah selaras dengan hukum Syarak, undang-undang sivil berkaitan serta hasrat simati.

 

 

anekdot mawarith

 

 

Harta pusaka yang diuruskan dengan sempurna dapat menyatupadukan waris dan memberi manfaat kepada waris-waris untuk meneruskan kehidupan.

 

Pastinya ia juga dapat juga memberi manfaat kepada simati kerana waris yang bersatupadu serta hidup berkasih sayang akan sentiasa mendoakan simati di atas kebijaksanaannya merancang harta dengan baik.

 

Anda tentu mahukan situasi ini berlaku kepada harta pusaka anda betul tak ? Jika jawapan anda ‘Ya’, dapatkanlah perkhidmatan Al-Wasitah Wasiyyah Shoppe Berhad.

 

 

ariffin sabirin
Tn Hj Ariffin Sabirin adalah Pengasas dan CEO Wasiyyah Shoppe Bhd

 

dagangnews

  

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL ANEKDOT MAWARITH 

Portfolio Tags